Kuasa <em>Vroom!</em> Bad Lab-Boon Siew Honda Racing Team
Dengan kempen Man-Gineered For Power melibatkan sukan permotoran bagi memperkasa generasi baru tempatan.

Oleh Rumi | Foto Bad Lab

“Bad Lab yang dikenali dengan inisiatif berkait rapat dengan trend serta genre budaya alternatif golongan muda, dilihat berjaya merealisasikan impian audiensnya.” – Zulhelmi Ahmad

BAD Lab meluncur di trek permotoran dalam misi menyokong bakat baru, terutama pelumba motosikal tempatan berkaliber lewat kempen Man-Gineered For Power agar dapat beraksi di arena antarabangsa satu masa nanti.

Inisiatif melalui kerjasama dengan Boon Siew Honda Racing Team itu bersesuaian dengan ciri-ciri Bad Lab, singkatan bagi Brave and Daring Laboratory, iaitu sebuah sebuah jenama barangan penjagaan diri dari Malaysia yang direka khusus untuk lelaki bukan konvensional yang berani dan tidak mudah menyerah kalah.

Pengarah Komersil Bad Lab, Lum Chong Heng, menyifatkan usahasama berkenaan adalah antara peristiwa paling penting di dalam sejarah jenama Bad Lab sejak penubuhannya pada 2014.

“Ia bukan saja satu keputusan strategik, namun begitu sejajar dengan misi Bad Lab memperkasa generasi muda Malaysia agar berani dan tidak mudah menyerah kalah di dalam usaha merealisasikan impian,” katanya, memetik kenyataan medianya pada pelancaran dan pengumuman rasmi inisiatif itu, baru ini.

Sebagai sebuah kempen, menurutnya, Man-Gineered For Power merupakan satu daripada strategi Bad Lab untuk menyokong serta membangunkan generasi baru pelumba Malaysia.

“Oleh itu, Bad Lab akan menyediakan satu platform khusus agar mereka bukan saja dapat menampilkan bakat yang ada, malah dapat menimba pengalaman dan belajar daripada pelumba lain yang hebat dan lebih senior,” tambahnya.

Komited dengan objektif untuk memupuk pelumba muda Malaysia hingga ke pentas dunia, Bad Lab juga memperkenalkan empat bakat muda di bawah usia 25 tahun yang akan mewakili pasukan mereka, Bad Lab KC Honda Racing Team.

Iaitu, Muhamad Shahzul Naim Razali, 25; Adib Hareez Hazwat dan Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas, kedua-duanya berusia 17 tahun dengan pelumba termuda mereka, Muhammad Irfan Haykhal Amidi, 16.

“… apa yang lebih penting adalah mesej yang cuba kami sampaikan bahawa dengan kerja keras, kesabaran serta semangat yang tidak luntur, tiada apa yang mustahil.” – Lum Chong Heng

Pengurus Boon Siew Honda Racing Team, Zulhelmi Ahmad, berkata menerusi aksi sulung pelumba Bad Lab KC Honda Racing Team di pusingan pertama edisi ke-30 Petronas Malaysia Cub Prix (2023) di Sepang International Circuit, baru ini memperlihatkan kredibiliti serta potensi tinggi mereka dalam sukan permotoran.

“Bad Lab yang dikenali dengan inisiatif berkait rapat dengan trend serta genre budaya alternatif golongan muda, dilihat berjaya merealisasikan impian audiensnya. Secara tidak langsung, ia bertepatan dengan slogan kami, Semangat Impian,” katanya, yakin dengan kesungguhan, para pelumba yang merupakan pemilihan khas Boon Siew Hojnda Racing Team itu bakal muncul juara.

Harapan tinggi tentunya turut diletakkan oleh Bad Lab terhadap para pelumba mereka, kata Lum Chong Heng.

“Namun, apa yang lebih penting adalah mesej yang cuba kami sampaikan bahawa dengan kerja keras, kesabaran serta semangat yang tidak luntur, tiada apa yang mustahil. Dan dengan Bad Lab, sesiapa saja dapat tampil hebat dalam usaha mencapai impian mereka,” tambahnya.