Umairah ke Iman Fandi, Andi dan Ara Johari Beradu Single Raya

Dari emosi rindu dan sayu, ke keceriaan keraian, lagi single raya semarakkan sambutan.
Oleh RUMI
“… emosi rindu dan sayu, namun masih menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi segar.” – Umairah
TAK hanya pop, malah zapin ikut menghiasi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang menerusi single baru, antaranya di bawah payung Universal Music Malaysia. Lagu mana paling melekat?
Lagu: Tak Balik Raya
Penyanyi: Umairah
“Muzik dan emosi lagu ini sesuai dengan usia remaja saya,” kata Umairah, merujuk single rayanya, Tak Balik Raya, mengenai dilema mereka yang beraya berjauhan daripada keluarga lewat “emosi rindu dan sayu, namun masih menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi segar.”
Ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito, juara kategori vokal (junior) di World Championships of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat ini menyifatkan lagu itu menceritakan realiti sebenar yang dialami anak rantau setiap kali menjelang musim perayaan.
“Saya tidak menunggu lama untuk bersetuju memilih dan merakamkan lagu ini,” katanya yang seakan-akan “jatuh cinta pandang pertama” dengan lagu itu. “Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak dikeluarkan teaser, saya menerima komen positif.”
Lagu: Hari Raya Raya Raya
Penyanyi: Iman Fandi
Hari Raya Raya Raya adalah simbol kepulangan dan kebersamaan, kata model, pelakon dan atlet asal Singapura ini dengan “lirik yang mengangkat pelbagai aspek tradisi Hari Raya, daripada keseronokan berbuka puasa, persiapan baju sedondon, hinggalah kepada kegembiraan kanak-kanak menerima duit raya.”
Ujar puteri legenda bola sepak, Fandi Ahmad ini lagi: “Hari Raya, bagi saya, adalah mengenai keluarga, berkumpul, menjamu selera, dan mengeratkan hubungan dengan orang tersayang yang mungkin jarang kita temui. Ia masa untuk menghargai detik-detik istimewa dan mencipta kenangan baru bersama keluarga serta sahabat. Jadi, semua rasa ini saya wujudkan dalam lagu ini.”
Istimewanya, proses rakaman single Melayu pertamanya itu turut membabitkan ahli keluarganya, mencipta suasana penuh gelak tawa dan kehangatan yang memberikan “satu dimensi peribadi yang sangat bermakna” buatnya yang berharap ia boleh dinikmati semua peringkat umur.

Lagu: Inikan Hari Raya
Penyanyi: Andi Bernadee
Sebab mahukan feel, demi Inikan Hari Raya, dua kali Andi memasuki studio rakaman dengan sesi pertama untuk merakamkan vokal utama sebagai demo.
“Dari situ, saya dan komposer berbincang tentang muzik, adunan, dan lirik yang sesuai,” katanya mengenai lagu ciptaan Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K itu dengan lirik yang ditulisnya bersama tiga komposer terbabit. “Hanya selepas itu, kami melakukan rakaman kali kedua.”
Menggabungkan elemen moden dan tradisional, ia merupakan lagu raya solo pertama Andi. Dengan irama catchy dan menghiburkan, katanya. “Ia menggambarkan suasana sebuah keluarga yang pulang ke kampung halaman, serta pelbagai peristiwa yang terjadi dalam persiapan dan sambutan Hari Raya.”

Lagu: Zapin Malam Raya
Penyanyi: Ara Johari, menampilkan Trio Latah
Dari rock ke Irama Malaysia, penyanyi ini menyertai kemeriahan sambutan Lebaran dengan single Zapin Malam Raya.
Ciptaan Affan Mazlan bersama Syafiq Al Gambus itu cuba memberi kelainan dengan mengetengahkan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan yang dipersembahkan bersama kumpulan pelawak Pantai Timur, Trio Latah.
“Ara teruja apabila lagu ini menyelitkan dialek negeri, iaitu Negeri Sembilan dan Kelantan di dalam liriknya yang bercerita mengenai suami yang teruja apabila tiba giliran balik raya ke kampungnya,” katanya.

Comments are closed.