Taman Keabadian Custommade Buat Aishah
Single terbaharu karya Senna yang disifatkan penuh penghayatan dan emosi.

Oleh RUMI

“Lagu itu begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tapi penuh penghayatan dan spiritual.” – Senna, komposer

“HANYA Dato Aishah yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam,” ujar Senna mengenai Taman Keabadian, sebuah lagu yang diakuinya dicipta sememangnya untuk penyanyi berkenaan.

“Beliau menyanyi bukan hanya denagn suara, tapi juga seluruh jiwa.”

Proses menghasilkan lagu balada itu, menurutnya, sangat peribadi dan istimewa buatnya, malah pemilihan Aishah juga dibuat khusus kerana menyakini hanya suara dan jiwa penyanyi itu mampu menyampaikan makna lagunya dengan sempurna.

“Lagu itu begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tapi penuh penghayatan dan spiritual,” kata komposer berbakat itu, memetik kenyataan medianya.

Taman Keabadian, sebuah lagu yang menggamit jiwa mengenai kehilangan, kerinduan dan pertemuan semula bukan saja menjadi hadiah buat peminat setia, malah simbol keutuhan Aishah dalam seni.

Aishah, dikenali dengan karya malar segar seperti Janji Manismu, melahirkan harapannya agar lagu berkenaan bukan saja menghiburkan, tapi juga memberi kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang sedang melalui kehilangan.

“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pergi ke negeri abadi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini adalah hadiah saya buat anda semua,” kata Aishah.

Bait lirik Taman Keabadian, menurutnya, memberitakan penawar pada rasa kerinduan itu dan “hanya dengan keyakinan kita akan bertemu di negeri abadi kelak sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan dan luka di hati.”

Diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Aishah & The Fan Club, sebuah band yang ditubuhkan di New Zealand pada 1980an dan mencipta populariti dengan lagu seperti Sensation, dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berkarya.

“Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” tambahnya.

Single Taman Keabadian boleh dilayari di semua platform penstriman digital mulai 8 Ogos 2025.