5 Artis Nasyid di Konsert 5 Rukun, September Ini
Berpaksikan konsep Lima Rukun Islam, konsert berteras ikatan persahabatan yang lama terjalin.

Oleh RUMI

“… berteraskan konsep Lima Rukun Islam melalui teras persahabatan geng Sahabat Selamanya ini, kami percaya ia akan memberikan kesan dan pengalaman konsert yang unik dan menarik dalam hiburan dakwah… “

GABUNGAN irama nasyid dan tradisional, serta elemen budaya Malaysia lewat Konsert 5 Rukun, September ini bakal hadir sebagai sebuah persembahan yang menyimpulkan satu pengalaman unik dan luar biasa.

Iaitu malam yang mempertemukan sahabat – Daqmie, Rabbani, Hijjaz, Inteam dan Mestica dalam sebuah persembahan berpaksikan konsep Lima Rukun Islam bawah inisiatif Mac Training Centre Sdn Bhd.

Diriingi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) daripada Istana Budaya, muzik Islamik dan tradisi Melayu dilihat bakal terjalin indah.

Seni sebagai medium dakwah, ia dilihat pendekatan cukup relevan buat anak muda, terutamanya dalam mendidik akhlak, menerapkan pemahaman tentang ilmu Islam, meningkatkan keimanan dan keinsafan terhadap Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan alam semesta ini.

Konsert berdurasi selama dua jam itu yang juga merupakan kesinambungan kepada penerbitan album, Sahabat Selamanya oleh kelima-lima artis itu pada akhir tahun lalu diharap dapat melonjakkan semula kegemilangan irama nasyid yang pernah mencetuskan fenomena pada awal 90an dulu.

Pengarah Urusan Mac Training Centre Sdn Bhd, Samirah Hambali yang juga Penerbit Konsert 5 Rukun, berkata ini adalah usaha kecil pihaknya untuk berdakwah dengan berlandaskan kesederhaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dalam bentuk hiburan yang lebih bijaksana.

“Dengan berteraskan konsep Lima Rukun Islam melalui teras persahabatan geng Sahabat Selamanya ini, kami percaya ia akan memberikan kesan dan pengalaman konsert yang unik dan menarik dalam hiburan dakwah, apatah lagi setiap mereka ini memiliki kelompok peminat tersendiri.

“Sebagai satu cara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab lagu-lagu nasyid dan Islamik, kita juga telah mewujudkan Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors, iaitu sebuah platform yang dikhususkan untuk mengumpul dan menghimpunkan individu yang berminat dengan nasyid atau genre muzik vokal Islam,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Dibahagikan kepada lima segmen yang akan dijayakan oleh setiap lima artis terbabit, sama ada secara solo, duet atau beramai-ramai, persembahan juga disertai qasidah yang akan memberi impak kepada keseluruhan persembahan.

Akses

  • 15 September 2023
  • Zepp, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket