Judika Bawa Geng Rai Cinta, Oktober Ini
Bukan satu, tapi tiga penyanyi popular tanahair sertai Judika untuk Rockmantic Night Judika & The Gang

Oleh RUMI

“Saya ingin semua peminat yang akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan.”

“DATANGLAH dengan jiwa seorang rocker yang berani dan penuh semangat, tetapi jangan lupa memiliki hati yang penuh cinta kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat,” pesan Judika buat para penggemarnya.

Lama dinantikan, penyanyi hebat Indonesia ini akhirnya mengesahkan akan kembali bertemu fans di Malaysia menerusi sebuah konsert berskala besar yang digelar Rockmantic Night Judika & The Gang, Oktober nanti.

Dibawakan oleh jenama kosmetik, Alha Alfa dengan kerjasama Kharisma Music International dan Dua Anak Deo (DAD) Management, malam cinta bersama Judika itu juga akan dihangatkan lagi dengan persembahan tiga penyanyi popular tanahair, iaitu Haqiem Rusli, Marsha Milan dan Shila Amzah.

Idea cetusan pasangan Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny dan isteri, Yuka Kharisma, melahirkan tema Rockmantic yang diinspirasi oleh karekter Judika yang dikenali dengan banyak karya romantisnya di sebalik jiwa rock yang ditampilkannya.

Judika, menurut kenyataan medianya, dijangka mempersembahkan tidak kurang daripada 15 lagu dalam konsert berdurasi dua jam itu yang akan diiringi orkestra pimpinan Pengarah Muzik terkenal Indonesia, Tohpati.

“Pada malam konsert itu juga, tiga artis popular Malaysia akan turut membuat persembahan, masing-masing dengan tiga lagu,” kata Ahmad Jeffny pada sidang media yang menyaksikan kumpulan motosikal berkuasa besar berkonvoi dari Pavillion Bukit Jalil ke Pavillion Bukit Bintang, diikuti pelancaran papan iklan bagi mempromosi konsert itu sebelum berlangsung flash mob.

Buat fans, Judika menitipkan pesan, “Saya ingin semua peminat yang akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan.

“Semoga Rockmantic Judika & The Gang ini menjadi salah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.”

Akses

  • 21 Oktober 2023
  • Axiata Arena, Bukit Jalil
  • 8pm

Tiket

  • RM188 (Silver), RM248 (Rockzone Standing), RM299 (Gold), RM348 (VIP Rockzone Standing), RM388 (Platinum) dan RM799 (VIP)
  • Beli di www.ticket2u.com.my/judika