Rasa Cinta di Sebalik Musim Papa Rock
Ramadan, Datuk Ramli Sarip bakal berbagi rasa lewat persembahan istimewa pada 24 April ini.

Oleh Rumi | Foto MEM

“Diatur bagi memberi peluang kepada peminat berbuka puasa dengan Ramli yang juga dikenali sebagai Papa Rock.”

RASA dikhabarkan sebagai cerminan peribadi penyanyi ini terhadap kehidupan yang dilalui, termasuk mengimbau perjalanan silamnya yang mula mencipta kegilaan bersama band Sweet Charity pada akhir 60an.

Dizahirkan sebagai album solo ke-12 beliau, karya terbaharunya itu direncana menemui peminatnya pada malam RASA (Cinta di Sebalik Musim) Datuk Ramli Sarip menerusi persembahan lebih sejam di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 24 April ini.

“Ramli sememangnya sinonim dengan lagu-lagu berkonsep nasihat dan religi yang sangat popular dalam kalangan peminatnya.”

Diatur bagi memberi peluang kepada peminat berbuka puasa dengan Ramli yang juga dikenali sebagai Papa Rock, persembahan yang dijangka bermula usai solat Terawih ini dianjurkan oleh Mukmin Pay Sdn Bhd dengan sokongan Konsortium IRAMA.

“Ramli sememangnya sinonim dengan lagu-lagu berkonsep nasihat dan religi yang sangat popular dalam kalangan peminatnya,” kata Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid menerusi satu kenyataan media yang menyebut malam itu akan diisi dengan rangkaian lagu popular lama dan baharu daripada album Rasa.

Selepas kali terakhir muncul dengan Kalan Kesturi, sembilan tahun lalu, Rasa disifatkan sebagai album terbaik pemuzik kelahiran Singapura ini yang menggabungkan elemen muzik folk, blues, rock dan pop namun masih berteras Nusantara Melayu.

Dan sesi bersama Ramli itu turut dimanfaatkan bagi membantu penggiat seni yang memerlukan.

“Kita akan buat tabung untuk penggiat seni. Hari ini, kami akan memberi sumbangan kepada wakil Ali XPDC yang mengalami masalah jantung dan Dwan Olan yang diserang strok ringan, baru ini,” kata Ayob. “Jadi, peminat yang membeli meja secara automatik turut menyumbang kepada tabung yang diwujudkan.”

Sebanyak 60 meja disediakan bagi malam persembahan, sama ada bagi tiket individu serendah RM375 seorang atau RM3,000 bagi satu meja untuk lapan orang.

Akses

  • 24 April 2022
  • Royale Chulan Kuala Lumpur

Tiket

  • Meja 8 orang

RM15,000 (Super VVIP), RM10,000 (VVIP), RM7,000 (VIP), RM5,000 (Platinum); RM3,000 (Gold)

  • Individu

Hanya bagi Platinum dan Gold, serendah RM375 (Gold) seorang

Tempahan di https://datukramlisariproyalechulankl.onpay.my/order/form/ramlisarip/RS04