Roh P Ramlee dan Keeksentrikan Pecinta Bernama Melly
Di malam konsert Ada Apa Dengan Melly? dengan momen yang merenggut rasa.

Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures

LAGI hamil anak sulung ketika beraksi di pentas kecil itu, dia segera membuat hati terpaut. Dan masih jelas di fikiran, dia tampil serba hitam dengan rambut dicelup menjadi blonde diikat dua, menari sambil mengusung perut yang memboyot pada pertemuan pertama itu.

“Terberanak gak minah ni,” bisik hati, ketika itu, namun saya menikmati sikap selambanya atau mungkin juga agak reserved, hampir tidak peduli dengan pandangan, terutama citarasanya dalam fesyen yang mengingatkan saya kepada penyanyi kelahiran Iceland, Bjork.

Itu cerita Melly Goeslaw, lebih 20 tahun lalu.

Iaitu, ketika Jika membawanya bertandang ke Kuala Lumpur, tanpa Ari Lasso yang pada masa itu masih terkait masalah penyalahgunaan dadah dan saya pertama kali menemuramahnya. Dan menerusi seorang teman, saya diperkenalkan kepada Anto Hoed, suami yang berperanan menyusun banyak lagu-lagu ciptaan sang isteri yang membawa kepada beberapa pertemuan kami di tanahair dan Jakarta.

“Aku sih sering bawa record ke mana aja. Dulu Walkman, ya,” antara perbualan dengan Melly apabila ditanya bagaimana dia menghasilkan lagu. “Jadi, ada ide, aku humming dan mas Anto yang bikin arrangmentnya. Aku kan gak bisa main instrument (muzik).” Jujur.

Ada apa dengan Melly? yang dibawakan Icon Entertainment membuat saya mengimbau pada cerita lama walaupun dia lebih dulu debut sebagai Potret seawal 1995 bersama Anto dan teman, Andi Ayunir sebelum tampil solo menerusi Melly, empat tahun kemudian yang berisi hit Jika.

Seawal diberitakan seorang teman mengenai usahanya untuk membawa konsert Melly ke Kuala Lumpur, saya segera membayangkan semacam apa penampilnnya kelak. Apakah Melly masih segila dulu?

“… apa yang dihadiahkan P Ramlee menerusi karya seninya, bagi saya, mengatasi ketidaksempurnaan itu. Dan barangkali, kecamukan rasa itu juga yang meresapi Melly sampai dia menumpahkan air mata.”

PESONA MELLY

Vibrasi dibina seawal teaser pembukaan, diikuti overture yang impresif oleh orkestra dan band yang mengiringi, membuat 2,500 fans tegar, sebahagiannya berusia separuh baya yang berseragam sekolah dan persatuan sepertimana tema Back to School konsert, jadi tidak keruan.

Sebaik Ingin Mencintai dan Dicintai diperdengarkan dan Melly menampakkan dirinya dengan persalinan yang segera mengingatkan saya pada watak-watak filem seperti Wizard of Oz, saya senyum mengetahui keanehan itu bakal menjadi malam yang menyenangkan.

Tapi mengapa penampilan atau citrasa fesyennya yang dikisahkan? Kerana Melly mengesahkan keasyikan apabila tidak takut untuk jujur pada diri.

Pesona Melly bukan hanya disebabkan sentuhan romannya, biarpun tidak kurang lagu-lagunya ikut bikin dada sempit. Iaitu, daripada cinta remaja Cinta dan Rangga lewat runut bunyi Ada Apa Dengan Cinta yang masih hangat dirasakan walaupun selepas 21 tahun yang membawa kepada pertemuan ramai audiensnnya pada dua malam persembahan ini. Atau, memori pada Pecinta Wanita dan Berdua Lebih Baik yang menaikkan nama bintang Heart, Irwansyah dan Acha Septriasa, sehinggalah kematangan rasa yang dihadiahkannya pada malam itu seperti dalam Ketika Cinta Bertasbih, dan Ayat-Ayat Cinta, nyanyian asal Rossa, antaranya.

Pesona Melly juga kerana keberaniannya yang dinukilkan pada banyak liriknya, antaranya tentang perempuan dan penderaan tanpa berhajat menjadi feminis seawal zaman Potretnya yang menjadikannya pencipta wanita disegani.

Jika tidak, masakan dia meraih penghormatan daripada mantan Presiden Indonesia, Allahyarham BJ Habibie untuk mengabdikan kisah cintanya lewat Cinta Sejati bagi filem Ainun dan Habibie yang membuai rasa, malam itu.

Dan pesona itu lebih lagi kerana di balik pembawaan dirinya yang tampak eksentrik sehingga dalam pemilihan nama dua puteranya, iaitu Anakku Lelaki Hoed dan Pria Bernama Hoed, saya suka untuk melihat Melly sebagai seorang pencinta – sebagai kekasih dan isteri, ibu, seniman dan hambaNya.

“… ada ketikanya energi vokalnya bagai mahu merudum atau mengakui tersilap lirik yang sempat menjadi momen lucu namun kejujuran dalam ketidaksempurnaannya itu, menurut saya adalah apa yang menjadikan ia sempurna.

P RAMLEE DAN JADI SENIMAN

Pada usia 49 tahun, wajar saja Melly dicemburui. Sebagai seniman, Melly mengakui melalui pelbagai kejerihan, termasuk zaman kegelapan dan cerita tentang tabungan Anto yang hanya berisi siling yang membawa kepada kelahiran Jika, antara yang dikongsi.

Bukan rahsia juga bahawa sosok berdarah Sunda ini merupakan antara pengagum Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Usai mengulit cinta dengan persalinan yang bertukar kepada sut perak bergemerlapan dan aksesori kepala berinspirasi tentera Trojan, Melly memberikan momen yang merenggut rasa apabila dia memberhentikan lagu agar Najua P Ramlee, cucu Seniman Agung itu yang dilihat mengesat air mata di celah audiens, menyertainya di pentas.

Seperti diduga, paduan Melly-Najua menambah hiba, Tidak hanya kerana kelunakan suara aktres yang tidak begitu dipedulikan pasaran komersial tanahair itu, tapi juga disebabkan rahsia terbuka P Ramlee yang dinista pada pengakhiran hidupnya dan kini kembali dikenang dalam separa penyesalan.

“P Ramlee pun bukannya malaikat,” seorang seniman pernah membisikkan. Tapi apa yang dihadiahkan P Ramlee menerusi karya seninya, bagi saya, mengatasi ketidaksempurnaan itu. Dan barangkali, kecamukan rasa itu juga yang meresapi Melly sampai dia menumpahkan air mata.

Cuma saya tidak mengerti mengapa momen itu perlu dimatikan dengan menyuakan kerancakan Bunyi Gitar yang saya kira lebih molek dipersembahkan awal kerana P Ramlee tidak kurang khazanahnya untuk diberi penghormatan.

Masih, ia malam yang penuh attitude. Suara Melly mungkin bukan yang terbaik, ada ketikanya energi vokalnya bagai mahu merudum atau mengakui tersilap lirik yang sempat menjadi momen lucu namun kejujuran dalam ketidaksempurnaannya itu, menurut saya adalah apa yang menjadikan ia sempurna.

Kata Melly, kerana seni itu tidak harus bersempadan, maka matahari, misalnya boleh juga berwarna biru dan tidak semestinya berwarna jingga. Dan saya pulang bersama rasa Ada Apa Dengan Melly? yang mungkin tidak terulang.