Kolaborasi CIIF dan LeadWomen Cetus Inspirasi, Perubahan
Ketengahkan isu-isu berkaitan diversiti dan kepimpinan wanita di dalam pelbagai sektor industri.

Oleh Rumi | Foto Sincerely Media on Unsplash

TIDAK hanya mencetus inspirasi dan perubahan dalam corak pemikiran masyarakat, platform yang diwujudkan hasil kolaborasi Charted Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF) dan LeadWomen Sdn Bhd (LeadWomen) turut mengenalpasti kelemahan yang perlu diatasi untuk menghasilkan persekitaran bekerja yang selamat dan inklusif.

Ia penting untuk memenuhi keperluan bisnes yang berprestasi tinggi serta menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan daripada segi Persekitaran, Sosial dan Pentadbiran (ESG) di Malaysia.

Sebagai permulaan, satu sesi perbincangan meja bulat dan percambahan minda mengenai penglibatan diversiti dan kepimpinan wanita di dalam semua sektor telah dianjurkan oleh CIIF dan LeadWomen, baru ini. Cadangan topik oleh kedua-dua pihak itu adalah sebagai pemangkin diskusi justeru mengenalpasti jurang yang dihadapi golongan terbabit.

Menerusi kenyataan media yang diedarkan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, baru ini ia adalah sebagai antara langkah untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang berkaitrapat dengan isu kritikal tersebut.

Difasilitasikan oleh Anne Abraham selaku pengasas dan Ketua Pengerusi LeadWomen, topik diskusi merangkumi persoalan seperti: “Apa yang masih tiada atau kekurangan di dalam dialog berkaitan isu diversiti dan kepimpinan wanita?” dalam sesi yang dihadiri para pemimpin berkaliber di dalam industri kewangan Islam dan pelbagai sektor lain.

Anne Abraham

Isu yang disentuh, antaranya mengenai peri penting kesaksamaan gender:

  • Adakah ekuiti perlu diberikan lebih fokus berbanding kesaksamaan di antara lelaki dan wanita, dan
  • Perlukah adanya data empirikal untuk mengkaji dengan lebih lanjut nilai yang disumbangkan oleh golongan yang berkaitan di tempat kerja kepada syarikat terbabit?

“… wanita tidak mempunyai rangkaian yang cukup untuk menyokong mereka supaya lebih maju di dalam karier.” – DR AZURA OTHMAN

Turut dikupas, topik berkaitan polisi dan penggubalan polisi, peluang yang disediakan oleh teknologi digital kepada wanita untuk mengejar kejayaan yang sama dengan golongan lain di tempat kerja, serta cadangan untuk mencontohi negara lain yang menjayakan inisiatif-inisiatif yang memberi perhatian kepada isu diversiti dan kepimpinan wanita.

Soal penajaan bagi pengasas wanita yang sangat kurang berbanding lelaki dalam syarikat start-ups walaupun mereka begitu layak serta mampu untuk mengetuai sesuatu syarikat atau organisasi adalah antara yang disentuh Ketua Pegawai Eksekutif CIIF, Dr Azura Othman, di dalam ucapannya.

Dr Azura Othman

Setelah dikaji, katanya keinginan wanita melangkah jauh sebagai pemimpin di dalam syarikat atau sektor bisnes terhalang lantaran “wanita tidak mempunyai rangkaian yang cukup untuk menyokong mereka supaya lebih maju di dalam karier.”

“… dengan menggunakan terma spesifik, kita boleh membantu kumpulan yang terpinggir, terutamanya yang tidak mampu bersuara untuk mendapatkan lebih banyak perhatian.” ANNE ABRAHAM

Serentak, beliau menyatakan kesediaan CIIF membantu mana-mana syarikat untuk mengkaji cara-cara membantu wanita dan kumpulan minoriti yang lain mengembangkan rangkaian mereka dengan lebih luas, serta mencari jalan untuk menaiktaraf karier menerusi peluang-peluang yang ada.

Anne Abraham yang juga Pengasas Bersama Eksekutif, Kelab 30% cawangan Malaysia, sebuah kempen global yang berusaha untuk meningkatkan jumlah perwakilan wanita di dalam lembaga pengarah di syarikat awam yang tersenarai, pula menyifatkan wanita melalui pelbagai halangan unik di dalam perjuangan untuk mencapai ekuiti sosial dan politik.

“Penggunaan terma ‘wanita dan isu berkaitan diversiti’ untuk mengenalpasti halangan serta persekitaran yang tidak adil yang mereka alami boleh membantu dalam menghasilkan visibiliti terhadap cabaran-cabaran yang dialami, berbanding kumpulan lain.

“Walaupun isu ini merupakan isu hak manusia, dengan menggunakan terma spesifik, kita boleh membantu kumpulan yang terpinggir, terutamanya yang tidak mampu bersuara untuk mendapatkan lebih banyak perhatian,” katanya.

Pada diskusi sama, beberapa soalan tambahan dibangkitkan memerlukan lebih penelitian, antaranya:

  • Apakah peranan mentor dan pembimbing supaya wujudnya lebih ramai pemimpin wanita serta menggalakkan inklusiviti di dalam semua sektor?
  • Bagaimana ahli lembaga pengarah syarikat boleh memastikan perancangan di dalam penerusan warisan atau legasi mereka di dalam organisasi?
  • Apa yang perlu dikenalpasti agar golongan wanita profesional boleh mencapai keseimbangan yang optimal di dalam kehidupan dan pekerjaan mereka?

Selanjutnya, LeadWomen dan CIIF mahu memastikan hasil penemuan daripada diskusi berkenaan dapat diubah kepada saranan yang boleh dilaksanakan.