Hyukoh dan Refleksi Jiwa Anak Muda
Live di KL, band indie Korea Selatan mengekspresi semangat dan attitude dalam rentak rock cara Hyukoh

Oleh  Fauzi Hamid  |  Foto  All Is Amazing dan U Mobile @myumobile

HATI sudah mula berdetik, apakah aku tidak salah konsert ini? Saya jadi sedikit termangu, namun cuba berlagak biasa untuk  menyembunyikan kenyataan bahawa ini adalah pengalaman pertama ke persembahan sebuah band indie rock asal Korea Selatan.

Iaitu Hyukoh, band dianggotai empat anak muda sejak penubuhannya pada 2014 dengan EP berjudul 20.

Saya masih lagi memerhati audiens yang mula bersorak apabila band berkenaan mengambil alih pentas daripada band lokal, Lost Spaces yang menjadi pembuka persembahan. Mereka, kumpulan anak-anak muda yang rata-rata berusia awal 20an yang memeriahkan malam dengan fesyen inspirasi 90an, sebahagiannya mempamer rambut dicelup biru, hijau.

Rasa skeptikal mula menyelinap, menimbang pelbagai kemungkinan termasuk beredar di tengah persembahan.

Jeritan audiens sebaik Hyukoh muncul di pentas mengejutkan saya yang mungkin masih belum dapat melihat di manakah kehebatan band yang saya andaikan tidak lebih sekadar memperlihatkan komersialisme seni Korea dengan penjenamaan K-Pop mereka.

Hyukoh, menurut saya, juga menerima tempias daripada imejan K-Pop yang jelas sudah mendunia. Kehadiran Hyukoh di Kuala Lumpur adalah bersempena EP dengan judul 24: How to Find True Love and Happiness yang merupakan sebahagian daripada Unlimited Grooves oleh U Mobile.

Cuba juga berfikiran terbuka, saya bagaimanapun melihat lagu-lagu band berkenaan yang tidak banyak jauh berbeza daripada segi muzik dan cord yang dimainkan. Segi teknikalnya, saya tertarik melihat band ini ada pengetahuan dalam muzik, bermain dengan corak permainan yang bersih.

Saya mungkin tidak begitu mengetahui judul lebih sebahagian daripada lagu-lagu yang dimainkan pada malam itu, namun keasyikan menyelinap apabila saya dapat mengesan hits Hyukoh seperti Tomboy, antara lagu yang menampilkan kelainan.

Atau, Citizen Kane yang berentak cepat selain Love Ya! iaitu antara lagu yang berada dalam carta  audiens, menyuntik adrenalin terutamanya dengan penguasaan frontman, Oh Hyuk yang jelas merupakan nadi kepada kekuatan Hyukoh.

Oh Hyuk adalah orangnya yang menghidupkan malam persembahan, bermain gitar dengan penuh attitude, menyanyi dengan suara sedikit garau dan penampilan yang menjadi ikutan ramai juga kalangan audiens muda tadi.

Saya lebih menyukai lagu-lagu eksperimental Oh Hyuk yang dimainkannya bersama bassist, Dong-geon; gitaris, Lim Hyun-jae dan pemain dram, Lee In-woo, bagaimana dia cuba mengangkat nilai seni di dalam karyanya sungguhpun lagu seumpama itu kurang diberi sambutan berbanding lagu komersil.

Kecenderungan Oh Hyuk terhadap seni juga jelas menerusi pendekatan eleman artistik yang disuntiknya menerusi muzik video, antaranya. Ini juga diperlihatkan pada judul EP atau album yang berlandaskan usia ahli band lainnya yang sememangnya sebaya.

Kala saya merasakan banyaknya band indie yang dipengaruhi band terkenal dunia, Radiohead, saya memerhatikan Oh Hyuk membuat audiens mudanya tenggelam. Diamati, saya mula mengerti dengan kegilaan yang dipamerkan audiensnya kerana mereka berbicara pada nada yang sama. Kerana Hyukoh adalah ekspresi intipati keremajaan, bebas tapi juga kosong dan tandus, berbicara soal semasa dunia anak muda dan diinterpretasi menerusi genre rock dengan cara baru.

Hyukoh juga, tentunya bukan band biasa-biasa apabila meraih pelbagai anugerah, antaranya Band Terbaik di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA’s); Song of the Year di Anugerah Muzik Korea, selain Band Rock Terbaik di Anugerah Golden Disk 2018.

Gang Gang Schiele, selain Love Ya! yang meneroka soal persahabatan adalah antara digemari audiens yang  diajak memberi penumpuan pada soal cinta, hilangnya kenaifan dan perhubungan, juga apa yang sebenarnya dikatakan cinta dan kebahagiaan.

Ah, malam masih panjang dan dunia anak muda yang disingkap Hyukoh nyata sukar untuk diketepikan!