Ini Baru Legend! Kuching Sahkan Tiada Nokhtah Buat Papa Rock
Full house, edisi Sarawak Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 lakar malam yang penuh rasa.
Oleh Zurina Waji | Foto PapaDin
“HARI demi hari, seolah-olah saya makin muda,” kata Datuk Ramli Sarip, senyum, santai di belakang pentas sementara menunggu gilirannya memulai persembahan sempena jelajah konsertnya di Kuching, baru ini.
Seraya membetulkan jaketnya, penyanyi berusia 70 tahun ini tampil sebagaimana khalayak mengingatinya, dengan gayanya yang sentiasa rugged. Biar dengan rambut yang sudah memutih, tampang bersih dan bicaranya yang tersusun, lembut, seperti lazimnya menyenangkan.
“Saya macam okay, keep going, macam tak kisah. Kerana itulah dia, semangat yang kita dapat,” tambahnya yang mengakui bagaimana penghormatan dan penghayatan yang diberikan masyarakat terhadap perjalanan seninya jadipendorong.
“Sebab itu, dalam persembahan kita tak boleh terlalu berkira, beri apa yang ada. Bagi saya, kalau 1,000 (audiens) datang, 900 tak berapa terkesan tapi 100 terkesan dah bonus kerana itu beritahu muzik kita positif.”
Dia tentunya tahu benar tentang apa yang diperkatakannya kerana malam yang memakai gelar Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 – Cinta di Sebalik Musim anjuran Yayasan Kepimpinan Al-Bait (YKAB) dengan kerjasama Rasa Karya Sdn Bhd itu menyaksikan bagaimana muziknya mempertemukan fans yang berbeda latar dan usia, menyambut lagu-lagu yang diperdengarkan dengan penuh kenikmatan.
Jujur, persembahan berkonsep makan malam bukanlah pilihan saya, namun malam itu memberi momen indah apabila audiens yang diduga formal, seolah tidak tertahan apabila digoda dengan untaian hits seperti Sejuta Wajah, Bukan Kerana Nama, Jikalau Berkasih, dan lebih terserlah lewat klasik Sweet Charity, Kamelia dan Teratai, antaranya. Gamat dewan dengan sahutan audiens yang ikut bernyanyi, hampir merubah suasana malam seperti sebuah konsert berdiri.
“.. bantu membina suasana lagu Melayu Nusantara kita. Kalau tidak, mereka banyak dengar JPop, KPop tapi (genre) itu tidak akan berkekalan sebab apabila dewasa, kita akan dengar lagu yang lebih dewasa yang ada kelainan, pasal kehidupan.”
Diiringi pemuzik terkenal, antaranya Addy Cradle yang bermain gitar, Tom Anuar (Dram) dan Mohar (seruling), di bawah pimpinan Roza, saya kira inilah yang dimaksudkan Ramli, iaitu untuk berlaku jujur dalam berkarya, memberi sepenuh jiwa dengan keghairahan yang tidak pernah padam.
“Harap ada kenangan manis, (lagu) terngiang dalam ingatan,” katanya, sebelum itu apabila ditanya apa yang diharapkannya akan dibawa pulang oleh audiensnya, malam itu. “InsyaAllah, dalam perjalanan ini, saya tak tahulah tapi kalau awak duduk di luar, rata-rata (audiens) yang disoal akan jawap apa yang saya rasakan.”
BACA: Jelajah Ramli Sarip 2022: Lefthanded Sertai Papa Rock Di KL
Sokongan seperti diberikan YKAB itu, antaranya bagi pembiayaan kegiatan membabitkan kepimpinan dan kebajikan, menurut Ramli bakal disusuli beberapa persembahan lagi di Bumi Kenyalang.
“Kita nak kongsi dengan penggemar Sarawak, iaitu kita punya bahan yang sangat dewasa, baik dari zaman Sweet Charity hingga zaman Ramli Sarip yang akan datang” katanya yang turut giat memperkenalkan Rasa, album studionya yang dihasilkan semasa pandemik melanda dunia. Ronggeng Rakyat, Srikandi Zaman dan Cinta di Sebalik Musim adalah antara yang dimuatkan dan mula meraih perhatian.
“Album baru ini punya wadah yang sangat penting untuk dikongsi bersama peminat Sarawak. Dan bila konsert, konsep itu sangat penting macam malam ini, duduk santai tapi dapat merasakan satu persembahan, jalan cerita yang dewasa.”
Ditanya mengenai kehadiran anak-anak muda dalam konsertnya, Ramli agak berfalsafah, menjawab: “Ibarat kuih, kalau kuih itu sedap… kalau datang (Sarawak) saya mesti cari kuih bingka sini, makan etnik, sedap dan benda macam itu tak boleh bohong. Macam menyanyi dan persembahan, kalau bagus, kena sentuhan, mereka suka itu kira bonus.
“Maknanya, mereka faham, mereka suka dan mereka bantu membina suasana lagu Melayu Nusantara kita. Kalau tidak, mereka banyak dengar JPop, KPop tapi (genre) itu tidak akan berkekalan sebab apabila dewasa, kita akan dengar lagu yang lebih dewasa yang ada kelainan, pasal kehidupan.”
Perjalanan 50 tahunnya dalam seni, disifatkannya sebagai “sangat bewarna-warni, indah dan bukan suatu yang susah.” Biarpun ada onak dan ranjau, menurutnya ia adalah satu perjalanan hidup yang harus dilalui.
Jadi selebriti, dia tidak melihatnya sebagai hiburan semata, malah lebih merupakan satu kehidupan.
“Kala cerita, perjalanan lagu itu beri kesedaran, ingatan selain hiburan buat pendengar, ia jadi satu wadah, beri energi. Jadi saya akan terus jalan. Kita mungkin akan berhenti seketika, berehat tapi kita akan jalan lagi kerana lagu, muzik dan kerja kita tiada nokhtah. “Kita tidak boleh duduk harapkan doa.”
Comments are closed.