Demi Balik Raya, Indah Ruhaila, Nadeera dan Wani Kayrie Berjaga Sampai 5 Pagi!
Lewat video muzik lagu pertama Raya yang menggandingkan tiga penyanyi muda ini.

Oleh RUMI | Foto Rocketfuel Entertainment


“BAYANGKAN kami melakukan proses penggambaran MV (video muzik) selama 24 jam!,” kata Indah Ruhaila, jelas teruja dengan pelancaran Balik Raya, lagu pertama Raya yang dirakamkan sebagai trio bersama Nadeera dan Wani Kayrie.

“Kesemuanya selesai sekitar jam 5 pagi dan dilakukan sebelum bulan puasa lagi di Sekinchan, Selangor.”

Selain paparan van vintaj, berbaju kurung Kedah di tengah keindahan sawah padi Sekinchan, dia menerusi satu kenyataan meda, berkata tentunya mereka mengharapkan lagu itu benar menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri, tahun ini.

Dicipta Rushdan, single yang bernuansa pop moden dengan elemen klasik itu mengambil masa dua bulan untuk dihasilkan. Satu tontonan istimewa diadakan pada majlis pelancarannya dan iftar bersama media di Pavillion Bukit Jalil, baru ini.

Indah mengakui, kemeriahan suasana yang dibawa lagu itu sudah cukup untuk memberikan banyak kenangan manis buat mereka bertiga yang kini sama bernaung di bawah label Rocketfuel Entertainment.

“Saya dan Wani sempat mencipta koreografi sendiri sewaktu penggambaran dan semoga menjadi dance challenge di media sosial nanti,” kata pelantun Indah itu yang turut mengimbau pengalamannya berniaga di Bazar Ramadan semasa berusia 15 tahun.

“Seronok sangat (berniaga) walaupun kadang hujan dan paras air naik, saya tetap berniaga bersama keluarga dan itu menjadi pengalaman yang cukup bernilai yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.”

Sepertimana sebahagian lagu Raya malar segar yang terus menjadi pilihan setiap kali Lebaran, Wani optimis melodi Balik Raya yang easy-listening juga berupaya memikat hati pendengar, terutama fans mereka bertiga.