Konsert Fantasia Bulan Salju Bakal Epik
Search diterajui Amy sebagai vokalisnya lakar sejarah artis rock tempatan pertama beraksi solo di Arena of Stars.

Oleh RUMI

“… Konsert Fantasia Bulan Salju ini pasti dinobatkan sebagai konsert paling epik, tahun ini justeru melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanahair,terutama scene rock n roll.”

“IA adalah bukti setelah empat dekad Search lalui segala pahit manis serta cabaran hebat industri muzik, karier Search terus kukuh dan kami kekal relevan,” kata Amy, vokalis band rock ini mengenai Konsert Fantasia Bulan Salju.

Dijadual berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting, Ogos depan, ia sekali gus melakar sejarah buat Search yang dilihat menjadi pembuka jalan buat artis tempatan untuk beraksi di pentas bertaraf antarabangsa itu.

Seraya menyifatkan konsert yang bakal ditunjangi bersama Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal itu “bukan konsert biasa yang diadakan sekadar untuk memenuhi permintaan”, Amy yakin dengan dukungan fasiliti di lokasi di tengah cuaca dingin semula jadi Genting Highlands yang telah menarik minat ramai penghibur berkelas dunia itu sebagai pencapaian bermakna buat Search.

Dibawakan oleh MIC Entertainement Group yang berpengalaman menganjurkan konsert artis antarabangsa seperti bintang Korea, Super Junior – D&E dan Michael Learns to Rock (Denmark), penganjuran konsert ini didorong, antaranya oleh kedudukan Search di tangga atas kumpulan rock Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIC Entertainment Group, Brian Lim, dalam kenyataan medianya berbangga dengan kolaborasi antara pihaknya dengan Search dan Arena of Stars menerusi Konsert Fantasia Bulan Salju itu.

“Arena of Stars bolehlah dikatakan sebagai jenama global dan Search sebagai sebuah kumpulan rock legenda terunggul adalah pilihan paling tepat pihak kami untuk mengadakan konsert solo artis tempatan pertama di situ.

“Saya percaya, dengan sokongan kuat dan kesetiaan tidak berbelah bagi oleh peminat Search, terutamanya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, Konsert Fantasia Bulan Salju ini pasti dinobatkan sebagai konsert paling epik, tahun ini justeru melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanahair,terutama scene rock n roll,” katanya.

Akses

  • 12 Ogos 2023
  • Arena of Stars, Resorts World Genting
  • 8.30pm

Tiket