1000 Tahun Lagi Tulus
Momen yang membibitkan cinta pada pertemuan pertama.

Oleh Zurina Waji | Foto Shiraz Projects

“Jeritan fans, mengalun bait puitis pada setiap lagu yang dipersembahkan, hatta yang bersuara sumbang masih terasa indah, barangkali kerana hamburan rasa senang Tulus yang mempesona… “

JUMAAT dengan Tulus nyata mengasyikkan. Crooner muda papan atas Indonesia itu adalah sebagaimana dikhabarkan yang memang tidak pernah gagal menawan penggemarnya, bukan saja dengan kelunakan suara malah pesonanya di panggung.

Kesempatan menonton bintang berdarah Minang itu yang membawa genre jazz dengan paduan pop sememangnya bikin hati damai.

Bukan kali pertama bertamu di Kuala Lumpur, pertunjukkan Fabulous Friday Presents Tulus di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru ini menjadi antara pembuka tahun 2023 yang indah.

Direncana awalnya oleh penganjur, Shiraz Projects untuk persembahan satu malam, ia berlangsung dua malam demi memenuhi permintaan fans. Kuala Lumpur menjadi antara destinasi Tulus di tahun baharu sebelum jelajah ke 11 bandar di Indonesia menerusi Tulus Tur Manusia 2023 sempena 11 tahun pembabitannya dalam dunia seni.

Dan keupayaan penyanyi berusia 31 tahun ini bikin full house dengan 2,800 audiens menghadirkan diri, setiap malam, menambah keinginan untuk mengenalinya di panggung, seraya memahami mengapa dia begitu digilai.

Rasa yang dipendam sejak beberapa tempoh, memuncak apabila Spotify Wrapped 2022 pada Disember tahun lalu menyenaraikan Tulus di tangga No.1 sebagai pemuzik paling didengarkan di Spotify Indonesia, malah menewaskan penyanyi terkenal dunia seperti bintang KPop, BTS; Justin Bieber dan Taylor Swift.

Dia malah mengungguli daftar album dan lagu paling banyak diputar di Indonesia di platform penstriman audio itu, masing-masing menerusi album Manusia dan lagu Hati-Hati di Jalan yang juga merupakan lagu tempatan paling lama menduduki tangga teratas bagi lagu mingguan Top 50 Indonesia.

Tampil serba hitam, Tulus yang ditemani band pemuziknya, memulai malam dengan Satu Kali sebelum Ruang Sendiri menyusul. Saya tidak menunggu lama untuk mendengarkan hit 2014, Gajah yang juga judul bagi album keduanya yang pernah meraih lima trofi di Anugerah Muzik Indonesia.

Saya suka melihat bagaimana penyanyi-penulis ini menginspirasi menerusi lagu seperti Gajah yang mengangkat pengalaman kecil yang awalnya dikira tidak enak, diejek-ejek lantaran saiz tubuh badannya yang tidak diduga menjadi satu anugerah, hari ini.

“Nada yang menenangkan dalam penghasilan karyanya, kejujuran yang diberikan sepanjang persembahannya dan penampilan sederhana dan sifat rendah dirinya yang terserlah mengesahkan keberadaannya yang membuat momen seolah cinta yang terbibit pada pertemuan pertama.”

Jeritan fans, mengalun bait puitis pada setiap lagu yang dipersembahkan, hatta yang bersuara sumbang masih terasa indah, barangkali kerana hamburan rasa senang Tulus yang mempesona dan senyuman yang menyejukkan mata.

Sepertimana debut Tulus pada 2011, dia menzahirkan perasaannya menerusi banyak penulisan liriknya dengan bait penuh makna diperdengarkan lewat lagu seperti Kelana, 1000 Tahun, Monokrom, Teman Hidup, Sepatu selain Jangan Cintai Aku Apa Adanya (JCAAA) dan Sewindu yang disampaikan secara akustik.

Dihadiri, sebahagian besar oleh mungkin fans tegarnya yang terbukti menerusi untaian single baru seperti Hati-Hati di Jalan yang dilagukan bersama dengan bangga, ramai yang enggan melangkah pulang biar pun setelah Manusia Kuat diberikan sebagai ucapan selamat malam.

Nada yang menenangkan dalam penghasilan karyanya, kejujuran yang diberikan sepanjang persembahannya dan penampilan sederhana dan sifat rendah dirinya yang terserlah mengesahkan keberadaannya yang membuat momen seolah cinta yang terbibit pada pertemuan pertama.

Di sebalik sistem bunyi yang ada ketikanya terasa agak menjengkelkan, usai 15 lagu pada Fabulous Friday Presents Tulus dalam durasi sederhana masih mengungkap rasa ingin lagi padanya. Padanlah mengapa kehadirannya sentiasa dinantikan.    Sungguh, payah untuk tidak mengagumi pria yang bernama Tulus ini.