<em>Barbarik Pentas Keras</em>? Gua Henjut Je!
Di bawah panji Barbarik, malam konsert melakar momen bersejarah 2022.

Oleh Zurina Waji | Foto Wan MAESTRO & MEM

“… menikmati sebuah konsert seumpama Barbarik Pentas Keras yang memberikan sebuah malam yang sempurna dalam mengembalikan nostalgia konsert rock 80an, 90an dengan sebuah hamparan teater, juga kebingitan yang anehnya mengasyikkan.”

“BERDENGUNG telinga orang. Patut abang kasi ear plug,” seloroh saya kepada Jo Branko dalam pertemuan di belakang pentas, usai konsert Barbarik Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur, minggu lalu.

Senyum, dia membalas, “Pasal tu lah nama dia Pentas Keras.”

Selepas Rooftop yang diberikan KidDin, paduan Jo dan Muss di bawah panji Barbarik selepas 22 tahun berhibernisasi, menurut saya menjadikan Pentas Keras yang penuh kejutan sebagai konsert rock terbaik tanahair pada tahun 2022.

Kala dikhabarkan beberapa bulan lalu tentang Barbarik, jenama yang diangkat daripada penghasilan album studio ke-10 Wings, Mr Barbarik, penggemar muzik rock, khususnya teruja mendengar Jo akan kembali ke pentas bersama Muss.

Kerana Jo, antara gitaris terbaik tanahair yang selama 28 tahun mencorakkan bunyian Wings seawal penyertaannya pada 1988 menerusi album Hukum Karma, manakala Muss yang membina namanya bersama May merupakan vokalis Wings untuk tiga album, termasuk Mr Barbarik.

Keupayaan Jo-Muss tidak dipertikaikan namun Pentas Keras adalah di luar dugaan. Kerana Mr Barbarik adalah impian yang tertunda apabila Muss meninggalkan Wings sebelum album yang cenderung metal itu sempat dipromosi dan disusuli Jo, jadi tentu mereka akan bermain sehabisnya.

Sempat bertemu Jo dan Muss sebelum berlangsungnya konsert anjuran Anggerik Event Sdn Bhd itu pada malam menjelang sambutan Krismas, dan melihat judul-judul keras dalam repertoire, sukar untuk membayangkan bagaimana mereka, pada usia melewati 50an akan dapat bertahan selama itu.

Jujur, sudah lama saya tidak menikmati sebuah konsert seumpama Barbarik Pentas Keras yang memberikan sebuah malam yang sempurna dalam mengembalikan nostalgia konsert rock 80an, 90an dengan sebuah hamparan teater, juga kebingitan yang anehnya mengasyikkan.

Sebagai perencana konsert bersejarah itu, Jo yang juga pengarah muzik, tahu apa yang dimahukan audiens.

Pentas Keras memulai malamnya lewat monolog, membawa maksud mendalam yang diakhiri bait:

Biar mati… kerana merempuh

Dari mati… dalam bersimpuh

Selagi ada daya… berserah hanya pada yang Satu

Tak hanya pendekatan teater mega yang dipentaskan, tapi untuk diberikan pula lima lagu non-stop dengan disaksikan 2,500 audiensnnya sebagai pembuka untaian set Pentas Keras?

Lagu lama tapi dengan angin segar dalam susunan baru yang diperdengarkan lewat vokal power Muss menerusi Penunggu, diikuti Mayang Sulit, Julang Timur Tengah, Enigma dan Delilah, itu memang gila tapi ia sepertimana dijanjikan Jo, iaitu “sebuah persembahan yang energetik, macam kami muda, malam itu.”

“… siapa lagi yang lebih layak mempersembahkan naskah Allahyarham JS Kevin selain Mael, dan secara tidak langsung menjadi tribute buat komposer dan penulis lirik itu yang berperanan dalam membentuk band seperti Wings dan XPDC, antaranya.”

PENTAS KERAS, PENTAS NOSTALGIA

Vibrasi diberikan audiens diakui Jo, kemudiannya menyuntik energi buatnya dan Muss yang malam itu dimantapkan dengan dram Ainol yang bikin jantung berdetak kencang, selain Rozaimi (bass) dan Adi Yamin (keyboard) yang juga merupakan penolong pengarah muzik konsert.

Dan malam itu saya diimbau pada mood konsert rock dulu-dulu, menyelusuri ke zaman fun fair dengan pentas yang kadang seolah mahu roboh dan tanah becak sedang ada merry-go-round dan game di antaranya.

Seawal melangkah, mata segera menangkap bagaimana Ainol diposisikan untuk menjadi focal point, sepadan dengan corak permainannya, pantas diangkat drummer muda yang perlu diberi perhatian.

Saya suka keupayaan Pentas Keras menghidupkan nostalgia kegemilangan era rock yang menurut Jo, disempurnakan daripada sudut “teknikal, selain pencahayaan yang memainkan peranan, juga repertoire yang tidak meleret.”

Susunan buat Biru Mata Hitamku, antara yang saya gemari, sepertimana perasaan dihanyutkan oleh petikan gitar Jo dalam Gelap Nan Terang, mahu pun Muss dalam Blues Ular Sawa dan Keris Tak Bersarung yang mengasyikkan.

Saya merasai kejujuran Mael XPDC apabila dalam temubual usai konsert, mengakui malam itu yang menyaksikannya tampil berduet dengan Muss menerusi Nasib Kita yang pernah dirakam untuk album Best of Wings 2 sebagai “malam bersejarah.”

Dan aura Mael sendiri adalah suatu yang sukar dinafikan, biarpun untuk kemunculan yang tidak lama. Juga, siapa lagi yang lebih layak mempersembahkan naskah Allahyarham JS Kevin selain Mael, dan secara tidak langsung menjadi tribute buat komposer dan penulis lirik itu yang berperanan dalam membentuk band seperti Wings dan XPDC, antaranya.

Berkait sejarah perjalanan Wings, Asheed Def-Gab-C yang pernah terbabit dalam album Mr Barbarik mengekalkan momentum apabila melagukan Singa dan Harimau bersama Muss.

Dan wajarlah apabila Mel, bekas vokalis Wings, muncul melagukan Sapu Tangan yang membuat saya berharap dia lebih rileks dalam penampilan sebelum disertai Muss untuk Semangat Yang Hangat, cukup-cukup saja untuk tidak terganggu oleh jaket kulit ketatnya.

Jika ada kekesalan pun, mungkin kerana tidak berada di tengah audiens di depan pentas tapi hakikatnya saya akan tenggelam di antara brader rockers separuh baya, sebilangannya masih dengan rambut gondrong mereka.

Bak kata Jo, “Semua enjoy, itu yang penting.” Dan 2022 hanya satu permulaan buat Barbarik.