<i>“35 Years Journey</i>, Sepenuh Jiwa Ku Berikan!” – Hattan
Jun ini, konsert solo terbesar dalam kerjaya pelantun Biso Bonar ini sejak 1987.

“Saya adalah penyanyi yang penuh jiwa. Tak perlu nak lompat-lompat (persembahan), zaman sekarang tak perlu lagi.”

“Sold out!” kata Aida Hussin, pengendali Mewah Event Management atau MEM, teruja berkongsi berita mengenai sambutan memberangsangkan terhadap Hattan – 35 Years Journey, konsert yang bakal digelar usai Syawal.

Dibawa eksklusif oleh MEM dengan disokong oleh West Ipoh Span Expressway atau WISE, konsert dua malam yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre itu menyaksikan tiket bagi malam 5 Jun ini sudah habis dijual.

Peminat, bagaimanapun masih boleh mendapatkan tiket bagi malam persembahan 4 Jun ini.

Selain himpunan hits yang diberikan Datuk Hattan sepanjang 35 tahun kerjayanya, apa yang sebenarnya membangkitkan keterujaan ini?

“Saya adalah penyanyi yang penuh jiwa,” menurut kenyataan medianya. “Tak perlu nak lompat-lompat (persembahan), zaman sekarang tak perlu lagi. Kenapa anda perlu datang ke konsert ini? Ini kerana, saya akan bagi sesuatu yang saya tahu orang rindu nak tengok sejak dua tahun lalu.

“Ini juga hadiah daripada saya untuk sahabat dan peminat yang menyokong saya selama 35 tahun ini.”

“Ini bukan sekadar konsert, tapi mengandungi penceritaan.”

Di pentas Plenary Hall, penyanyi yang tajam lidah Nogorinya itu bakal mempertaruhkan 22 lagunya, termasuk koleksi seawal dia berpencak dalam dunia seni dengan hits seperti Memburu Rindu, Rendang Tak Berbuah dan Mahligai Syahdu.

Pemuzik, Rozario bertindak sebagai Pengarah Muzik dengan diiringi Nan dan Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Pa’ang (perkusi) dan Firdaus (keyboard). Mohar, pemain seruling terkenal juga akan mengiringi Hattan menerusi beberapa lagu.

“Ini bukan sekadar konsert, tapi mengandungi penceritaan,” katanya yang kali terakhir muncul dengan album studio, Inderawala pada 2010. “Dari segi kerjaya itu berkembang, bagaimana lagu itu tercipta dan kenapa lirik itu terjadi. Saya akan ceritakan nanti.”

Ikut menambah keterujaan apabila bekas vokalis FRU ini mengumumkan konsertnya juga bakal mengetengahkan segmen mentor buat Datuk M Nasir yang disifatkan “memainkan peranan terhadap perkembangan karier saya daripada dulu hingga sekarang.”

Kekaguman Hattan terhadap M Nasir lebih dulu dizahirkan pada 1994, menerusi album kelimanya, Mentor yang merupakan idea cetusannya yang menyaksikannya merakam semula hits nyanyian dan ciptaan komposer asal Singapura itu yang disukainya seperti Kepadamu Kekasih, Sekuntum Mawar Merah, Gerhana dan Tiara.

Akses

  • 4 & 5 Jun 2022
  • Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre
  • 8pm

Tiket

  • RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond), RM988 (platinum)

Beli di https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/