Intimasi Mahligai Syahdu Hattan
Di konsert Hattan – 35 Years Journey yang memperjelaskan kenapa dia masih di sini.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

“Seorang penyanyi yang punya attitude, sisa selamba seorang kutu dalam bicara jujur namun boleh juga disalah duga sebagai keangkuhan.”

Hani. Masih, seperti saat pertama mendengarnya, mood blues dalam rock n roll ciptaan M Nasir dengan bait nakal yang diberikan Loloq yang menggunakan nama Nurbisa itu membuat saya senyum sampai hari ini.

Dimuatkan dalam album Antem pada 1992, ia sekali gus memberi satu perspektif berbeda terhadap pelantunnya yang diteriak Hattan itu.

Dan Hani bergema lagi, mengembalikan keasyikan kali pertama itu, pada konsert Hattan – 35 Years Journey yang dibawa eksklusif oleh Mewah Event Management (MEM) dengan disokong oleh West Ipoh Span Expressway atau WISE di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, baru ini.

Ditanya seorang rakan mengapa Hani yang dinantikan pada konsert solo pertama berskala besar itu, saya kira ia kerana soul yang diberikan. Seorang penyanyi yang punya attitude, sisa selamba seorang kutu dalam bicara jujur namun boleh juga disalah duga sebagai keangkuhan.

Dan 35 tahun bukan satu tempoh masa yang singkat untuk bertahan dengan attitude yang kepura-puraan.

Kala dia menyingkap perjalanan awalnya dalam seni, seingat saya dia tidak begitu diperhatikan sehinggalah debut solonya menerusi album Hattan pada 1991 yang memberikan hit Memburu Rindu sebelum lahirnya Antem yang memberikan lagu hit slow rock, Mahligai Syahdu.

Pernah merakam lagu bersama Pratayuda sebelum dikenali sebagai frontman FRU, singkatan daripada Five Rockers Union – kecuali nama yang lebih diasosiasi dengan pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan yang juga digelar FRU – sukar buat Hattan menyaingi aura band rock 80an yang didominasi Search dan Amy yang flamboyant, Wings yang melegenda bersama Awie, Lefthanded dengan Nash, May dan vokal power Mus, Ella & The Boys dan Rahim Maarof & The White Steel, antaranya.

“… Kelentong Dol Hancing yang mengungkap kisah silam banyaknya band rock “dikencing tauke fun fair” atau promoter yang mengilhami Loloq bagi lirik dalam gaya bahasa seorang kutu rock.”

Selamba, masih begitu dan dengan keterbukaan yang membibitkan momen-momen lucu memahat malam cukup intimasi, Hattan mengotakan apa yang dijanjikannya, iaitu persembahan sebagai “hadiah daripada saya untuk sahabat dan peminat yang menyokong saya selama 35 tahun ini.”

Tirai malam yang dibuka dengan persembahan caklempong bukan sekadar mengesahkan darah Minang anak kelahiran Seri Menanti ini. Ia malah dilihat sebagai apresiasi terhadap rakan pemuzik, iaitu Nan dan Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Pa’ang (perkusi) dan Firdaus (keyboard) selain Mohar yang bermain seruling, di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Rozario.

Usai memberikan Biso Bonar sebaik muncul di pentas, Hattan tidak mengambil masa lama untuk memberikan Kelentong Dol Hancing yang mengungkap kisah silam banyaknya band rock “dikencing tauke fun fair” atau promoter yang mengilhami Loloq bagi lirik dalam gaya bahasa seorang kutu rock.

“Dan suara jantan itu yang menghantui tanpa perlu bersikap apologetik terhadap usianya yang bakal menginjak 58 tahun!”

Hattan menggeletek audiens dengan cerita bagaimana para rockers sepertinya memotong rambut panjang yang menjadi identiti demi meneruskan kelangsungan hidup, namun hanya untuk melihat album Ana Permata Timur tetap diharamkan biarpun onak dilalui sukar dibayangkan.

Sekian lama dilihat sebagai underdog, 35 tahun ini sebetulnya hanya bisa ditempuhi kerana Hattan seorang survivor.

Hattan juga tidak menyembunyikan pengaruh yang diberikan insan seperti Datuk M Nasir yang diangkat menerusi segmen Mentor, menggamatkan malam dengan lagu yang pernah dirakamnya semula seperti Duit dan Gerhana. Juga Datuk Ramli Sarip yang berada di tengah audiens, selain Allahyarham Loloq dan Bob Lokman, antaranya.

Oh! Dan suara jantan itu yang menghantui tanpa perlu bersikap apologetik terhadap usianya yang bakal menginjak 58 tahun!

Malam itu, termasuk momen bersama Adam E yang mengesahkan kekaguman anak muda bersuara lunak itu pada sang ayah di sebalik rasa gementarnya sebelum dua beranak ini berduet menerusi Gadis Jolobu, memang terasa agak peribadi buat Hattan.

Rendang Tak Berbuah nukilan Bob Lokman merumuskan perasaan yang terbuku. Rintihan rindu terhadap ibu yang akhirnya harus pergi namun masih belum bisa terbalas budi atas pengorbanan itu, menambah kesyahduan malam.

Apa lagi yang boleh dikatakan kecuali melihat doa ibu itulah yang memungkinkan Hattan tetap ada.