<i>Raisa: Live in Malaysia</i>, 20 November
Eksklusif One-Night-Only lewat konsert yang dijanjikan sebagai malam ajaib.

Oleh RUMI

“… beliau bukanlah penyanyi biasa. Suaranya yang merdu adalah ikonik dan mewakili gelombang baru balada, lagu pop dan jazz, serta muzik melankolik lain yang serupa.”

SATU persembahan ekstravaganza bakal diberikan bintang pop dan R&B Indonesia, Raisa dalam penampilan sulungnya di Malaysia menerusi konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 20 November kelak.

Raisa: Live in Malaysia dianjurkan oleh Hitman Solutions yang menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Rohit Rampal, sebagai memenuhi keinginan penggemar muzik Malaysia untuk dihiburkan artis antarabangsa.

Biasa menganjurkan konsert berskala besar, terutama daripada Bollywood seperti bintang terkenal, Shah Rukh Khan, selain Arjit Singh dan Shreya Ghosal, akuinya pihaknya mempunyai jangkaan besar untuk konsert berdurasi dua jam itu.

“Nama Raisa terkenal dalam industri muzik Indonesia,” katanya, menerusi siaran medianya yang turut menyifatkan karya Artis Baru Terbaik, Anugerah Musik Indonesia ke-15 itu meraih perhatian ketara di Malaysia selepas diperkenalkan melalui single Serba Salah daripada album sulungnya, Raisa pada 2011.

“Pencapaian ini kerana beliau bukanlah penyanyi biasa.” tambahnya. “Suaranya yang merdu adalah ikonik dan mewakili gelombang baru balada, lagu pop dan jazz, serta muzik melankolik lain yang serupa.

“Raisa dijangka memperdengarkan kira-kira 20 lagu hitnya, diiringi pemuzik profesional dan produksi audiovisual kami yang terkenal. Kami mempunyai jangkaan yang besar untuk konsert ini dan berharap anda merebut peluang ini.

Raisa: Live in Malaysia, jelas Rohit dijangka menjadi satu lagi penganjuran epik Hitman Solutions yang baru ini mempersembahkan konsert penyanyi latar popular Bollywood, Jubin Nautiyal. Acara seumpama ini adalah respons terhadap inisiatif kerajaan Malaysia untuk menggalakkan penciptaan acara fizikal, di samping merangsang perkembangan industri hiburan dan pelancongan negara.

Akses

  • 20 November 2022
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30 pm

Tiket

  • VVIP, CAT 3 dan CAT 4 – habis dijual
  • Zon Free Standing, CAT 1, RM250 dan CAT 2, RM200
  • Beli di www.hitmanlive.com atau hubungi 012-8870669