<i>Konsert 25 Tahun Padi Reborn</i> di KL
Kembali menyapa Sobatpadi di Malaysia pada 3 Disember ini.

Oleh RUMI

MOMEN begitu indah, tentunya buat penggemar yang digelar Sobatpadi untuk dibuai band rock terkenal Indonesia ini yang kembali sebagai Padi Reborn bagi meraikan ulang tahun ke-25 mereka dalam dunia muzik rantau ini.

Konsert 25 Tahun Padi Reborn menghadiahi kesempatan mengubati kerinduan terhadap band asal Surabaya ini yang dibarisi vokalisnya, Fadly; Piyu dan Ari (pemain gitar), Rindra (pemain bass) dan Yoyo (pemain dram).

Dianjurkan Qew Communications Sdn Bhd, band yang memberikan keasyikan menerusi karya seindah Semua Tak Sama sehingga Kasih Tak Sampai, Mahadewi dan Seperti Kekasihku, antaranya dijadual beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 3 Disember nanti.

Berkongsi berita gembria itu, Pengarahnya, Datin Rahizahwati Yahya yakin penggemar Padi, khususnya pasti teruja kerana perancangan konsert yang tertunda akibat pandemik kini menjadi realiti.

“Kami percaya dengan kembalinya Padi Reborn ke Malaysia sempena ulang tahun ke-25 akan memberi satu lagi justifikasi tentang kumpulan yang mempunyai pengaruh dan peminatnya sendiri ini sebagai penghibur yang tidak akan mati ditelan zaman,” katanya, menerusi kenyataan medianya.

Diperkenalkan sebagai Padi pada 1997, band ini segera meraih perhatian menerusi album Lain Dunia sebelum meledak dengan album Sesuatu Yang Tertunda, tiga tahun kemudian yang disenarai majalah Rolling Stone Indonesia anatra 150 Album Terbaik Indonesia Sepanjang Zaman.

Padi terus utuh dengan beberapa album dan terakhir, Tak Hanya Diam pada 2007 sebelum menyepi tapi kembali tujuh tahun kemudiannya dengan semangat baharu sebagai Padi Reborn dengan album Indera Keenam, tiga tahun lalu.

Piyu, dalam satu kenyataan, turut menitipkan ucapan terima kasih kerana masih menerima mereka.

“Ini adalah sebuah kesempatan yang mengujakan buat seluruh anggota Padi Reborn kerana akan merayakan perjalanan dan ulang tahun jubli perak yang ke-25 di Malaysia,” katanya. “Terima kasih kerana masih mahu berjalan harmoni dengan Padi Reborn.”

Akses

  • 3 Disember 2022
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • RM199, CAT 1; RM169 (CAT 2), RM399 (CAT 3), RM269 (CAT 4) dan RM6,000 (VIP)
  • Dijual mula 28 September, 11 pagi
  • Beli di https://www.ticket2u.com.my