Beli RM4, Jual 54 Sen, Rossa Jaga Maruah Orang Susah
Ramadan diva Indonesia ini yang bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk konsert, Jun nanti.

Oleh Zurina Waji

“Setiap sumbangan 15 ribu Rupiah, iaitu kira-kira RM4, disediakan makanan berlauk daging, atau ayam, misalnya. Dibeli di kedai dengan harga 15 ribu Rupiah, tapi kami menjualnya semula dengan harga 2 ribu Rupiah, kira-kira 54 sen.”

DI Sumedang, kota yang terkenal dengan tahu gorengnya yang dikatakan diperkenalkan oleh seorang imigran Cina, ada gerakan sosial yang mengimarahkan Ramadan sejak dicetuskan, tahun lalu.

Dihidupkan, siapa lagi kalau bukan anak jati kota yang menjadi tempat pemakanan pejuang Aceh, Cut Nyak Dien – Dato Sri Rossa Roslaina Handiyani yang lebih dikenali sebagai Rossa, figura bertubuh kecil dengan jiwa besar

“Setiap sumbangan 15 ribu Rupiah, iaitu kira-kira RM4, disediakan makanan berlauk daging, atau ayam, misalnya. Dibeli di kedai dengan harga 15 ribu Rupiah, tapi kami menjualnya semula dengan harga 2 ribu Rupiah, kira-kira 54 sen,” kata penyanyi terkenal ini mengenai inisiatif yang dimulai bersama rakan-rakan sekolahnya dulu.

Di kota kecil di Jawa Barat itu yang terletak tidak jauh dari Bandung, hajat pelantun Ayat-Ayat Cinta ini mengusahakan warung itu cuma satu, iaitu untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan dengan cara terhormat.

“Kenapa dijual murah? Kerana kami menjualnya kepada mereka yang kekurangan. Sehari, kami menjual antara 500 hingga 1,000 pek, kami jual supaya mereka tidak berasa malu beratur untuk makanan.

“Manakala wang yang terkumpul hasil penjualan digunakan untuk membeli lagi daripada kedai-kedai kecil. Jadi, dalam satu jatah ada dua (pihak) yang dibantu, iaitu kedai kecil dan orang yang memerlukan,” katanya pada pertemuan di Kuala Lumpur.

Kehadirannya pada majlis berbuka bersama anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras, itu juga bersempena pengumuman konsert Here I Am anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun nanti.

Turut menampilkan Ariel Noah, Ernie Zakri, MK K-Clique, serta DJ Indonesia, Dipha Barus, bagi meraikan 29 tahun perjalanan seninya itu sambil mengumpul dana Tabung Kasih Prihatin bagi tujuan pendidikan dan kebajikan, diadakan dengan kerjasama SAH Entertainment, selain Maybank dan Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur.

Rossa mengakui senang melihat inisiatif kecil itu berkembang, bukan setakat Ramadan semata.

“Kami juga bergantian dengan makanan asas seperti beras, minyak, dan gula, antaranya. Jika bukan bulan Ramadan, usaha dilaksanakan pada setiap Jumaat atau Sabtu, Minggu. Ini kota kecil saja, tapi akhirnya semua saling ikut membantu.

“Penyumbang terus bertambah, malah ada ibu-ibu yang ikut memasak, mengirim makanan. Alhamdulillah, saya senang dapat menjalankan gerakan sosial sebegini dan saling berbagi kepada masyarakat,” ujarnya.

“… mengulangi ketakutan pada konsert di Malaysia, di Bukit Jalil, dulu. Ketika itu, saya bertanya hal yang sama, apa yang boleh dijangka dan diberikan kepada audiens. Saya akan kembali lagi ke Bukit Jalil selepas (kali pertama) 15 tahun.”

Teruja untuk menghibur di pentas mega seperti Axiata, dia mengakui ada kerinduan yang ingin dipenuhi, apatah lagi ia juga merupakan kolaborasi sulungnya dengan penyanyi sehebat Ernie, selain MK.

“Ia seperti mengulangi ketakutan pada konsert di Malaysia, di Bukit Jalil, dulu. Ketika itu, saya bertanya hal yang sama, apa yang boleh dijangka dan diberikan kepada audiens,” katanya mengenai konsert Here I Am yang turut dirancang di Jakarta dan Singapura.

“Di Bukit Jalil itu, ada berapa orang ya? Mungkin 12,000, 14,000 orang. Saya akan kembali lagi ke Bukit Jalil selepas (kali pertama) 15 tahun. Saya berharap dapat memberikan yang lebih sesuai dengan zaman, semoga dapat memberikan persembahan yang lebih seru, lebih wow!”

Dibuka secara berfasa, menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato Aizuddin Ghazali, tiket bagi konsert Here I Am sudah meraih lebih 40 peratus penjualan dengan fasa berikutnya akan dilaksanakan, April ini.

“Setiap kali dibuka untuk penjualannya, tiket memang sold out,” kata Aizuddin, mengakui senang dengan kolaborasi terbaru Rossa dan PRIHATIN itu yang diadakan susulan kejayaan siri terdahulu, Rossa 25 Shining Years dan Another Journey: The Beginning.

Ditanya mengenai pemilihan penyanyi undangan, jelasnya ia meraih lampu hijau daripada Rossa sendiri.

“Setiap konsert besar Rossa, bintang tamunya juga berbeza. Kebetulan ada satu kejutan dengan MK, ada pembaharuan yang nak dibawa. Manakala Ernie, ini kolaborasi pertama dan kita tidak dapat nafikan vokal Ernie berada di satu tahap yang tersendiri.

“Sebelumnya, pemilihan artis undangan dibawa kepada Rossa yang melihat dan menilai dengan teliti, dan dipersetujui. Here I Am bakal tampilkan kelainan dengan suntikan elemen moden dan ekstravaganza,” katanya sambil mengalu-alukan pihak korporat dan individu membeli tiket Royale, First Class dan Executive bagi mengisi dana pendidikan.

Tiket konsert bermula pada harga RM228 boleh didapatkan di www.ticket2u.com, manakala bagi pembelian korporat, sila hubungi Rohaiza di talian 019 2889764, atau e-mel ke rossa@yayasanprihatin.com