Sweet Charity, Kembara, Sudirman, Inspirasi Rock Psikedelik Ramayan
Membesar dengan klasik 60an, 70an, kugiran neo-psikedelik Malaya ini mempertaruhkan Di Persiaran Cakrawala dalam kembara fantasinya.

Oleh Zurina Waji | Gambar Ramayan

“KADANG dinyanyikan oleh ibu bapa, atau pun terdengar di radio yang memainkan lagu klasik. Kadang di rumah kami, ada kaset artis-artis dulu yang dimainkan,” kata Omar Saifuddin, mengenai bagaimana pendedahan awal terhadap muzik 60an dan 70an mencorakkan Ramayan.

Bunyi-bunyian yang didengari selama membesar itu, menurut pemain bass ini lagi, “melekat” dan setelah mula membuat muzik, barulah keindahan dan kepelbagaian yang ada pada lagu zaman itu disedari.

Bezanya Ramayan bukan sekadar anggotanya yang dulu berlima, kini tinggal bertiga.

“… banyak karya klasik tempatan dijadikan rujukan, antaranya album Lagu dari Kota oleh Sudirman dan Batu oleh Sweet Charity.” – OMAR

Di Persiaran Cakrawala, album penuh sulung dengan 10 lagunya dicanang mengandungi atmosfera dan mood yang bervariasi, membawa pendengar ke sebuah pengembaraan emosi dan pengalaman sonic yang berbeza.

Selama dua tahun pembikinan, band Nusantara seperti Sweet Charity dan Kembara, selain Allahyarham Sudirman menginspirasi mereka dalam penghasilan album yang mempertaruhkan Lamunan Anak Bulan sebagai single pertama.

Ditanya daripada sudut mana mereka merasa terinspirasi dengan pemuzik dan penyanyi berkenaan, pemain dramnya, Que Azeem, berkata:

“Konsep band kami adalah berasaskan rock psikedelik, sebuah genre yang popular pada zaman 60an, 70an dulu dan sedang kembali popular dalam kalangan pemuzik sekarang. Namun kebanyakan muzik itu berada di Barat dan bunyinya juga keBaratan.

“Kami, sebagai band ingin menciptakan sesuatu yang lebih dekat kepada pendengar Malaysia. Daripada situlah, banyak karya klasik tempatan dijadikan rujukan, antaranya album Lagu dari Kota oleh Sudirman dan Batu oleh Sweet Charity.”

Vokalis, Syafie M Nasir kemudian mencelah bagaimana kedua-dua album berkenaan dijadikan rujukan lantaran unsur psikedelia yang dibawa, sama ada dalam bunyi-bunyian atau susunan lagunya.

“Keunikan mereka juga menyerlah daripada segi nyanyian dan melodinya,” katanya yang juga bermain gitar dan keyboard. “Masing-masing memberi impak yang kuat kepada masyarakat zaman itu yang pada pandangan kami, menjadikan Sudirman dan Sweet Charity legenda.”

Ia berhasil membentuk semacam identiti kepada kugiran yang memasuki tujuh tahun penubuhannya, menempa nama menerusi lagu seperti Oh Dewiku, Hantu, Akhir Kalam dan Sepintas Sastera Hati.

Ikut diinspirasi muzik The Beatles, Todd Rundgren, ABBA dan David Bowie, kelainan ingin diberikan Ramayan menerusi penampilan Mondo Gascaro, pemuzik berkaliber Indonesia selaku produser bersama bagi membuka jalan untuk menembusi pasaran republik itu.

“… hormat yang tinggi buat ayah saya disebabkan cara dia membuat lagu itu bukan berasaskan susunan lagu yang rumit atau menggunakan metode yang pelik, tapi berasaskan rasa dan jiwa.” – SYAFIE

M NASIR: ANTARA RASA DAN BAYANGAN

Sungguh pernah beraksi di depan audiens antarabangsa, antaranya lewat festival muzik seperti Zandari Festa di Seoul, Korea Selatan dan jelajah konsert mini, pertalian Syafie dan M Nasir, pengkarya asal Singapura yang digelar Sifu itu yang juga antara pendiri Kembara, bagai membayangi Ramayan.

“Sebagai seorang penulis lagu, saya mempunyai hormat yang tinggi buat ayah saya disebabkan cara dia membuat lagu itu bukan berasaskan susunan lagu yang rumit atau menggunakan metode yang pelik, tapi berasaskan rasa dan jiwa,” kata Syafie, terus terang.

“Seringkali saya tersekat dalam membuat sesebuah lagu, saya merujuk kepada lagu-lagu dia untuk mencari rasa tersebut dan menggubahnya mengikut rasa sendiri. Tapi ia menjadi cabaran apabila kami tidak dianggap sebagai entiti yang tersendiri, malah sering dikaitkan dengan nama M Nasir.”

Putera keempat M Nasir ini mengakui ia kadang menjadi halangan kepada perkembangan Ramayan sebagai sebuah band, namun menerima hakikat itu sebagai lumrah industri dan hanya boleh buat yang terbaik dengan apa yang mereka ada.

“… Ramayan memiliki apa yang saya sifatkan cukup untuk membikin pendengarnya senyum berfantasi seketika dalam era Swinging London 60an Austin Powers dengan groovy “Yeah, Baby!”

Diperdengarkan kepada beberapa trek Di Persiaran Cakrawala, saya menghadap Air Mata Raja yang bagaimanapun hanya mencecah hypenya menuju ke pengakhiran lagu, namun menuju Permulaan Cinta Intan, diikuti Jakarta, bunyi-bunyian yang dihidangkan makin mengait rasa.

Lunak, barangkali bukan dalam kategori suara yang diberikan Syafie tapi dengan mengandaikan Ramayan bercambah dari pentas indie, ia tidak menghalangi saya untuk menikmati persembahan yang raw itu.

Tiba di trek Lamunan Anak Bulan yang berdurasi 6.21 minit, kugiran ini berupaya membuai rasa tanpa perlu memberikan lagu dengan senikata yang memualkan, membayangkannya memberi kelainan dalam genre mainstream.

Intro berbeda diberikan Puas dan keasyikan itu dituruti bunyian retro Signal yang tentu boleh menambah mood eksplosif kala beraksi di pentas. Padanlah mengapa Signal turut dijadikan pembuka album, cuma hakikat yang harus dihadapi Ramayan bahawa muzik seumpama ini secara keseluruhannya sukar melangkaui sempadan indie, saat ini.

Masih, dengan teknik rakaman track-by-track, sebahagian besar pembikinannya membabitkan barangan muzik vintaj bagi mendapatkan mutu dan nuansa rakaman seperti zaman 70an, Ramayan memiliki apa yang saya sifatkan cukup untuk membikin pendengarnya senyum berfantasi seketika dalam era Swinging London 60an Austin Powers dengan groovy “Yeah, Baby!”