Dewa 19 Tanpa Ahmad Dhani, Bisakah?
Kali pertama tanpa frontmannya, Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia malam ini jadi penentu.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
“Nuwun sewu ya Ayah.” Dul Jaelani berkongsi di Instagramnya, beberapa hari lalu, memohon keizinan daripada ayahnya yang kini di penjara selepas didapati bersalah menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosial.
Bait beradab dalam bahasa Jawa dibuat itu sekaligus mengesahkan pemuzik berusia 18 tahun ini mengambil alih tempat Ahmad Dhani di Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia feat Ari Lasso & Once Mekel di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini.
Ahmad Dhani atau Dhani Ahmad Prasetyo dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Jakarta Selatan pada Isnin lalu, berikutan kenyataan menerusi tiga entrinya di akaun Twitter miliknya @ahmadhaniprast.
Tadi malam, di belakang pentas yang bakal memperlihatkan semua personal – kecuali Ahmad Dhani – yang pernah bersama Dewa 19 berkongsi satu pentas, berlangsung pertemuan dengan pemuzik muda dengan nama sebenar, Abdul Qadir Jaelani itu.
Ya, dia memang saling tidak tumpah seperti ayahnya. Comel, dengan alis tebal dan rambut kerinting berbelak kuning yang diikat satu, biar pun tampak sedikit gugup diapit Once dan Stevie Item, gitaris Andra and The Backbone, berselang satu bangku dengan Ari yang rileks, kadang sibuk merakam suasana dengan telefon bimbitnya.
Kala diberitakan Dul bakal mengambil tempat di tengah pentas, bermain keyboard, saya hanya dapat membayangkan debaran yang harus ditantangnya, bukan saja kerana bermain dengan band selegenda Dewa 19, tapi juga bagi menyempurnakan amanah yang diberikan ayahnya yang juga merupakan pengasas band ini.
Soalnya, apakah malam ini akan menjadi permulaan buat Dul atau pengakhiran Dewa 19 apabila tanpa Ahmad Dhani?
Dul, tidak banyak bicara, kelihatan hati-hati melontarkan jawapan. Biar bukan asing dengan industri muzik, sebagai anak kepada pasangan Ahmad Dhani dan Maia Estanty yang pernah muncul dengan duo Ratu sebelum berlaku perceraian, pengharapan yang diberi selain banyaknya mata yang akan bertumpu boleh saja membangkitkan rasa resah.
“Menyanyi juga bisa,” katanya, merujuk peranannya pada malam nanti sebelum dilihat cuba meredakan tekanan, lembut berseloroh, “jika boleh semua (menyanyi), saya ambil semua.”
Sempat, sebelum dia berangkat ke Malaysia, dia berkata ayahnya menitipkan pesan supaya memaksimakan latihan menerusi ruang hanya beberapa hari sebaik Ahmad Dhani memberi kepercayaan kepada anak bongsunya itu.
“Ayah pesan, maksimakan latihan. Ini kesempatan mu,” katanya, mengimbau dokongan diberikan sang ayah.
Ari, tanpa berselindung, kemudiannya mengakui tanpa Ahmad Dhani “pasti berbeda.” Dia yang bersama Dewa seawal album Kangen pada 1992, menyifatkan sosok itu sebagai “ciri terkuat yang ada pada Dewa” sebelum berseloroh mengenai awalan huruf D pada nama Dhani, Dul dan Dewa yang seolah azimat bagi malam konsert kelak.
Iman Tang, mewakili penganjur, Nirza Production, mengakui Dewa 19 itu sendiri berlingkar mengenai pesona Ahmad Dhani namun keberadaan Ari dan Once, dua nama yang dikenali dengan kemantapan suara mereka, selain mantan pemain dram, Tyo Nugros di satu pentas yang tidak pernah terjadi sebelum ini, juga adalah kelebihan pada penganjuran edisi Malaysia yang bakal menampilkan Andra and The Backbone sebagai pembuka konsert.
Line up yang dirancang bagi kemunculan Dewa 19, menurutnya lagi, adalah yang paling lengkap sehingga meraih Baladewa dan Baladewi sejauh Jakarta dan Medan, Indonesia untuk ikut meraikan konsert Reunion ini, juga dari Singapura selain Malaysia sendiri.
“Sudah ada permintaan promoter untuk membawa line up Dewa 19 yang ini ke Singapura,” katanya mengenai persembahan yang turut disertai gitaris, Andra; bassist, Yuke dan Agung yang bermain dram, sambil ketawa menambah, “malah saya dapat panggilan dari Makasar (Indonesia) padahal saya bukannya pengurus Dewa.”
Nik Iruwan Datuk Nik Izani, Pengarah Urusan Nirza Production, dalam satu pertemuan berasingan, menyifatkan Ahmad Dhani sebagai seorang yang “istimewa, tidak ada orang yang boleh menggantikannya” dan kerana itu, tidak terlintas di fikirannya akan berlaku suatu sekontroversi ini.
“Tanpa Dhani, ia (konsert) adalah suatu yang tidak diduga tapi kami berjanji memberikan yang terbaik apatah lagi tiket pun sudah habis terjual,” katanya, merujuk kapasiti stadium yang bakal memuatkan 6,000 penonton, malam ini. “Konsert ini akan berlangsung selama tiga jam, membabitkan 35 lagu daripada album Dewa.
“Secara teknikalnya, pentas malam ini tidak pernah dimainkan Dewa, ini yang pertama kali. Juga, daripada segi sistem bunyinya, tata pencahayaannya, koreografi sangat mengujakan dan penggabungan Live in Malaysia ini mungkin konsert terbaik Dewa.”
Sebagai seorang yang mengawali segalanya di dalam Dewa 19, ketiadaan Ahmad Dhani menurut Nik Iruwan lagi, barangkali memberi vibrasi berbeda pada penampilan band itu kelak namun dia percaya pada keputusan pemuzik itu untuk band berkenaan meneruskan persembahan tanpanya dan mengizinkan Dul menggantikannya pada saat akhir.
“Vibrasi Dewa 19 mungkin tidak akan sama seperti kalau Dhani ada bermain, namun dia sudah memilih anak lelakinya untuk menggantikannya dan mereka berdua ada pertalian darah, juga kerana dia sendiri yang mahukan anaknya bermain. Ini bakal jadi malam yang mendebarkan namun paling bermakna, saya percaya,” katanya.