Bisa Malam Endemik Search
Dipacu Amy, Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal, konsert di Zepp KL itu disebut bukti keunggulan Search

Oleh RUMI | Foto Saiful Chin, Hazmil Japilus

“… dan Amy sentiasa mahukan sesuatu yang fashion forward.” – Jiman

BIAR pada usia melangkaui separuh abad, ketidaksempurnaan adalah suatu yang tidak boleh diterima oleh peminat band rock berusia lebih 40 tahun ini yang menampilkan frontman, Amy yang dikenali dengan gaya flamboyantnya.

Search harus tampil sebagaimana Search.

Iaitu, bukan saja sebagai sebuah band rock yang diingati dengan untaian lagu-lagu yang pernah menggegarkan rantau ini, antaranya Isabella dan Fantasia Bulan Madu yang menjadikan mereka legenda.

Juga satu yang pasti dinanti dan diperkatakan – fesyennya.

Keterbukaan Amy, khasnya jelas memudahkan Jiman Casablancas, penata gaya yang dipertanggungjawabkan menambah warna pada Konsert Endemik 2022 yang berlangsung di Zepp KL, baru ini.

“Fesyen adalah di antara elemen yang amat diambil berat oleh Amy,” akui Jiman mengenai percikan glam rock berbaur gothic yang menyemarakkan malam nostalgia itu, seraya menambah, “dan Amy sentiasa mahukan sesuatu yang fashion forward.”

Jiman menyempurnakan sentuhannya dengan kerjasama Kit Woo dan Wardrobe Privato “untuk memastikan penampilan kesemua ahli Search serta sesiapa saja yang beraksi di atas pentas menyokong visi Search daripada segi visual”, di samping grooming yang diketuai jurusolek terkenal, Khir Khalid bersama David Shaw, Jijie Zainal dan Kasih Cicie.

BACA:

Search Gamit Nostalgia di Konsert Endemik

“… status Search sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia, fasiliti bertaraf dunia di Zepp KL… “ – Rizal Kamal

Bagi penganjur, LOL Asia, Konsert Endemik 2022 tentunya memahat malam yang cukup bererti.

Di tengah konflik yang menghambat penganjuran, iaitu membabitkan satu lagi band Search yang yang dikemudi gitaris adik beradik, Din dan Kid, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Kamal, menyifatkan:

“Saya percaya status Search sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia, fasiliti bertaraf dunia di Zepp KL dan juga tenaga kerja belakang tabir, dan sistem sokongan yang kukuh menjadi faktor utama Konsert Endemik hangat diperkatakan dan sold out pada kedua-dua malam.”

Jelas Rizal lagi, malam itu diperhebat dengan kehadiran Genervie dan pemain dram, Arthur Kam yang diiktiraf sebagai antara pemuzik terbaik Malaysia, selain jurutera bunyi terkenal, Akira Yamauchi untuk “memastikan kualiti sound Konsert Endemik pada kedua-dua malam di tahap yang tertinggi.”

Usai memahat malam dengan 22 repertoire lagu, dimulai single baru, Endemik I dan disusuli hit Pelesit Kota sebelum meneruskan malam, termasuk lagu yang jarang dibawa secara live seperti Nigina serta Diari Habil dan Qabil, Amy yakin “Konsert Endemik berjaya menjadi penanda aras bagi penganjuran konsert fasa endemik di Malaysia dan rantau ini.”

Dan sekaligus memungkinkan Search dengan Amy sebagai frontman membawa Konsert Endemik ke serata Malaysia, juga luar negara. Mungkin.