<em>Persidangan Asia Navigator 2023</em>: Protokol Keselamatan Awam Pasca Pandemik Diperbaharui
Isu perubahan dan cabaran berbeza dalam berdepan saat genting dan masa kecemasan oleh agensi keselamatan antara tumpuan.

Oleh Rumi | Foto Asia Navigator 2023

“… menyentuh tentang kes, cabaran dan isu keselamatan responden, membabitkan isu kesihatan mental dan pembentangan metadologi di sebalik protokol psiktiatri atau bunuh diri.”

ISU cubaan bunuh diri mungkin dianggap tabu bagi sebahagian besar masyarakat, namun apa yang berlaku selama pandemik ekoran wabak Covid-19 yang melanda tidak memungkinkan dunia untuk berpaling daripada kenyataan perit itu.

Dua hari Persidangan Asia Navigator 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru ini mendengar bagaimana pandemik memberi kesan yang cukup besar terhadap pandangan serta corak kehidupan manusia di seluruh dunia.

Soal perubahan kehidupan pasca pandemik, termasuk dalam mempersiapkan petugas keselamatan negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan berkhidmat dalam cara yang mungkin berbeza adalah antara yang diberi tumpuan pada persidangan itu.

Dianjurkan oleh International Academies of Emergency Dispatch (IAED), sebuah organisasi yang berpangkalan di Salt Lake City, Amerika Syarikat yang bergabung tenaga dengan syarikat tempatan, GFIS (M) Sdn Bhd, pelbagai agensi penghantaran serta penerima panggilan kecemasan berpeluang berbincang, berkolaborasi serta mengetahui sebarang perubahan protokol yang sesuai untuk dipraktikkan.

Jerry Overton, Presiden IAED

Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad bersama Presiden IAED, Jerry Overton dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GFIS, Puteri Mariana Abdul Majid, persidangan itu menyaksikan 11 pembentangan dibuat, termasuk oleh perwakilan antarabangsa.

Antaranya Presiden Priority Dispatch Corporation, Brian Dale menerusi kertas bertajuk “Caller in Crisis (Mental Health) & Protocol 25 (Psychiatric/ Suicide) Discussion” yang menyentuh tentang kes, cabaran dan isu keselamatan responden, membabitkan isu kesihatan mental dan pembentangan metadologi di sebalik protokol psiktiatri atau bunuh diri.

“Justeru, perlulah ada satu keseragaman protokol bagi keselamatan awam tatkala berdepan saat genting serta waktu kecemasan seperti mana penularan wabak.”

Peningkatan 50 peratus dalam jumlah panggilan menggunakan Protokol 25 (Psychiatric/ Abnormal Behavior/ Percubaan Bunuh Diri) di MECC Miri dalam tempoh dua tahun, sejak 2020, berbanding 2019, pula didedahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) MECC Miri menerusi kertas bertajuk “Global Pandemic and Public Mental Health.”

Pembentangan oleh Chua Ah Meng, Alrenes Ivianni Wan Jali dan Mohammad Salman Maliki itu merangkumi isu keselamatan daripada perspektif responden yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dengan agensi lain untuk memastikan pengurusan tempat kejadian selamat bagi paramedik dan pesakit. Data dikongsi turut menunjukkan bahawa kira-kira lima peratus adalah percubaan bunuh diri dan angka itu mempengaruhi kedua-dua EMD dan pemanggil.

Persembahan khas oleh anggota JKKN Selangor mengenai tekanan dan gejala membunuh diri

Asia Navigator 2023 dalam kenyataan medianya, menyebut tentang perubahan drastik dalam budaya kerja susulan kehidupan norma baru yang dijalani pasca pandemik selepas melalui perintah berkurung serta sekatan pergerakan yang telah menjejaskan interaksi domestik, juga antarabangsa.

Ia menyaksikan banyak organisasi memilih bekerja secara hibrid, manakala dunia pendigitalan memecut menerusi penggunaan pelbagai teknologi maya, kecederasan buatan (AI) dan mata wang Kripto, antaranya yang membawa tumpuan kepada kesejahteraan pekerja yang telah menjadi barisan hadapan strategi modal insan.

“Ini bermakna tahap keselamatan diri manusia itu amatlah penting dan perlulah diberi keutamaan,” menurut kenyataan itu. “Justeru, perlulah ada satu keseragaman protokol bagi keselamatan awam tatkala berdepan saat genting serta waktu kecemasan seperti mana penularan wabak.”

Persidangan itu, antara lain turut menyaksikan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Selangor meraih perhatian perwakilan dengan persembahan khas mengenai tekanan dan gejala bunuh diri. Selain perbincangan dan forum, pelbagai maklumat juga disediakan di gerai pameran.

Antara peserta dan perwakilan yang menyertai persidangan kali ini