Seclassy Vintaj dan Scene Fesyen, Buntil Bertaut Hal Kejujuran, Kesetiaan Dan Pengorbanan Yang Digelar Brotherhood
Singkapi dua lelaki hebat, Shamsul Arif “Sting” Mansor dan Adnan “Che Nan” C Mohamad, pendukung stor vintaj yang mendunia lewat jenama Buntil.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
Che Nan (duduk, kiri) dan Sting (kanan) dalam koleksi vintaj di Buntil, Shah Alam
DAUN pintu kayu rumah kampung dikuak, dan tanpa pernah gagal, mempersilakan tamunya menjamu pandangan seraya menghirup aura vintaj yang lebih awal menerpa di balik dinding separuh kaca itu.
Cukup sekilas, Buntil bikin banyak hati tertawan.
Biar hanya sekadar melewati, mahu tidak mahu mata akan terpanggil juga untuk menoleh. Diintai, hati digaru-garu untuk mengamati koleksi kasut yang nampak langka, daripada Adidas ke Nike, malah but Dr Marten yang tentunya buatan England yang dipamer berdekatan daun pintu tadi.
Sungguh bukan kunjungan pertama, Buntil nyata tidak pernah menjemukan.
Kerana setiap kali itu jugalah, pandangan pasti melilau mengamati ribuan koleksi vintajnya yang sering membuat saya menebak sendiri apakah sejarah yang disimpannya. Dan nilai sejarah memang tidak pernah murah.
“Saya dapat idea dari Jepun,” kata Sting, menceritakan pendedahan awal terhadap barangan vintaj. Saat dunia diburu isu kegawatan ekonomi, dia memilih ke Jepun untuk mengumpul modal sementara bisnes di tanahair digalas sepenuhnya oleh Che Nan.
“Pada 1996, saya ke Jepun dan bekerja sembunyi-sembunyi di kilang Nissan, membuat acuan plastik. Saya dibayar 800 Yen sejam atau RM3.70, kerja sampai sakit-sakit pinggang sebab berdiri saja sepanjang masa tapi kerana sudah nekad semasa meninggalkan tanahair demi mencari modal, saya bersabar.
“Enam bulan di Nissan, saya dapat peluang jadi supervisor biar pun tak reti berbahasa Jepun, kendali pembuatan Bento untuk rangkaian 7 Eleven dengan bayaran 1000 Yen, bekerja 14 jam sehari. Dua tahun saya bertahan, jaga pekerja dari Bangladesh dan Sri Lanka.”
Senyum, lelaki asal Temerloh, Pahang ini menambah: “Ke hulu hilir bawa kamus Jepun, kadang main bahasa isyarat saja.”
“Pada 1999, sekembalinya ke tanahair, percambahan muzik undergound mempengaruhi evolusi fesyen, antaranya dicetuskan pengikut skinhead yang menyaksikan meluasnya permintaan terhadap koleksi but Dr Marten.
Jepun, jelas Sting, membuka matanya mengenal nilai barangan terpakai dan potensi sebagai bisnes.
“Saya belajar memilih barang, tahu nilai. Malaysia, ketika itu, sudah ada pasaran untuk barangan terpakai atau bundle tapi berbeza dengan Jepun yang jual barang ikut permintaan. Jepun jadi lubuk saya mencari barangan vintaj yang high-end,” katanya.
“Pada 1999, sekembalinya ke tanahair, percambahan muzik undergound mempengaruhi evolusi fesyen, antaranya dicetuskan pengikut skinhead yang menyaksikan meluasnya permintaan terhadap koleksi but Dr Marten.”
Che Nan kemudian mencelah, memberitahu sebelum membawa masuk koleksi vintaj but Dr Marten, bisnes mereka bertumpu pada jenama Lois sebelum menghentikannya selepas mutunya menurun.
“Pada masa sama, kami bawa masuk kasut seperti Adidas dan Nike tapi fenomena skinhead benar mempengaruhi industri yang mendorong kemasukan koleksi vintaj but berjenama Timberland dan Red Wing, selain Dr Marten buatan England yang kami dapatkan dari Pakistan.
“Itu juga bagaimana segalanya bermula,” katanya.
BROTHERHOOD, STAIL BUNTIL
“BILA nak besar ni?” seloroh Che Nan, berteriak kepada saya yang berada di seberang jalan di depan stor Buntil di Taman TTDI Jaya, Shah Alam lama selepas kami tidak bersua muka. Kini, pada usia 53 tahun, dia masih Che Nan yang saya kenal – mudah mesra, sentiasa menceriakan hari dengan jenakanya.
Dia buat saya ketawa walaupun sejujurnya, situasi terasa lucu lebih disebabkan karektornya yang begitu biarpun hakikatnya ceritanya tidaklah selucu mana.
Sampai ada kalanya, saya jadi tertanya sendiri, bila masakah lelaki kelahiran Gopeng, Perak ini serius? Pernahkah dia melenting, marah?
Sukar untuk saya bayangkan, namun saya tidak ingin menduga apatah lagi apabila teman yang mengenali beliau seolah mengingatkan: “Che Nan nampak saja selalu ceria, tidak kisah, tapi janganlah sesiapa mengata atau memburukkan Sting.”
Saya hanya dapat mengandaikan, Buntil bukan cuma bisnes atau lubuk untuk Che Nan mahu pun Sting buat duit. Buntil, saya simpulkan, pertamanya didirikan atas nama sebuah kejujuran, kesetiaan dan pengorbanan yang menjadi lambang kuatnya ikatan persaudaraan mereka yang terjalin sejak lebih 30 tahun lalu.
“Kami kenal dari zaman belajar lagi, sejak 1985, ketika sama-sama menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.”
Sting dan Che Nan membiaskan erti sebenar sebuah persahabatan. Dan seperti barangan vintaj milik Buntil, persahabatan sebegitu dengan sejarahnya tersendiri makin sukar ditemukan dan jika ada, sangat mahal.
Hanya beza setahun usia, Sting lebih seperti seorang abang berbanding Che Nan. Biar tidak banyak bicara, kematangannya sentiasa menyenangkan. Sering tenang menutur bicara, ada ketikanya saya menangkap senyuman di hujung mulutnya kala mendengar celoteh sahabatnya itu.
“Kami kenal dari zaman belajar lagi, sejak 1985, ketika sama-sama menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi,” kata Sting, membetulkan beretnya seraya memerhati Che Nan yang duduk tidak jauh daripadanya, separuh mendengar sahabatnya itu berbalas pandangan dengan seorang teman mereka hingga bikin orang tidak kering gusi.
“Che Nan berpengalaman dalam retail sejak awal, dari zaman universiti, menjual denim. Saya dalam jurusan Geologi, sementara Cheh Nan akaun.”
Kali ini, Sting senyum lebar, memberitahu: “Che Nan tauke cetak tshirt.”
Che Nan sempat mengangguk, mencelah bagaimana dia “galak berbisnes, menjual daripada pakaian denim, servis mencetak tshirt dan pelbagai lagi.“ Biar pun Sting asalnya tidak menunjukkan kecederungan dalam bisnes, mereka bergabung untuk melahirkan D’Genuine Collection, menjual pakaian jenama Lois.
Ia, sebelum duo ini dikenali sebagai pendukung Buntil selepas nama itu diberikan penulis novel Legenda Budak Setan, Ahadiyat Akashah pada akhir 90an yang juga merupakan penggemar barangan vintaj Louis Vuitton dan Polo Ralph Lauren dalam koleksi mereka, selain baju ragbi.
Sting ketawa, mengimbau pembabitan awalnya dalam bisnes. Ditanya, jawapnya: “pada 1990, saya jual barangan pendidikan iaitu pembaris serbaguna. Bisnes bertahan tujuh tahun, membawa dari sekolah ke sekolah pembaris teknikal ini yang dijual pada harga RM7.90 setiap satu. Saya mula rasa serba salah apabila berlaku insiden, kami diserang ibu bapa yang tidak berpuashati.“
Sambil senyum, dia bercerita lanjut bagaimana mereka menjadi sasaran kemarahan beberapa ibu bapa. “Ada ibu bapa marah-marah bertanya ‚“Kau buat apa dengan anak aku? Ada juga yang mempersoalkan kewarasan kami sehingga ada menunggu di pagar pintu keluar sekolah.
“Lalu kami hadiahkan pembaris, percuma, dan nasib baiklah kemarahan mereka reda. Tapi, apa yang lucunya, bukan main bergaya lagi kami bersut ala Men in Black, bertali leher merah walaupun hanya buat demo, jual pembaris.”
BELAJAR DARIPADA JEPUN
PENCARIAN seawal 1999 membawa Sting ke Bangkok, Thailand yang merupakan hab pengumpulan dan pengedaran koleksi vintaj. Jelasnya, barang biasanya dibawa masuk dari Afghanistan, sebelum ke Pakistan dan kemudiannya, Bangkok.
Dia tidak berlengah, menjelaskan, “Barangan terpakai banyak di negara yang dilanda peperangan kerana biasanya ia adalah hasil sumbangan. Kemboja pun ada barang yang bagus. Jika dulu, Red Wing pula dibawa masuk dari luar negara oleh kelasi kapal atau pekerja minyak dan gas.
Tapi Jepunlah yang memulai kegilaan pada barangan vintaj high-end ini.
“Ada tiga perkara dari Jepun yang menjadi sandaran saya dan Che Nan dalam berbisnes, iaitu menghormati orang kala memberi servis, tegas apabila bekerja tanpa mengira apakah kawan, hatta ibu bapa dan ketiga, sifat suka mencari, didorong keinginan pada sesuatu lain daripada yang lain.”
Ahadiyat nyata bukan hanya pelanggan popular Buntil yang turut menerima kunjungan selebriti seperti band rock, Search dan Ahmad Dhani yang juga pendiri band Indonesia, Dewa 19 selain pemain bola sepak kelahiran Argentina, Pablo Aimar yang pernah menggayakan koleksi Fred Perry.
Vintaj dan berjenama, dua elemen yang dijoloki Buntil untuk membina rangkaian pelanggan high-end, termasuk menerusi Ralph Lauren, Tommy Hilfiger, Brooks Brothers dan Burberry, mengumpul pengikut dari Eropah hingga ke China dan Jepun yang teruja untuk memiliki koleksi yang sudah dihentikan produksinya.
Di meja luar berdekatan bar kopi Buntil, kami bersembang dan sesekali, melalut pada cerita politik dan agama. Sepi juga suasana pada hari pertemuan kami itu, namun ada saja yang datang menyinggah dan grup bertambah apabila ada teman dan pelanggan duduk, ikut menyumbang cerita.
Ia buat saya tersenyum memerhati, sambil babak sitkom 80an, Cheers! di mana “semua orang tahu siapa nama anda”, melintas di fikiran saat melihat kemesraan di Buntil pada malam yang agak dingin itu.
“… koleksi sehelai jeans Levi’s berusia 50 tahun mencecah harga RM15,000 dan kegilaan pada kasut Nike, Air Jordan, keluaran 1985 dijual pada harga RM5,000 sepasang.”
“Di Buntil, saya dan Che Nan saling mengingatkan dan kami sampaikan kepada pekerja, mesti selalu jaga pelanggan dan buat seperti kawan. Setiap kami ada pelanggan sendiri dan servis kami bersifat peribadi.
“Ini kerana, persaingan makin keras, barangan pun makin mahal dan pelanggan makin bijak, tahu menilai. Setia, jujur dalam persahabatan kami turunkan dalam amalan bisnes dan mungkin itulah yang menjadi kekuatan Buntil,” kata Sting.
Seperkara, baik Sting mahu pun Che Nan, tidak lokek ilmu sehingga menjadi inspirasi kepada pelanggan, termasuk generasi muda yang didorong minat dalam barangan vintaj sehingga memulai bisnes vintaj mereka sendiri.
“Sekembalinya dari Jepun, saya sudah berusia 29 tahun. Saya pergi ke Karachi, Pakistan mencari barangan vintaj selain Korea, Jepun dan Thailand, antaranya. Nak bisnes vintaj, anda mesti rajin berjalan.
“Buntil melihat bagaimana koleksi sehelai jeans Levi’s berusia 50 tahun mencecah harga RM15,000 dan kegilaan pada kasut Nike, Air Jordan, keluaran 1985 dijual pada harga RM5,000 sepasang,” katanya, senyum.
Dan malam itu saya merasakan kenapa persahabatan di antara dua lelaki inilah paling mahal pernah dimiliki Buntil, sebenarnya.