Rockers 3 Negara di <em>Konsert Kolaboraci – Three to Rock</em>
Ke Jakarta untuk persembahan rockers legenda Indonesia, Malaysia dan Singapura, 25 November ini.

Oleh RUMI

“Kami mahu menjadikan Konsert Kolaboraci ini sebagai pentas buat pemuzik dan band, serta menjadi destinasi hiburan muzik yang dinantikan masyarakat Indonesia.”

SATU malam, satu pentas. Kolaboraci – Three to Rock bakal mempertemukan rockers tiga negara, antaranya band BIP dari Indonesia dan pemain gitar terkenal tanahair, Man Kidal untuk sebuah konsert di Jakarta, buat pertama kalinya.

BIP, menerusi konsert anjuran Aci Gold itu, akan dibarisi pemain gitar, Pay Burman; Bongky Marcel (bass) dan Indra Q (keyboard) yang pernah bersama band legenda, Slank sebelum mengundurkan diri pada 1996 dan menubuhkan BIP, kini dengan Ipank Lazuardi sebagai vokalisnya.

Selain BIP yang dikenali dengan lagu seperti Kita Bisa, Orang Sepertiku dan Lelah, Indonesia juga akan diwakili Pindad Rock Star, Erik & The Gotune yang dianggotai Iwan Xaverius yang pernah bersama Edane, dan Jhon Barhaend.

Kehadiran Man Kidal yang juga pendiri band rock legenda, Lefthanded yang kini turut bermain untuk Search tentunya akan menghangatkan lagi malam konsert, apatah lagi dengan gandingan pemain dram XPDC, Lola dan vokalis Project Pistol, Cliff Umar, selain pemain bass Lovehunters, Yazid mewakili Singapura.

Aci Gold, menerusi kenyataan medianya, melihat penganjuran itu sebagai sumbangan kepada industri muzik Indonesia, selain menjadi pentas harapan buat pemain industri dan masyarakat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Kami mahu menjadikan Konsert Kolaboraci ini sebagai pentas buat pemuzik dan band, serta menjadi destinasi hiburan muzik yang dinantikan masyarakat Indonesia,” memetik kenyataan mereka.

Dengan Jakarta sebagai permulaan, Aci Gold mengumumkan jalinan kerjasama dengan koperasi tempatan, MyUBI untuk Konsert Kolaboraci di Malaysia kelak dalam usaha membina satu komuniti di Asia Tenggara.

Akses

  • 25 November 2022
  • 7pm
  • SMESCO Convention Hall, Jakarta

Tiket

  • Pra-jualan RM303 (VIP), RM152 (Tribune), RM75 (Festival)
  • Bagi tontonan streaming, RM15
  • Tiket boleh dibeli di www.kolaboraci.online