Syukor”The Kampung Boy”dan Kerbaunya: Momen 20 Saat Yang Diambil Dengan Jiwa

“Saat pertama itu…hujan mencurah ketika kali pertama saya merakam Syukor. Dia memang anugerah, satu dalam sejuta.” – Mohd Nazri mengimbau pertemuan mereka, empat tahun lalu. Ini kali pertama beliau berkongsi gambar ini, antara yang dianggap cukup peribadi baginya

Sepetang dengan Mohd Nazri Sulaiman yang membidik foto yang digelar “Sharing Emotion” itu sampai jadi bualan dunia.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Ihsan Mohd Nazri Sulaiman

MERENDAH diri orangnya. Sekilas, bicaranya pun mungkin hanya yang perlu. Begitu pun, boleh jadi rancak kalau kena gaya dan apabila diasak mengenai gambarnya yang dinobat antara terbaik dunia, dia seakan serba salah.

Dan cepat dia memanjatkan syukur. Kepada siapa, kalau bukan Sang Dia.

“Dan apabila kita ambil dengan jiwa, gambar pun ada jiwa. Hidup.”

“Saya rasa sebak,” akuinya, setiap kali dia mengenangkan momen indah yang diberikan Syukor Khamis, 14, yang mencuri hati dunia menerusi jalinan hubungan emosinya dengan kerbau peliharaan ayahnya, Khamis Jusoh, 63, di kandang mereka di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu, Terengganu itu.

“Dia (Syukor) sendiri adalah anugerah, satu dalam sejuta. Dia memperlihatkan keindahan anugerah Tuhan itu dengan hubungan antara manusiawi dan haiwani. Dan apabila kita ambil dengan jiwa, gambar pun ada jiwa. Hidup.”

Syukor merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu. Dunia bagaimanapun, lebih mengenalinya sebagai budak kampung yang bergelumang dengan lumpur bersama kerbau selepas gambar bidikan Mohd Nazri yang digelar “Sharing Emotion”  itu disenarai antara 20 gambar terbaik bagi anugerah berprestij Siena International Photography Awards 2018 dalam kategori Remarkable Award in Fascinating Faces and Characters.

Ia malah meraih anugerah di Asian Geographic: Images of Asia (IOA) 2018 bagi Kategori Street/ People.

Kala mengimbas momen berkenaan yang dirakamnya pada 2017 itu, dia menggelengkan kepala. Barangkali, dia sendiri tidak mempercayainya apabila memberitahu, “Cuma 20 saat! Saya dapatlah dalam tujuh, lapan keping gambar.”

Sejujurnya, jelas Mohd Nazri, 45, momen yang dirakamnya itu merupakan suatu yang amat peribadi baginya. Kerana apa yang tidak diketahui ramai, jurugambar asal Batu Pahat, Johor, itu sudah memotret Syukor dan kerbaunya semenjak empat tahun lalu.

Dan hubungan yang dijalin seawal Syukor berusia 10 tahun, begitu juga keakrabannya dengan keluarga remaja itu terutama Pak Khamis yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri, melihat jerih payahnya mengembala 100 ekor kerbaunya itulah yang memercikkan saat indah sehingga dapat dirakam lewat lensanya.

Juga, doa.

 
Kali Pertama Hujan, Kali Kedua Mendung. Ada Hikmah Menanti Tukang Gambar dan Subjeknya

“Satu hari, seperti biasa saya akan membiarkan Syukor bermain dengan kerbaunya. Saya tidak mengarahkan, lebih suka merakamnya secara semulajadi. Dan saya biasa bersendirian, merakamnya. Sedang Syukor leka bermain, saya terlihat seekor kerbau duduk di antara kumpulannya, menghadap saya. Saya terdetik dan tahu-tahu Syukor datang, duduk berdekatan kerbau itu tadi dengan muka kepenatan.

“Dua ekor kerbau berdekatan, membelakangi Syukor manakala kerbau yang duduk pula memandang ke arah bertentangan. Saya terfikir, alangkah bagusnya kalau kerbau itu menoleh ke arah Syukor. Saya cari apakah ikhtiar, lalu saya berdoa ‘Ya, Allah! Ya, Tuhan! Bagilah aku satu momen bermakna… yang bagus, tolonglah! Kau bagilah aku satu.‘ Tak sampai seminit, dua ekor kerbau yang mulanya membelakangi Syukor, berpusing memandangnya, seolah melemparkan pandangan sedih.

“Saat itu juga, kerbau yang duduk berpaling ke arah Syukor dan meletak kepalanya dengan pandangan hiba,“ katanya, mengimbau pengalamannya.

Seraya merakamkan terima kasihnya kepada jurugambar tempatan, Yaman Ibrahim, Dollah Dean dan Ismail Mamat dengan koleksi yang membuatnya berusaha mencari Syukor,  Mohd Nazri yang berlatar pendidikan dalam Kejuruteraan Mekanikal senyum mengingati pengalaman awalnya memotret remaja happy-go-lucky itu.

“Kali pertama merakam Syukor, hujan. Kali kedua datang, mendung. Sehinggakan Pak Khamis mengusik, sudah dua kali saya datang tapi keadaan jadi begitu sedangkan orang lain, molek saja. Tapi itulah hikmahnya kerana saya jadi kerap datang, saya pandang Syukor ini dan keluarganya macam keluarga sendiri,” katanya.

Syukor dan kerbaunya, Awang, mentafsir kasih dalam erti kata yang mendalam. Pertemuan pertama Mohd Nazri bersama Syukor dan bapanya, Pak Khamis

“Dan sejak kali pertama merakamnya, saya biarkan dia berseronok dengan kawan-kawan uniknya yang bukan saja kerbau, malah kambing, angsa, burung. Bagi saya, kena ada hormat walaupun dia budak. Syukor ini anak yang baik, keluarganya pun orang baik-baik.

“Saya jadi tersentuh apabila Pak Khamis, ketika ditanya mengenai Syukor sering dipotret begitu saja, sekadar membalas ‘Kalau saya meninggal, cukuplah (balas kebaikan) dengan sedekahkan Al-Fatihah.‘ Biar menempuh kepayahan, dia berserah kepada Allah dan kerana itu, rezekinya kadang datang tanpa diduga.“

“Saya tidak pernah nampak dia bermain telefon bimbit, tidak seperti ramai anak-anak remaja sekarang. Gajet dia itulah, kambing, angsa.“

Bukan ironi emosi semata dimeterai antara Syukor yang sering dalam keadaan berlenggeng dan berkaki ayam bersama kerbau-kerbau bertubuh sasa dengan tanduk ngeri, namun Mohd Nazri ikut mempersembahkan kedamaian suasana kampung yang melatari kehidupan masyarakat Melayu yang merupakan sebahagian tonggak budaya.

Juga, kenaifan yang ditonjolkan karektor Syukor sendiri yang seolah tidak dikorup dengan modenisasi.

“Saya tidak pernah nampak dia bermain telefon bimbit, tidak seperti ramai anak-anak remaja sekarang. Gajet dia itulah, kambing, angsa. Dia pecinta binatang, sebagaimana abang-abang dan kakaknya tapi dia berbeza kerana dia manja dengan binatang-binatang itu.

“Kerana saya memahami Syukor, saya hanya suruh dia bermain sepanjang saya merakamnya. Saya suka bersendirian bersama Syukor kerana kerbau sensitif. Jika bising atau terlalu ramai orang dan tidak dikenali, kerbau akan jadi resah dan terganggu. Kerbau tidak seperti lembu, mereka taat dengan tuannya,“  katanya.

Jangan Sombong Dengan Tuhan

Empat tahun memotret Syukor, dia paling terkesan apabila mengingati hubungan pelajar itu dengan seekor kerbaunya yang diteriak Awang. Dibela Syukor, satu-satunya yang ditambat di kawasan rumahnya, ia merupakan kerbau paling jinak dan disayanginya. Banyak gambar Syukor yang dirakam adalah bersama Awang.

“Itu sehinggalah Awang terpaksa disembelih dan pertama kali, saya melihat Syukor benar sedih. Saya ingat sampai sekarang Syukor menangis, kali pertama saya melihatnya begitu. Keluarganya malah tidak menjamah daging kerbau itu kerana tidak sampai hati, semua disedekahkan.

“Jika tanpa kasih, tanpa rasa memahami dalam perhubungan antara saya, Syukor dan kerbaunya, (gambar) tak akan jadi,” katanya yang sudah 10 tahun menjadi jurugambar sepenuh masa apabila minat dalam fotografi bercambah selepas 12 tahun menimba pengalaman di kilang pengeluar jenama terkenal kamera, Minolta, Konica sebelum diambil alih Sony.

Masih, banyak saat indah dipahat antara dia dan Syukor yang pernah memberitahu impiannya, “mahu buka zoo.“ Juga, saat lucu yang tercetus seperti ketika remaja yang kuat mengusik itu dirakam “bergusti dengan kambing.“  Sifat budak kampung polos Syukor mudah menambat hati siapa saja, apatah lagi dia tahu menghormati orang.

“Jadi, dengan Allah, Tuhan, jangan sombong. Doa, bukan kena bayar pun.”

Selain lanskap dan kembara, Mohd Nazri cenderung memotret kemanusiaan yang menuntut keupayaan membaca emosi seseorang. Gemar merakam menggunakan filem, tema jalanan/orang memberi kepuasan kepadanya yang memilih menyertai pertandingan sebagai caranya untuk belajar dengan mencabar kebolehupayaan dirinya.

“Sama seperti Siena mahu pun Asian Geographic, saya tidak pernah termimpi untuk menang. Saya hanya mahu cabar diri sendiri. Pertandingan membabitkan penilaian juri profesional dan gambar-gambar yang menang mendorong saya untuk berusaha, jadi lebih baik. Jika menang, itu bonus tapi bertanding tidak lebih sebagai platform untuk saya membaiki diri,” katanya, merujuk perjurian Asian Geographic yang diadakan secara FB live.

Ditanya bagaimana pengiktirafan pertandingan berprestij seperti Siena bakal merubah hidupnya, Mohd Nazri menghela nafas sebelum menjawab, “Kita ini manusia, jangan pernah rasa diri hebat. Itulah saya berdoa, ‘Ini  yang Kau berikan kepada aku, Alhamdulillah’ untuk momen 20 saat itu yang menjadi antara anugerah paling indah diberikanNya.

“Jadi, dengan Allah, Tuhan, jangan sombong. Doa, bukan kena bayar pun. Usaha, doa dan tawakal, dan apa pun yang kita buat, lakukan dengan ikhlas.”