Ada Yang Tertinggal di Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia feat Ari Lasso & Once Mekel
Band papan atas Indonesia, dua vokalis power dan air mata Dul Jaelani. Masih hebat biarpun tanpa pesona Ahmad Dhani, tapi bukan juga yang terbaik.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid

SERING, saya tertanya bagaimana seorang seperti Ahmad Dhani mampu melahirkan bait indah di dalam lagu-lagunya.

Dia malah, bukanlah penyanyi bersuara hebat apatah lagi kalau mahu dibandingkan dengan mantan vokalis Dewa 19 sendiri, Ari Lasso yang telah bersama band itu seawal 1988, dua tahun selepas penubuhan sebelum diganti Once Mekel yang diperkenalkan lewat album Bintang Lima pada 2000.

Bukan seorang dua yang barangkali punya rasa seperti mahu membenamkan saja kepalanya kerana keceluparannya. Sinis kala melontar pandangan, berdepan dengannya boleh jadi cabaran yang mengujakan kalau pun tidak menyakitkan jiwa.

Seorang pemuzik Indonesia, dinobat antara sosok berpengaruh Asia, membisikkan kepada saya keangkuhan Ahmad Dhani punca dia menolak untuk bekerjasama biarpun mengakui mengagumi bakat antara pengasas band asal Surabaya itu.

Narsis, kata sesetengah lain pula.

Jadi, apakah rupanya malam reunion band legenda Indonesia itu di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu yang harus berlangsung tanpa kehadiran pesona dengan nama asal Dhani Ahmad Prasetyo itu yang dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, kurang seminggu sebelum konsert, selepas didapati bersalah kerana menyebar kebencian menerusi media sosial?

Pengakuan Ari, sehari sebelum konsert, bahawa ketiadaan Ahmad Dhani yang disifatkannya sebagai “ciri terkuat yang ada pada Dewa” akan membuat persembahan tanpanya “pasti berbeda” bikin rasa mahu tahu saya membuak.

Kerana di depan saya, selain Ari yang saya kagumi bukan saja kerana suaranya, malah tantangan roller coaster hidupnya, ada Once si rocker dengan latar perundangan; juga gitaris, Andra Ramadhan yang merupakan antara pendiri Dewa yang masih kekal.

Ada Yuke Sampurna, pemain bass yang berlatar band acid jazz yang menyertai Dewa pada 2002, menggantikan Erwin Prasetya; juga drummer Agung Yudha dengan gaya rambut rasta, selain kembalinya Tyo Nugros buat kali pertamanya, membikin ramai perempuan terutamanya cair, jelas tidak hanya kerana hentakan kayu dramnya.

Kerana saya pernah menonton Once bersama Dewa dulu, sungguh tidak dinafikan kehebatan vokalnya, saya hanya dapat mengira penyanyi asal Sulawesi itu yang bakal meraikan ulang tahunnya yang ke-49 tahun ini, seolah mula dibatasi usia. Saya pernah merasa bagaimana Once menyuntik keghairahan dulu, namun apabila diganding dengan Ari di satu pentas, dia yang memberi vibrasi berbeda tampak sedikit tergelincir dalam lontaran dan mood.

Tetapi Ari, oh Ari! Dia adalah lelaki paling cool pada malam yang saya andaikan terganggu dengan pemilihan lagu-lagu yang kurang menepati citarasa penggemar Dewa 19 di Malaysia yang cenderung pada album-album terkemudian yang menampilkan Once sebagai penyanyinya. Penampilan Andra and the Backbone sempat meresahkan audiens sehingga terdengar cakap-cakap, mengapa bukan band Malaysia saja sebagai pembuka konsert?

Jika Dewa 19 hanya diikuti selepas kehadiran Once sekali pun, payah untuk menafikan keupayaan Ari yang menyerlahkan kematangannya, sebagai penyanyi dan penghibur, dipacu pengalaman hidupnya yang nyaris menghancurkan dirinya kerana masalah penyalahgunaan dadah dulu. Dia membikin malam bersama Dewa 19 lebih berjiwa, menyatukan Baladewa dan Baladewi dua era, lama dan baru.

Simpatik terhadap Ahmad Dhani menjadi drama yang menggugah rasa. Ari mengawali momen penuh emosi, saat air mata putera bongsu Ahmad Dhani, Dul Jaelani yang diamanahkan mengambil posisi ayahnya, bermain keyboard, sudah tidak tertahan lagi lalu mengalir deras apabila Dewa 19 meluncurkan lagu Hadapi Dengan Senyuman, sebelum Cinta kan Membawaku Kembali diperdengarkan.

Tenang, Ari memanfaatkan suasana malam dan membakar semangat 6,000 audiens di Shah Alam yang menurut seorang teman, mungkin mudah saja buatnya yang berpengalaman berdepan 10,000 fans di Surabaya, dulu.

Dul Jaelani atau nama sebenarnya, Abdul Qadir Jaelani yang berusia 18 tahun! Saling tidak tumpah seperti ayahnya dan bukan hanya tampangnya yang menjadi kelebihan, kerana dia yang tampil dengan belangkon hitam itu menewaskan prasangka bahawa dia dipilih hanya kerana dia anak Ahmad Dhani.

Cukup satu perkataan untuk menggambarkan Dul: Impresif!

Sejak debut pada 1992, saya kira wajarlah untuk punya harapan tinggi pada reunion Dewa 19 ini yang menyediakan line up sehingga album terakhir, Kerajaan Cinta yang dirakam 11 tahun lalu, apatah lagi selepas sudah hampir 10 tahun tidak mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.

Juga kerana konsert full house di stadium bersama pentas yang “secara teknikalnya,” kata Nik Iruwan Datuk Nik Izani, Pengarah Urusan Nizra Production yang membawakan reunion Dewa 19 Live in Malaysia, pada malam sebelumnya, “tidak pernah dimainkan Dewa, ini yang pertama kali.”

Jelas, ketidakyakinan saya terhadap keupayaan Stadium Malawati yang saya kira, bukanlah lokasi tepat bagi konsert sekelas Dewa 19 berbanding harga tiket sehingga RM888 (Meet & Greet) bukan didorong rasa semborono. Saya diberitakan penganjur dengan “sistem bunyinya, tata pencahayaannya, koreografi sangat mengujakan” bakal menjadikan penggabungan ini “mungkin konsert terbaik Dewa” namun apa yang disajikan tidak sebagaimana yang dibayangkan.

Bagi sebuah konsert band seumpama Dewa 19, dengan kehebatan pelantun seperti Ari dan Once, sistem bunyi yang diberikan tidak menepati jangkaan. Saya, memilih untuk berdiri berdekatan pentas malam itu, tidak dapat menikmati sepenuhnya persembahan kerana gangguan sistem bunyi yang sempat berfungsi sebelah saja! Itu belum dikira ngomelan mengenai bunyi bass yang terlalu kuat dan soal teknikal lainnya.

Kata seorang teman yang mengikuti Dewa 19 seawal hit Restoe Boemi dengan Ari sebagai vokalisnya, “It was a rip off!”

Saya tidaklah sampai hendak meletak ketiadaan Ahmad Dhani seumpama Queen selepas kehilangan Freddie Mercury, namun dia harus diakui sebagai pesona yang memberi jiwa kepada Dewa 19.

Masih, sebagaimana Queen, Dewa 19 itu sendiri dengan personelnya daripada Ari, Once, Andra, Yuke juga Agung dan Tyo sememangnya sedia hebat dalam cara mereka yang tersendiri, malahan Dul yang punya potensi cukup besar, lebih baik sebagai pemuzik berbanding bakat nyanyiannya yang cuba dikongsi lewat hit Angin.

Salahkah kerana saya meletak harapan tinggi?

Sejujurnya, saya juga tidaklah begitu terganggu dengan ketiadaan Ahmad Dhani, namun kepuasan jadi mustahil kerana ketidakwajaran yang seharusnya boleh direncana lebih baik telah menjejaskan malam reunion Live in Malaysia yang tidak memberi justifikasi kepada sebuah band yang dianggap bertaraf legenda seperti Dewa 19.