“Supaya tak stuck, tak mati.” – Along, Tentang Konsert Resolusi Exists, Jumaat Ini
Tak hanya tampilkan tiga vokalis, termasuk Mamat, momen istimewa dan rare bakal dilakar Exists.
Oleh Zurina Waji
“… gandingkan Eiz dan Pasha bersama Mamat. Projek ini istimewa, berani. Ia jadi benda baru dalam Exists. Saya gembira dengan komitmen mereka, daripada segi vokal ada range tinggi, ada vocal power, tiada masalah nyanyikan lagu Exists dalam original key.”
“THE show must go on,” kata Along, pemain gitar Exists mengenai penganjuran Konsert Resolusi Exists yang berlangsung pada malam sebelum rakyat Malaysia keluar mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esoknya.
Ia suatu situasi yang dianggap “agak istimewa dan rare” dalam sejarah 31 tahun Exists, sejak mereka yang masih remaja, ketika itu diperkenalkan menerusi single ciptaan Allahyarham Rahim Othman, Untukmu Ibu.
Resolusi, akuinya memberi rasa debar yang sukar diketepikan Exists yang menjalani latihan seawal September bagi konsert yang berdurasi tidak kurang daripada dua jam itu yang menyenaraikan 20 lagu, antaranya dibuat susunan baru dan ada juga yang belum pernah dibawa secara live.
“Hits dan juga berdasarkan permintaan fans,” katanya, mengenai lagu yang bakal dipersembahkan. “Iaitu lagu-lagu yang sudah lama sangat kami tidak mainkan, ada tidak pernah dibawa secara live seperti Janji Bidadari, Terpaksa, Kuman H.I.V, Kerana Cinta. Biar fans puas, boleh sing-along, imbau nostalgia, ingati memori lampau mereka dengan lagu-lagu Exists.”
Satu kejutan, mulanya apabila Resolusi diumumkan menampilkan tiga vokalis. Tanpa Ezad Lazim yang terikat dengan komitmen lain, Exists memperkenalkan pendatang baru, Pasha dan Eiz yang akan bergandingan dengan vokalis asalnya, Mamat. Selain Along, Exists turut dianggotai Musa yang bermain bass, Ajai (keyboard) dan Ujang (dram).
“Resolusi sebenarnya suatu yang baru daripada kami, agak berani bagi Exists yang menampilkan Pasha dan Eiz yang dilihat sebagai energi baru yang datang kepada Exists supaya generasi baru dapat meneruskan legasi Exists,” katanya.
“Kita upgrade. Kita nak input baru pada pendatang baru supaya kita tak stuck, tak mati dengan apa yang ada. Agak sukar untuk fans terima, mulanya tapi ia akan jadi satu yang sinonim untuk Exists yang sebenarnya dah biasa dengan pertukaran vokalis sejak dulu. Kami dah melalui bermacam fasa, daripada Mamat, Ezad, kemudian Joey ke Resolusi ini yang diharap lancar bersama Eiz dan Pasha.”
Keputusan itu, menurut Along, bagaimanapun bukan pertaruhan yang dibuat secara semberono. Juga, bukan kerana tidak meyakini keupayaan Mamat yang diakui masih mempunyai aura untuk beraksi di pentas.
Ditanya mengenai pemilihan Eiz dan Pasha, jawapnya: “Saya sudah bersama Eiz seawal 2015 bagi side project menerusi band Gerilia dan dia sebagai vokalisnya, kami buat kandungan lagu-lagu cover yang mendapat sambutan baik. Dia juga pernah menyanyi bersama Exists dalam show kecil. Jadi, sudah tiba masanya untuk beri dia peluang, tunjukkan taringnya.
“Sedangkan Pasha pula, seperti diketahui, dibawah didikan Ajai menerusi program realiti, Mentor dan meraih No.2. Ajai percayakannya, lalu kami putuskan untuk gandingkan Eiz dan Pasha bersama Mamat. Projek ini istimewa, berani. Ia jadi benda baru dalam Exists. Saya gembira dengan komitmen mereka, daripada segi vokal ada range tinggi, ada vocal power, tiada masalah nyanyikan lagu Exists dalam original key.”
“Bukan senang bagi mereka hadir, kemudian balik kampung untuk mengundi. Ini satu yang agak istimewa dan rare, kami tak pernah alami situasi sebegini. Bagi saya, fans yang hadir kelak sangat best.”
Mamat juga, menurutnya memberikan komitmen yang baik walaupun pada awal latihan berdepan masalah kesihatan. Ini termasuk pengorbanan Mamat, meninggalkan sementara Johor Bahru dan berkampung di Kuala Lumpur bagi memastikan kelancaran persiapan Resolusi.
“Dia okay. Okay sangat,” kata Along, mengenai Mamat. “Itulah cara dia. Mamat ni, kalau kita tengok dia macam gembira je, suka cakap banyak adalah sebab dia gembira sebenarnya. Dia ada beritahu dia gembira kali ini, dengan konsert, line up, dia rasa enjoy. Saya bersyukur dia beri komitmen yang baik, cuma masa awal latihan dia demam tapi kini makin sihat.”
Ini diakui Mamat, dalam satu perbualan berasingan, yang menyifatkan latihan kali ini benar mengembalikan memorinya yang dibina seawal 12 tahun bersama Exist, tentang kenaifan dan kenakalan yang menjadikan hari ini suatu yang amat bermakna.
“Saya dengan Along sebaya, umur kami 12 tahun masa bermula dengan Exist tapi Along muda sikitlah daripada saya,” katanya, ketawa sebelum menyambung, “Dalam Exists ni, paling berperangai, paling gangster, paling banyak hal, sayalah.”
Dia yang jadi lucu sendiri, memberitahu kini, pada usia 44 tahun dan bakal menimang cucu, juga gembira apabila Resolusi menyenaraikan beberapa lagu lama, termasuk daripada debut Exist yang membuatnya cukup bernostalgia.
“Banyak lagu lama yang akan kita bawa, siapa yang kenal Exists dari tahun 90an akan tahulah. Nak main lagu lama, mulanya rasa macam budak-budak tapi bila kita main balik, alamak! Memori itu datang balik, rasa fun, macam masa belasan tahun dulu.”
Along berkata, dalam keterujaan Exists untuk beraksi, memperdengarkan susunan baru muzik mereka, ada kerisauan menerjah memikirkan konsert yang bakal berlangsung berdekatan hari mengundi.
“Kita dah rancang konsert seawal Ogos, tiba-tiba Kerajaan umum PRU, tak boleh buat apa-apa,” katanya, mengakui penganjur, ImagineX mahu meneruskannya walaupun ada beberapa konsert seperti band Indonesia, Slank dan Ungu ditangguhkan kerana bertepatan hari mengundi. “Ada fans beritahu dah beli tiket tapi terpaksa balik kampung untuk mengundi.
“Bagi kami, fans yang beli tiket dan hadir pada malam Resolusi nanti adalah fans sejati Exists. Kita nampak siapa yang betul-betul sokong Exits, selama ini, sokong artis lokal. Bukan senang bagi mereka hadir, kemudian balik kampung untuk mengundi. Ini satu yang agak istimewa dan rare, kami tak pernah alami situasi sebegini. Bagi saya, fans yang hadir kelak sangat best. Istimewa, sangat menyokong dan mereka inilah yang menggerakkan Exists sebenarnya, selama ini,” tambahnya.
Bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur, tiket bagi Konsert Resolusi Exists masih boleh didapatkan di www.ticket2u.com.my
Comments are closed.