Risalah Hati Orkestra Dewa 19
Menyuapi idea muzik sebagai makanan jiwa lewat persembahan bersama 54 pemuzik orkestra Malaysia.
Oleh Zurina Waji | Foto @echolaliapictures, Bangsawan Pictures
“… menikmatinya sebagai homage terhadap Queen dan penciptanya yang juga frontman, mendiang Freddie Mercury, yang diketahui punya pengaruh besar dalam kecenderungan muzik Dhani.”
“KENA pakai dress ke?” Seloroh dalam debar, teman yang menguruskan undangan ke Dewa 19: A Night at The Orchestra – Chapter 5 (Live in Malaysia) ketawa besar, seperti juga beberapa sahabat media yang barangkali sedang membayangkan keanehan yang bakal dicetuskan.
Tapi lebih penting seperti apa nanti malam bersama band rock papan atas dari Indonesia itu yang diberitakan diiringi 54 pemuzik orkestra Malaysia?
Di Axiata Arena, Baladewa dan Baladewi, gelaran bagi fans, dress up biar pun tidak kurang yang memberikan definisi sebagai pengapit pengantin, kalau tidak pun membuat rasa seolah di kelab Copacabana dengan showgirlnya yang dilagukan penyanyi terkenal Amerika, Barry Manilow.
Senyum sendiri, saya menikmati keterujaan 7,000 penggemar Dewa 19 yang kembali untuk konsert anjuran Icon Entertainment itu, tanpa Once Mekel yang pernah meminjamkan suara lunaknya kepada karya Ahmad Dhani menerusi lima daripada sembilan album studio mereka.
Bohemian Rhapsody, antara mahakarya band rock legenda British, Queen, dipersembahkan sebagai pembuka malam tanpa ada penampakkan anggota lainnya kecuali Dhani yang memimpin pemuzik orkestra.
Biar mengharapkan untuk mendengar karya asal Dewa 19 yang mengawali malam, saya menikmatinya sebagai homage terhadap Queen dan penciptanya yang juga frontman, mendiang Freddie Mercury, yang diketahui punya pengaruh besar dalam kecenderungan muzik Dhani.
Ingin menanamkan idea muzik sebagai makanan jiwa, dia bagaimanapun membuat sebahagian audiens termangu di tempat duduk kala diperdengarkan karya klasikal Rusia berbanding judul komersial Mozart, Beethoven atau Chopi, antaranya.
“… Amir Masdi dengan gaya dan suara yang menenggelami Ello lewat duet Bohemian Rhapsody adalah keasyikan sebenar lewat kejutan tidak terduga.”
Mood melonjak apabila Guntur Nur Puspito diperkenalkan sebagai konduktor dengan kemunculan pemain gitar, Andra Ramadhan, Yuke Sampurna (bass) dan Tyo Nugros yang bergiliran dengan Agung Yudha di dram, selain Dhani (keyboard) yang bersama Ello sebagai vokalis, memperdengarkan Arjuna.
Elang yang menyusul mengundang rasa sebaiknya ia dibawa Ari Lasso saja yang merakamnya pada akhir 1999.Biar seusaha mungkin untuk tampil dengan gaya sendiri, baik Ello, mahu pun Virzha yang muncul selepas itu, antaranya lewat Dewi dan Kosong nyata tidak berupaya menyaingi kekuatan vokal Once, sekali gus dalam memberikan persembahan yang benar membekas.
Sedang Ari hanya ditampilkan selepas separuh malam berlabuh, menerusi lagu seperti Cintakan Membawamu, Roman Picisan dan Kangen, selain Dua Sedjoli, juga asalnya dirakamkan Once, yang malam itu pertama kali dibawa serta sempat membuatnya “tidak tidur kerana tegang.”
Jadi, adakah persembahan orkestra Dewa 19 itu sepertimana jangkaan?
DHANI, ONCE DAN SATU PERSPEKTIF
Perbalahan yang menyaksikan larangan Once menyanyikan lagu karya Dhani meninggalkan lompong yang dibikin penyanyi asal Makassar itu yang tidak disangsikan dalam keupayaan memberi justifikasi terhadap keeleganan muzik orkestra, melangkaui sut gelap dan gaun yang ada.
Sungguh pun begitu, harus diakui kerana Dewa 19 berdiri atas banyak karya Dhani yang mencorakkan bandnya merentas hampir empat dekad ini, Dewa 19: A Night at The Orchestra – Chapter 5 (Live in Malaysia) masih sebuah persembahan yang memberikan perspektif berbeda untuk dinikmati.
“… bagaimana keegoan yang diperkatakan itu mencipta love hate relationship yang seaneh ia kedengaran memperjelaskan mengapa sukar untuk melepaskan Dewa 19, hatta Dhani dengan My Waynya.”
Dhani yang mengangkat pemuzik orkestra tempatan, malam itu sebagai lebih baik daripada Indonesia disangkal teman sebagai pernyataan politik susulan perbandingan dengan pemuzik seperti Erwin Gutawa yang jauh lebih berpengalaman.
Bagi saya, apresiasi masih sebuah apresiasi dan politik atau tidak, ia tidak memadamkan rasa patriotisme, berkongsi rasa bangga yang menyelinap melihat pemuzik muda, juga koir tempatan di pentas sama.
Sepertimana saya menikmati kemewahan susunan muzik Begitu Salah Begitu Benar, lagu asal Dewi Dewi yang mempertemukan Shila Amzah dan Jaclyn Victor sebagai penyanyi undangan, Amir Masdi dengan gaya dan suara yang menenggelami Ello lewat duet Bohemian Rhapsody adalah keasyikan sebenar lewat kejutan tidak terduga.
Dhani, dalam beberapa persembahannya di tanahair, sentiasa memberikan Madu Tiga, karya Seniman Agung, Tan Sri Sri P Ramlee yang diangkat lagi bersama orkestranya, bergilir antara bermain muzik dan melantunkan suara seawal Pangeran Cinta sehingga Aku Cinta Kau dan Dia, Sedang Ingin Bercinta dan cover Frank Sinatra, My Way, antaranya.
Satu kekesalan, barangkali keterbatasan selama menghadiri orkestra sebelum lenyap segala basa-basi apabila Dewa 19 bersama Ari, Ello dan Virzha bergandingan lewat Separuh Nafas yang menghadiahkan hype yang sayangnya hanya dirasakan setelah mendekati penghujung malam.
“Dhani buat ikut kepala dia,” getus seorang teman. Saya sebaliknya suka untuk melihat bagaimana keegoan yang diperkatakan itu mencipta love hate relationship yang seaneh ia kedengaran memperjelaskan mengapa sukar untuk melepaskan Dewa 19, hatta Dhani dengan My Waynya.
Comments are closed.