Dari Layar Lebar ke NFT, JUANG The Movie Jadi Peribadi
Meneroka potensi seni filem tanahair lewat projek mega yang pertama seumpamanya.

Oleh RUMI

“Tidak terhenti di layar lebar, Juang yang disifatkan sebagai tanda penghargaan untuk rakyat Malaysia itu turut membawa jenamanya ke satu tahap lagi lewat pelancaran NFT Amal yang Pertama untuk Filem di Malaysia.”

DIBANTAI pandemik, dunia bagai bergerak dalam mode slo-mo. Ia memeritkan bagi sebahagian, namun cukup untuk mengetuk pintu hati manusia sebagai hikmah yang menginspirasi, sepertimana Juang The Movie.

Cerita tentang pengorbanan dan perjuangan, dicetuskan barisan hadapan sebagai wira tidak didendang, filem ini, buat kali pertamanya, menggabungkan lima sutradara – Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Matt Lai, Khabir Bhatia dan Osman Ali.

Ia turut melakar sejarah dengan pembabitan lebih 500 penggiat seni, termasuk lebih 100 pelakon dengan nama-nama besar seperti Zul Ariffin, Zizan Razak dan Janna Nick. Diterbitkan oleh Asia Tropical Films dan The Film Engine, ia bakal menjengah pawagam pada 8 September depan.

Tidak terhenti di layar lebar, Juang yang disifatkan sebagai tanda penghargaan untuk rakyat Malaysia itu turut membawa jenamanya ke satu tahap lagi lewat pelancaran NFT Amal yang Pertama untuk Filem di Malaysia.

Diperkenalkan WebTVAsia, NFT Amal itu adalah sebagai sumbangan terhadap pengorbanan serta sokongan barisan hadapan Negara dalam membendung wabak Covid-19 dengan kesemua hasil jualan akan disumbangkan kepada NGO barisan hadapan, Thrive Well dan The Hope Branch.

BACA: 6 Sutradara. 200 Kru. 100 Pelakon. 1 Filem. Juang, Orang Filem vs Covid-19

Malam Gala Karpet Merah Juang di Kuala Lumpur, baru ini menyaksikan pelancaran NFT Amal itu yang didahului lelongan tujuh edisi khas NFT Juang yang menampilkan karekter Jack Lim, Haoren, Sangeeta Krishnasamy dan Allahyarhamah Adibah Noor, selain Zul, Zizan dan Janna.

Ia, menurut kenyataan media WebTVAsia adalah anatra tiga jenis NFT Amal yang dilancarkannya, selain 1,000 NFT Siri Gala Poster filem Juang kepada semua 1,000 tetamu terawal. Juga disenarai 450 rekabentuk unik NFT Juang kesemua karekter filem dalam tiga koleksi, iaitu Juang Platinum, Juang Emas dan Juang Perak yang boleh dibeli di https://nft.juangthemovie.com dengan kesemua jualan akan didermakan.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa menerusi ucapannya pada malam gala itu turut menyifatkan semua rakyat Malaysia sebagai barisan hadapan “dengan cara kita sendiri.”

Jelasnya, paparan Juang juga seharusnya memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia mengenai kekuatan perpaduan yang memungkinkan semua halangan dapat diatasi, termasuk dalam mengharungi pandemik Covid-19, dua tahun ini.

Sambil memuji kempen derma kempen amal seperti NFT Amal Juang yang memperlihatkan manfaat teknologi digital terkini bagi mengangkat karya tempatan, beliau turut melahirkan keinginannya untuk “melihat lebih ramai pembikin filem bekerjasama menghasilkan lebih banyak filem Malaysia sepertimana Juang yang benar-benar merakamkan kepelbagaian dan elemen kenegaraan negara kita, Malaysia.”