Hael Husaini dan 4 Bidadarinya

Membilang hari menjelang Konsert Hael Husaini & Repertoire, 8 Ogos ini.
Oleh RUMI
“Saya dan Dayang (Nurfaizah) telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami. Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia.”
BUKAN rahsia lagi tentang wanita yang akan menemani Hael Husaini pada 8 Ogos nanti.
Penampilan yang paling dinantikan pada Konsert Hael Husaini & Repertoire kelak, Dayang Nurfaizah, menurut pelantun Jampi ini, “bukan saja seorang penyanyi yang saya kagumi, tetapi juga seorang sahabat sejati.”
Malam solo perdananya itu yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, baginya bukan sekadar konsert, malah sebuah pengalaman seni, fesyen, dan emosi yang disifatkan bakal menjadi sejarah muzik tanah air.
Tidak hanya Dayang yang menyaksikan mereka pernah berkolaborasi melalui Haram, konsert itu akan turut menampilkan Nadeera selepas duet lagu raya mereka, Meriah Lain Macam.
“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami,” katanya lagi, berkongsi keterujaannya mengenai kehadiran dua penyanyi berbakat itu. “Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia.”
Tapi “Siapa cakap 2 aje?”, tukilnya di aplikasi X yang kemudian membawa kepada pengumuman dua lagi penyanyi, Wany Hasrita dan Nabila Razali bagi menambah kemeriahan konsert yang hampir habis dijual itu.

Selain kehadiran empat bidadari itu sebagai artis jemputan, Hael, memetik kenyataan medianya sedia untuk menyajikan rangkaian lagu popularnya bersama susunan muzik baharu, persembahan visual sinematik, dan peragaan fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi estetiknya sendiri.
“Saya ingin peminat yang hadir bukan saja mendengar lagu, tetapi juga merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya, dan menyaksikan sisi kreatif saya yang sebenar – dari muzik, visual hingga ke fesyen.
“Saya mahu mereka keluar dari Zepp dengan perasaan terinspirasi, puas dan bangga menjadi sebahagian daripada malam itu nanti,” kata Hael yang merangkul Lagu Tema Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) di Singapura, tahun lalu, lewat Diam, lagu runut bunyi bagi sebuah drama tempatan.
Juga seorang komposer berbakat, selain dalam nyanyian, Hael memperluaskan pengaruhnya sebagai ikon fesyen, melangkah ke pentas Minggu Fesyen Milan dan Paris 2025, memperagakan jenama mewah Dolce & Gabbana dan Kenzo, antaranya.
“Saya bukan sekadar ingin dikenali sebagai penyanyi atau komposer, tetapi sebagai penggiat seni yang mewakili Malaysia dengan penuh gaya di mana-mana pentas saya berdiri,” katanya yang lebih dulu tampil dalam mini showcase, Antonim Night pada akhir Mei lalu.
Akses
- 8 Ogos 2025
- 8pm
- Zepp Kuala Lumpur
Tiket
- Kecuali VIP Box dan Diamond (Duduk) yang telah habis dijual, masih ada tiket berbaki untuk zon berdiri pada harga serendah RM120.
- Layari www.ticket.com.my untuk pembelian tiket.

Comments are closed.