Bihzhu Ungkap Legendaris Jimmy Boyle Lewat Chendering
Cinta pandang pertama dengan lagu ciptaan 1943 itu buka pintu perkenalan mengenai siapa pemuzik patriotik asal Pulau Pinang itu.

Oleh Zurina Waji | Foto Bihzhu

“Sejujurnya saya agak malu. Saya sebagai anak Penang dan seorang pemuzik, saya tidak tahu apa-apa pun mengenai siapa Jimmy Boyle,” akui Bihzhu, jujur.

Chendering, lagu klasik nukilan komposer yang disifatkan antara paling prolifik di Malaysia itu, jelas bukan sekadar single buat penyanyi ini yang baru ini, melengkapi naskah istimewanya itu dengan video muzik dan mini dokumentari.

Direncana, asalnya untuk dirakam di Pantai Chendering, Terengganu sempena tajuk lagunya, rakaman video muzik yang telah ditunda selama setahun itu dan beberapa kali berubah konsep ekoran kekangan akibat pandemik, akhirnya disiapkan di bawah arahan Chris Lim.

Ditulis pada 1943, apabila Jimmy dikatakan mengoyakkan kotak rokoknya dan mula menulis nota muzik di atasnya, Chendering kali pertama menggamit Bihzhu pada 2016 semasa diundang mempersembahkan lagu itu oleh Penang House of Music, sebuah galeri yang fokus mengumpul dan mempamerkan sejarah muzik dan Pulau Pinang, seawal 1900.

“Saya dijemput membuat persembahan bersama James Boyle, anak mendiang Jimmy Boyle,” menurut siaran medianya. “Saya mendengar lagu Chendering untuk kali pertama, ketika itu tapi saya tidak mengenali Jimmy Boyle walaupun kami sama-sama berasal dari Pulau Pinang.

“Dia telah menulis hampir 350 lagu, antaranya sangat dikenali, mungkin anda belajar di sekolah,“ katanya lagi, sebelum menyanyikan bait popular, “putra putri negara jaya”, dan membariskan beberapa lagu indah, antaranya Gema Rembulan.

“Jimmy Boyle seorang yang sangat mencintai negaranya… katalog lagu-lagu yang ditulisnya banyak yang berunsur patriotik.”

Di dalam temuramah yang dimuatkan di dalam mini dokumentari sepanjang 12 minit, dengan nada separuh kesal, dia mengulangi: “Saya terkejut seorang sepertinya yang memainkan peranan besar dalam sejarah Malaysia tidak dikenali.”

Lalu, dengan persetujuan James untuknya menyusun semula Chendering, ia dirakam oleh Bihzhu yang merasa bertanggungjawab untuk memperkenalkannya kepada audiens dan peminat muzik secara amnya.

Dia dan kumpulannya, iaitu Jude Macson Bensing, Nish Tham, Shakey Shakey dan Ryan Lee Bhaskaran bekerja keras untuk memastikan agar gubahan itu sedap didengar dan bersesuaian dengan integiritinya.

James, katanya yang masih dalam kandungan apabila Jimmy Boyle meninggal dunia, selepas mendengar gubahan baharu Chendering “merasakan ia adalah cara yang betul untuk memperkenalkan gubahan indah bapanya kepada generasi baharu.”

Selepas dipersembahkan pada Festival Muzik Pulau Pinang pada Disember 2016, seorang pengkritik muzik menulis, “Lagu indah Chendering oleh Bihzhu dan (James) Boyle – menampilkan deringan sambal yang berbunyi bak bayu laut yang bisa mengalirkan air mata sang algojo.”

Mini dokumentari itu turut mendedahkan “Jimmy Boyle seorang yang sangat mencintai negaranya.” Kata Bihzu, “Jika anda melihat katalog lagu-lagu yang ditulisnya, banyak yang berunsur patriotik. Salah satu, Kemegahan Negaraku yang dimainkan (di Padang Merdeka) sejurus selepas Negaraku pada 31 Ogos 1957. Ia dikatakan saat paling membanggakan dalam kariernya.”

Chendering, menurut Bihzhu, tampak seperti sebuah lagu cinta pada permukaannya, namun dia sentiasa merasakan ada lebih daripada itu dan ingin mengekspresikannya.

Katanya, “Mungkin ada cerita di sebaliknya dan lagu ini sangat indah tapi keindahan yang berisi banyak kepedihan dan kerinduan.

“Jadi, apabila kami mahu menghasilkan video muzik ini, saya ingin memastikan kami menghormati roh lagu ini dan pada masa sama memberi nafas baharu daripada dunia, hari ini.”

Berdurasi empat minit, video muzik itu dilengkapi dengan membawa irama klasik ke dalam dunia kontemporari. Foto lama Jimmy Boyle dijadikan inspirasi dengan penghormatan diberikan buat kumpulannya, Runnymede Swingtette, melalui pakaian yang dikenakan ahli kumpulan muzik Bihzhu.

Kedua-dua video muzik dan mini dokumentari boleh ditonton di saluran YouTube Bihzhu.

SIAPA JIMMY BOYLE

  • Lahir 26 Julai 1922 di Pulau Pinang
  • Ibu, Jeanne Moissinac berdarah kacukan Belanda-Indonesia; bapa, John Walter Boyle, asal Ireland
  • Diajar bermain piano oleh ibunya yang juga guru piano
  • Rakan sekolej Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak di Raffles College, Singapura
  • 1942-1945, disiksa dan didera selama dipenjara semasa pendudukan Jepun selepas dituduh mendengar radio Perikatan yang diharamkan
  • Lalui pengalaman pahit, ditugas mengeluarkan mayat daripada bilik hukuman, antara mangsa adalah rakan-rakannya
  • 1946, kembali ke sekolah lamanya, St Xavier’s Institution, Pulau Pinang dan menjadi guru Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Jasmani
  • Band Runnymede Swingtette ditubuhkan selepas ditawarkan oleh pegawai British, bermain di Hotel Runnymede
  • Meninggal dunia pada 8 Mei 1971 akibat pendarahan otak