Dibius Virus Slank dan Satu Verdik
Usai konsert di Kuala Lumpur menuju empat dekad pembabitan band Indonesia itu dalam muzik.

Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid

JIKA ada lagu yang boleh dibilang genit, barangkali Pandangan Pertama yang mempertemukan Slank dan rock queen, Ella pada malam Konsert 4 Dekad Slank paling padan untuk dikalungkan dengan gelaran itu.

Kenapa, eh?

Satu yang pasti, lagu itu masih terngiang-ngiang di telinga sejak gandingan Kaka-Ella, dua nama papan atas aliran rock itu di konsert anjuran TBRW Global Sdn Bhd yang mengirim vibrasi yang sempat bikin para Slankers tenggelam dalam Pandangan Pertama dengan baur rock dangdutnya.

Okay, okay! Bukan Slankers saja tapi saya juga.

Sebetulnya, saya langsung tidak terfikir lagu itu akan membawa Kaka, vokalis Slank dan Ella dalam duet sulung mereka, sebelum audiens disaji solo dengan Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Resah. Saya malah terlupa akan Pandangan Pertama, lagu yang dirakam Slank menampilkan bintang Get Married, Nirina Zubir bagi runut bunyi filem komedi romantik 2007 arahan Hanung Bramantyo itu.

Saya mengenali band dengan nama Slank itu seawal zaman sekolah yang melegenda dengan pengikut mereka yang digelar Slankers, dikenali antaranya dengan rambut gondrong mereka, juga panji-panji berlogo ikonik dan cabang fans yang mengibarkannya pada setiap kesempatan persembahan mereka.

Obsesi, kefanatikan atau kegilaan melampau, terserah bagaimana anda mahu menilainya namun pengaruh yang dibawa Slank yang didirikan drummer, Bimbim, bercambah dari rumahnya di Potlot, sebuah lorong di Jakarta Selatan, pada tahun 80an nyata tidak boleh diketepikan.

“…Virus, iaitu antara lagu Slank yang menurut saya, cukup bererti pasca era ketagihan mereka dengan dadah.”

Slank, seawal penubuhannya sampailah sekarang ini, berupaya mengekalkan momentum sebagai sebuah band yang cukup merakyat, justeru dilihat cenderung pada kritikan sosialnya biar pun lagu cinta mereka masih yang paling digemari.

Saya menyertai Slankers di Zepp Kuala Lumpur, malam Krismas itu, dalam erti kata menempatkan diri di tengah audiens yang daripada telo perbualan mengesahkan mengapa kehadiran band ini besar maknanya buat fans Indonesianya yang jelas super teruja dengan keberadaan Ivanka (pemain bass) serta gjtaris, Abdee Negara dan Ridho bersama Kaka dan Bimbim.

“Masih berharap diperdengarkan lagu Seperti Para Koruptor atau Terlalu Pahit, antaranya malam itu memperjelaskan Slank masih sebuah band yang benar beridentiti Indonesia dan tidak mampu digugat, setidak-tidaknya untuk tempoh yang lama.”

Slank membuka panggung dengan I Miss You But I Hate You, antara naskah ikonik yang sebenarnya berkaitan romantisme anggotanya dengan penyalahgunaan dadah. Keterlibatan Kaka dan Bimbim dengan dadah dulu bukan rahsia, malah dibicarakan secara terang-terangan.

Bimbim yang menggubah banyak naskah Slank, dalam temubual sebelum berlangsungnya konsert, menyifatkan dadah sebagai cabaran terbesar mereka pada era 90an dan kerana itu, katanya, “Satu yang buat kita bangga apabila bisa lepas (bebas dadah).”

Gara-Gara Kamu menyusul, diikuti Virus, iaitu antara lagu Slank yang menurut saya, cukup bererti pasca era ketagihan mereka dengan dadah. Diperdengarkan live, secara peribadi, irama dan bait yang dilagukan sempurna oleh Kaka menambah sebak di dada.

Seawal mengenali Slank, dilingkungi saudara dan teman dari republik itu, berlandaskan Rock n Roll lagu-lagu mereka merupakan luahan hati suara anak-anak muda, daripada soal ditinggalkan kekasih sampailah soal kesusahan rakyat dan politik.

Ku Di Negri Orang dengan bau Melayu Deli tentang cinta dan anak perantauan ikut dinyanyikan penuh semangat oleh audiens yang lebih dulu diberikan Mars Slankers, antaranya sebelum Bang Bang Tut yang sempat menjadi pilihan demo 1998 yang menyaksikan kejatuhan orde baru.

Kaka memberikan trademarknya, dengan mainan harmonika selain suara yang cukup power, lewat Terlalu Manis. Ku Tak Bisa jelas jadi pilihan yang membuat malam bergema, mengesahkan kenyataan lagu-lagu cinta Slank lebih mendominasi.

Slank kembali ke 1994 dengan Kamu Harus Pulang sebelum menutup malam dengan ngeSlank Rame-Rame yang mengungkap patriotisme. Masih berharap diperdengarkan lagu Seperti Para Koruptor atau Terlalu Pahit, antaranya malam itu memperjelaskan Slank masih sebuah band yang benar beridentiti Indonesia dan tidak mampu digugat, setidak-tidaknya untuk tempoh yang lama.