Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta Rai Wanita Plus Size di Lebaran
Koleksi fesyen pertama Aidilfitri 2021 yang diinspirasikan daripada kekuatan dan keyakinan diri.
Oleh Rumi | Foto Koleksi Syomirizwa Gupta
“… sikap Sherry yang mesra dan mudah didekati menambah rasa kagum, seterusnya menginspirasi beliau untuk tampil dengan koleksi Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta.” – SYOMIR
“SEBAB orang memang akan jatuh cinta dengan Sherry,” kata Syomirizwa Gupta, pereka fesyen, mengenai lapan rekaan menawan koleksi Aidilfitri 2021 yang mencerminkan personaliti ceria selebriti asal Kuching itu.
Keyakinan diri, terutama sekali hubungannya dengan fesyen, ditambah dengan sikap Sherry yang mesra dan mudah didekati menambah rasa kagum, seterusnya menginspirasi beliau untuk tampil dengan koleksi Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta.
“Siapa perempuan ni? Best giler perempuan ni, natural,” imbau personaliti yang mesra dengan panggilan Syomir ini menerusi rakaman temubual mereka, semasai kali pertama dia melihat Sherry beraksi di TV di dalam sketsa Enjit Enjit Semut lewat program Projek Disko Baldi.
Lalu apabila ditawarkan oleh seorang penata gaya untuk menyediakan persalinan buat hos dan aktres itu, beberapa tahun lalu, beliau yang juga pemilik dan Pengarah Kreatif jenama Syomirizwa Gupta tidak perlu berfikir dua kali untuk menyatakan persetujuannya.
“… tradisi beraya di Kuching, Hari Raya disambut begitu meriah dan umat Islam yang menyambutnya perlu memakai persalinan penuh Aidilfitri selama tujuh hari tujuh malam.” – SYOMIR
Elemen penggunaan warna-warna primer serta corak grafik yang vibran oleh Syomir dibawa di dalam koleksi Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta, dan dizahirkan pada rekaan yang menggunakan fabrik daripada kain kapas, printed rayon sehinggalah mixed crepe yang bermutu tinggi, selain menyejukkan dan selesa, sesuai digayakan dalam cuaca negara yang agak panas.
Sudah tentu, katanya dengan Sherry sendiri sebagai inspirasi, latar belakang anak jati Sarawak itu dan kampung halamannya yang mengingatkan Syomir mengenai suasana Malaysia ketika beliau kecil memberikan penceritaan menarik untuk koleksi berkenaan.
“… mesej yang positif buat semua, terutamanya kaum wanita tidak kira apa jua bentuk badan dan rupa paras anda, kita seharusnya berbangga dengan diri sendiri.” – SHERRY ALHADAD
“Sherry ada bercerita tentang tradisi beraya di Kuching, Hari Raya disambut begitu meriah dan umat Islam yang menyambutnya perlu memakai persalinan penuh Aidilfitri selama tujuh hari tujuh malam. Kerana itulah kami membuat keputusan untuk mengeluarkan lapan rekaan bagi koleksi Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta ini,” kata Syomir, memetik kenyataan medianya.
Sherry, dalam temubual awal, mengakui chemistry yang terjalin antara mereka sejak pertemuan sulung pada 2016 itu, malah menyifatkan Syomir sebagai antara orang pertama yang memberikannya keyakinan untuk bereksperimen dengan fesyen.
Sudah lama merencana untuk bekerjasama, beliau menyifatkan pelancaran koleksi ini diibaratkan “projek Hari Raya yang begitu sempurna untuk direalisasikan,” apatah lagi dalam situasi dunia yang begitu menekan.
Kata Sherry, “Kami rasa ianya adalah masa yang sangat sesuai untuk memberikan mesej yang positif buat semua, terutamanya kaum wanita tidak kira apa jua bentuk badan dan rupa paras anda, kita seharusnya berbangga dengan diri sendiri dan menggunakan segala peluang yang ada.”
Melihat kolaborasi ini sebagai petanda positif bagi perjalanannya di dalam bidang fesyen secara profesional, beliau yang juga merupakan peminat karya Syomir dan jenamanya yang sangat mementingkan diversiti dan inklusiviti, menegaskan: “Kecantikan itu adalah amat subjektif dan saya amat berbangga kerana dapat menjadi inspirasi dan idola kepada ramai wanita yang kurang berkeyakinan tentang bentuk badan mereka.”
Info
- Koleksi Aidilfitri 2021 Sherry Alhadad X Syomirizwa Gupta dijual pada harga bermula daripada RM349 sepasang, saiz, antara 16 hingga 22.
- Pembelian secara pre-order saja, eksklusif di www.syomirizwagupta.com