Mencari Momen Magikal di Konsert Duo Lagenda M Nasir dan Jamal Abdillah
Tapi, lagenda seharusnya buat orang ketagihan. Bukan begitu?
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
SAAT dua lagenda diberitakan bakal dipertemukan di satu panggung, hati berbunga kerana memikirkan momen-momen magikal yang akan dititipkan.
Lebih lagi kerana mereka adalah dua lelaki hebat yang kalau dihadapkan di depan mata bisa saja bikin orang bingung, sukar seandainya disuruh memilih. Dua-dua punya karisma yang buat perasaan berbaur antara cemburu dan kekaguman.
Sejujurnya, kerana manusia seperti Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah punya kelas tersendiri.
Suara Jamal yang tiada tolok bandingan tidak akan saya nafikan. M Nasir dan attitude yang merupakan karismanya menjadikan dia tiada duanya. Pantaslah apabila ia menjadi sandaran pada previu Konsert Duo Lagenda M Nasir dan Jamal Abdillah di Istana Budaya, malam tadi, untuk meraih momen yang dibilang magikal itu.
Usai konsert dua jam pimpinan pengarah muzik, Raja Shah Raja Sari, saya sebaliknya memikirkan kemungkinan apakah saya terlepas momen yang seharusnya membuai perasaan, yang bikin kita merasa seolah-olah tidak mahu pulang. Saya melihat pemuzik bukan biasa di pentas kecuali seorang dua, mencongak mainan yang seolah kurang groovenya.
Atau, silap saya sendiri kerana mengharapkan suatu kejutan?
M Nasir dan karismanya
Jamal memulai persembahan dengan pilihan daripada album sulungnya
“Peminat kena datang kerana kita menyanyi. Ini (pertemuan) guru dan anak muridnya,“ kata Jamal dalam satu pertemuan kami, sebelum ini. Saya menyimpulkan konsert anjuran BinJamal Event ini akan menjadi suatu yang up close and personal, sebagaimana kata M Nasir bahawa persembahan ini “untuk peminat.”
Juga disebabkan mereka berkongsi pentas, buat julung kalinya, dalam satu konsert dan adillah untuk saya mengharapkan, ya… rasa magikal itu. Iaitu, mood nostalgia lewat Azura, misalnya kerana lagu daripada filem keluaran 1984 itu yang menggunakan judul sama merupakan lagu pertama diberikan M Nasir kepada Jamal.
Bagaimana kalau M Nasir pula menyanyikan Azura, kali ini, mungkin dengan iringan piano oleh Jamal?
Dan mungkin Jamal dengan rendisi Senandung Semalam diiringi petikan gitar kapuk oleh M Nasir yang bukan saja menjulang beliau sebagai Juara Bintang RTM, hampir 40 tahun lalu, malah menyebabkan single Alleycats ciptaan Wan Ibrahim dan lirik M Nasir itu, meledak? Atau, hits seawal zaman Kembara yang dijoloki M Nasir “zaman saya kurus, berambut panjang dan comot.”
Saya sedikit termangu kala Jamal membuka persembahan malam tadi dengan Cinta dan Tangis daripada album sulungnya, diikuti gubahan Datuk Ahmad Nawab, Bicara Cinta dan gembira mendengar M Nasir melontarkan Keroncong Untuk Ana untuk memulai kehangatan malam.
Hijab Kekasih dengan pembuka yang membuai rasa, sebagaimana jelas M Nasir, merupakan lagu balada Melayu yang “amat susah nak dinyanyikan” dan membuat saya begitu menghargainya. Saya juga ingin merasai “hari ini hari istimewa buat anda dan saya” seperti diungkapkan komposer asal Singapura itu, sejurus sebelum dia menyanyikan Mustika dan Apokalips.
Sejujurnya, saya tidak menduga akan menjadi saksi pada satu perhubungan yang indah. Bukan rahsia, Jamal melorongkan jalan buat anaknya, Osama Yamani yang tampil duet lewat rangkaian hits seperti Perjalananku dan Gadis Melayu tapi bukan itu yang membuatkan dia dicemburui.
Hijab Kekasih oleh M Nasir yang membuai rasa
Penampilan dua beranak, Jamal dan Osama yang menyentuh hati
Saya, malam itu, terkesan dengan bahasa tubuh Jamal. Hati terusik kerana merasai dalamnya kasih seorang bapa terhadap anaknya. Jamal mungkin tidak menyedari bagaimana dia buat orang senyum dalam terharu melihatnya bukan sebagai penghibur, tapi seorang bapa.
Kejutan hadir lagi tanpa diduga, kemudiannya. Saya memang tidak teruja dengan idea kehadiran seorang penyanyi YouTube seperti Cassidy Anderson tapi asyiknya, dia bukan cuma tampil glamor dengan gaya ala Lady of Liberty, tapi datang memberi kejutan manis.
Jamal ada memberitahu saya, telo Melayu wanita Australia itu “bagus semasa menyanyi” dan terbukti apabila mereka berduet lewat Sandarkan Pada Kenangan dengan mood ska-reggae yang menyegarkan. Solo Derita Cinta hampir sempurna dan usikan M Nasir yang menyerlahkan sifat manjanya, sedikit gedik mungkin, lewat duet Dua Insan hanya menyerikan lagi malam konsert.
Cassidy beri nafas segar lewat duet Sandarkan Pada Kenangan bersama Jamal
Seniman Menangis nyata cukup peribadi buat Jamal yang diiringi kemudiannya dengan petikan gitar oleh Osama, seolah membiaskan ranjau dalam sejarah perhubungan mereka. Baru 17 tahun, perjalanan Osama sendiri masih panjang dan dia memerlukan lebih daripada apa yang ditampilkan malam tadi untuk menjadi sehebat bapanya.
Tiga hits Kembara, Hati Emas, Gerhana dan Perjuangan oleh M Nasir kemudiannya buat audiens terus bernostalgia, diikuti giliran Jamal solo semula dengan Cenderawasih, Kerlingan dan Senandung Kasih yang kuat jiwa Melayunya. Semua ini bagaimanapun, belum apa-apa berbanding Kiambang yang mempertemukan dua lelaki ini di satu pentas, akhirnya.
Jamal sebelum itu, mengulangi lagi perihal perhubungan “guru dan dan murid” antara mereka berdua, namun apabila seorang yang tidak banyak bicara sepertinya berseloroh “nak bertanya macam-macam soalan (kepada M Nasir) tapi takut” meleraikan kesangsian, jika ada, terhadap keakraban, juga rasa hormat yang memperkukuh pertalian yang terjalin antara dua lelaki yang sangat berbeda karektor ini selama lebih 30 tahun.
Ghazal Untuk Rabiah mungkin melabuhkan tirai malam konsert M Nasir dan Jamal selepas Malam dan Mantera Semerah Padi, namun percikan spiritual Kepadamu Kekasih paling membekas yang membiaskan persoalan terhadap pegangan dalam perjalanan semua makhluk yang bergelar manusia.
Masih, malam tadi memerlukan lebih daripada tongkat sakti untuk memberi justifikasi kepada dua lagenda ini.
* Konsert Duo Lagenda berlangsung selama empat malam sehingga 23 Disember ini, di Istana Budaya. Dibawa oleh Shapadu dengan promosi dikendalikan Mewah Event Management, konsert bakal menampilkan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang akan tampil menggesek biola lewat tiga lagu pada malam 22 Disember. Tiket berhargaRM158 – RM1,000 boleh didapatkan menerusi www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.