Zee Avi, Si Esentrik Yang Bikin Orang Jatuh Cinta
Sebab seaneh pun dia mungkin melabel dirinya, payah untuk mengelak hati disentuhnya.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid

“JIKA dia orang luar, dia kena terima makanan saya,” kata Zee Avi, melirik dengan pandangan nakalnya sebelum menyambung, “sambal belacan, ikan masin.”

Dia lagi bicara hal pasangan hidup yang bagaimanapun, menurutnya bukan suatu yang disibukkannya, buat masa ini.

“Saya orang yang santai, saya simple. Saya tidak berbelanja untuk baju, sepatu berjenama kecuali peralatan muzik.”

“Saya tidak memilih,” katanya, membetulkan juraian rambutnya yang dijalin di sisi. Sesekali, dia membetulkan kerongsang dampak yang menghiasi baju hijaunya yang disifatkannya seperti baju Melayu lelaki versi perempuan.

“Saya jenis orang yang ada dunianya yang tersendiri, orang seni memang esentrik,” jelasnya, senyum lebar. “Saya suka orang simple, boleh menerima kerjaya saya. Orang yang tidak menghadkan saya untuk berkembang, menyokong, jujur dan menikmati hidup seadanya. Kena tahu adat, hormat.”

Dia malah melihat dirinya sebagai seorang yang sederhana.“Saya orang yang santai, saya simple. Saya tidak berbelanja untuk baju, sepatu berjenama kecuali peralatan muzik. Eh, tapi itu modal lagi besar kan!” katanya,lucu sendiri. “Rumah saya di Los Angeles memang sarang alat muzik, macam-macam ada. Silap-silap kalau kahwin esok, anda akan lihat hantaran saya ada guitar pedal.”

Entah sama ada dia hanya mengusik, didorong sikapnya yang gila-gila itu atau memang dia serius apabila menambah, “Saya suka (lelaki) pelik sebab saya pun pelik dan dia tidak semestinya di kalangan orang seni,” disusuli derai tawa dan kemesraan yang menyenangkan. Tiada hipokrasi pada penyanyi dan pemuzik ini yang boleh saja mendabik dada, kalau mahu.

Jelas, sosok berusia 33 tahun ini bijak menghidupkan suasana. Ketulusannya menepikan sebarang prasangka, jika ada. Cukup lima minit bersamanya, dia yang menerobosi industri muzik Amerika Syarikat (AS) lewat single, Bitter Heart pada 2009 bisa mendorong siapa sahaja untuk selesa menjadi diri sendiri.

Itu Zee Avi. Sifat rendah diri, terutamanya nyata mengejutkan ramai orang, malah sering dibicarakan mereka yang mengenalinya. Tapi bagi pemuzik dengan suara unik ini, tiada apa yang hendak dibanggakan di dunia ini. Segala pencapaian, dia membayangkan, semuanya milik Yang Esa.

Dia yang meledak dengan Kantoi hampir 10 tahun lalu, lagu dengan slanga jalanan Melayu-Inggeris bersama lirik nakal yang lucu dan mainan ukulele yang menjadi identitinya, nyata lebih senang diulit muziknya.  Seawal usia 17 tahun, anak kelahiran Miri, Sarawak ini sudah hidup di perantauan, belajar berdikari apabila melanjutkan pelajarannya dalam rekaan fesyen di London, sebelum muzik menuntutnya berjauhan daripada keluarga, menetap di New York dengan lapan tahun terakhirnya di Los Angeles sebelum pulang ke tanahair, tahun lalu.

“Saya ni macam nomad, jiwa saya (seorang) pengembara. Cuma benarlah, ke mana pun pergi kita nak rasa kembali pada tanahair.”

“Saya rindu Malaysia. Saya rindu dengan ulam, sambal belacan,” katanya, bersahaja tapi memang terasa  nada kerinduan di dalam kelucuan bicaranya itu. Dia tidak menolak kemungkinan berpangkalan di Malaysia sambil mengakui keluarganya paling gembira seandainya dia berbuat begitu.

“Saya banyak mengembara, tour di Bali, China misalnya dan apabila memikirkan macam mana pun saya akan pulang ke tanahair, saya rasa seronok. Jumpa pula kawan-kawan baru, rasa berat hati nak tinggalkan tanahair. Rasa macam nak duduk di sini.”

Dia, atau nama sebenarnya Izyan Alirahman bagaimanapun mengakui harus akur dengan jiwa kelananya.

“Ikut angin. Jika angin bertiup ke sini, saya di sinilah,” katanya yang kini bergerak secara indie. “Saya ni macam nomad, jiwa saya (seorang) pengembara. Cuma benarlah, ke mana pun pergi kita nak rasa kembali pada tanahair. Malaysia perhentian yang bagus dan saya boleh pulang, lagi pun inilah akar, asal usul saya.”

2019, menurutnya memberi indikasi baik terhadap perjalanan seninya yang bakal berkongsi panggung di Kuala Lumpur dengan Njwa pada Konsert Zee Avi + Njwa sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 Mac depan.

Dianjurkan FM Showlab Ventures, konsert dua jam itu bagi kempen #BalanceForBetter menampilkan konsep sofistikated, klasik dan elegan.

Berbeda genre, Zee Avi mengakui teruja bakal berganding dengan Njwa yang dikenalinya sejak 2009 lewat satu persembahan di kelab No Black Tie. Dia tidak menyembunyikan rasa kagumnya pada penyanyi berbakat berlatar jazz itu yang disifatkannya “sangat powerful, sangat elegan dan dia buat perkara-perkara cool dalam diam.”

Bukan hanya konsert, dia juga sedang merencana untuk memasarkan single, Who Are You selewat-lewatnya Mac depan.

“Saya juga ada single berjudul Saya, Kamu yang sepenuhnya Melayu dengan muzik yang agak grungy, di mana saya berkolaborasi dengan seorang pemain papan luncur Indonesia, Reno Pratama yang bermain harmonika, siap dengan muzik videonya,” katanya.

Ditanya kenapa tidak dipasarkan saja single Melayunya, dia terdiam. Seolah ada yang terdetik, dia kemudian mengangguk dan berkata, “Boleh ke single Melayu dulu? Hmmm… kenapa tidak, bukan. Muzik video pun sudah ada, betul juga tu. Mungkin saya boleh memikirkannya semula.”

Reno yang dikenalinya di Bali, tanpa disangka merupakan peminat Zee Avi selepas mendengar Kantoi dulu. Dia yang menegaskan “sudah move on dengan Kantoi”, bagaimanapun mengakui teruja apabila ia masih diperkatakan, seperti juga pendengar sejauh Argentina misalnya, memberi respons bagaimana mereka tersentuh dengan lagu-lagunya dengan lirik yang seolah mengkisahkan kehidupan mereka.

“Mana boleh lupa asal usul. Saya tidak tahu bagaimana ada orang boleh lupa asal usul mereka. Sejujurnya, saya hanya seorang penglipulara.”

“Itulah kuatnya kuasa muzik apabila anda tidak ikut trend,” katanya. “Saya tidak ikut trend. Saya hanya tahu saya suka buat muzik. Saya rasa, lagu-lagu saya tidak boleh dibanding antara satu sama lain kerana setiap satu ada vibrasinya sendiri.”

Dia kemudian membuka rahsia, “Apabila saya buat lagu, saya tidak ada motif. Saya nak just have fun sepertimana saya berkolaborasi dengan Reno yang berlatar sub-culture. Jelas, muzik boleh diterima macam-macam orang.”

Tapi, ke ceruk dunia pun dia pergi, pemuzik bertubuh kecil ini mengakui hatinya sentiasa mendambakan tanah tumpah darahnya.

“Mana boleh lupa asal usul. Saya tidak tahu bagaimana ada orang boleh lupa asal usul mereka. Sejujurnya, saya hanya seorang penglipulara. Sering, orang beritahu saya begitu merendah diri tapi saya pula terfikir orang semacam apa yang anda jumpa selama ini?” katanya, ketawa.

“Saya ingin berbagi cerita, saya mendendangkannya. Lagu-lagu saya, antaranya seperti memberitahu pendengar bahawa anda tidak keseorangan. Dari mana pun seseorang itu, kita sebenarnya melalui perkara sama dan itu sangat magikal. Saya cuma menyampaikan apa yang dilalui manusia, itulah seninya kerana manusia itu sendiri merupakan inspirasi saya dalam berkarya.”

**Tiket bagi Konsert Zee Avi + Njwa sudah mulai dijual AirAsia Red Tix pada harga serendah RM88 (bronze), RM115 (silver), RM169 (gold), RM205 (platinum), RM259 (diamond) dan RM388 (meet and greet).