Sakti Kembali, 17 Tahun Selepas Tinggalkan Sheila On 7
Lewat Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur pada November ini.

Oleh RUMI

“Bersama Opick yang punya segudang karya berunsur kerohanian, mengajak kita pulang kepada Ilahi dan mencari redaNya… “ – Sakti

“JUJURNYA agak menakutkan,” akui Sakti yang bakal kembali membuat persembahan pentas selepas belasan tahun meninggalkan dunia hiburan, melakukan penghijrahan dan menumpukan perhatian pada usaha dakwahnya.

Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur adalah yang pertama buatnya, secara penampilan penuh, dalam tempoh 17 tahun ini semenjak pemain gitar ini meninggalkan band papan atas, Sheila On 7 yang disertainya seawal 1996.

Takut, justeru “sudah berbelas tahun tidak bermain di pentas”, pemilik nama sebenar, Saktia Ari Seno ini yang kini memakai nama, Salman Al Jugjawy, menambah, “Namun pada akhirnya, setelah difikirkan saya hanya mahu sama-sama menyebarkan dakwah dengan cara paling tidak menakutkan.

“Saya mahu berbagi manfaat, sama seperti Opick.”

Dibawa oleh Al Kauthar Eduqids, Sakti bakal bergandingan secara eksklusif dengan penyanyi kerohanian, Opick, dan akan disertai Nur Fazura, Zizi Kirana, UNIC, Amir Masdi, Adi Priyo dan Yabang Khalifah.

Sakti, menerusi kenyataan medianya, percaya penampilan bersama Opick yang lebih dulu beralih arah selepas mencipta nama sebagai penyanyi rock akan membuahkan hasil dengan niatnya yang benar.

“Bersama Opick yang punya segudang karya berunsur kerohanian, mengajak kita pulang kepada Ilahi dan mencari redaNya, saya percaya apa yang cuba disampaikan oleh pihak Al Kauthar Eduqids dan Icon Entertainment dalam konsep persembahan ini bertujuan baik.

“Persembahan ini bukan melalaikan, tetapi bakal membawa kita berasa damai dan senang lewat untaian karya kerohanian yang nanti disampaikan oleh teman-teman lain,” katanya.

Opick sendiri, mengakui senang hati menerima lamaran untuk diiringi Sakti menerusi karya-karya dakwahnya, antara yang dikenali ialah Shollu Ala Muhammad, Di Bawah Langit Mu, Cahaya Hati, Ya Rasul dan Semesta Bertasbih.

“Ini akan menjadi momen peribadi buat saya sendiri kerana bertemankan Sakti di atas panggung yang akan mengalunkan dengan indah karya-karya saya,” kata penyanyi kelahiran Jember ini yang melihat penampilan rakan penyanyi Malaysianya bakal menambah kehangatan persembahan malam itu kelak.

Akses

  • 11 November 2023
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket