Karya Healing Ghea Indrawari
Tidak pernah menduganya, bintang Indonesia ini terharu karyanya bisa menyentuh banyak jiwa.
Oleh Zurina Waji | Foto INT X Group
“… menyelamatkan mereka seperti daripada bunuh diri. Saya selalu katakan, mereka yang tidak merasakan hal-hal seperti yang saya rasakan, mungkin lagu mengenai mencintai diri dan kesihatan mental ini akan kedengaran cringe…”
SABTU ini, 30 November, menjadi detik bersejarah buat penyanyi dan pencipta Indonesia, Ghea Indrawari. Kerana, buat julung kalinya, dia akan bertemu fans Malaysianya di Kuala Lumpur, pada Konsert Farmasi Soundzation.
Juga kerana ia merupakan persembahan pertama di luar tanah kelahirannya sejak debut dengan single Rinduku, lapan tahun lalu, selepas penyertaannya di dalam program pencarian bakat, Indonesian Idol.
“Pasti akan jadi suatu yang istimewa kerana (persembahan) akan jadi yang pertama saya bawa di Malaysia,” katanya, teruja untuk memperdengarkan 10 karyanya sendiri pada konsert yang turut menampilkan Bunga Citra Lestari dan akan dihoskan oleh penghibur sensasi, Elly Mazlein.
Dianjurkan oleh INT X Group, konsert yang diperindahkan oleh FARMASI, iaitu peneraju jenama kosmetik antarabangsa yang berpangkalan di Turkiye sebagai penaja utama itu akan berlangsung di Megastar Arena.
Ia juga mendapat sokongan Program Eksplorasi Usahawan Wanita, iaitu satu inisiatif Koperasi Wanita Malaysia Berhad dan FAR Academy dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, antaranya.
Bertema Gabungan Perpaduan Adunan Muzik dan Kecantikan, melalui Konsert Farmasi Soundzation, ia menawarkan geran sehingga RM20,000 bagi usahawan yang ingin meneroka industri kecantikan ke peringkat antarabangsa.
Jiwa Yang Bersedih yang membuat namanya meledak, akhirnya selepas sempat berputus asa dengan kerjaya yang seolah tidak ke mana, akui bakat kelahiran Kalimantan ini juga adaalh judul paling dinantikan audiens.
“Dari Malaysia juga, ramai yang sering kasi komentar di posting saya, malah DM (mesej) bila mahu ke Malaysia, nyanyi Jiwa Yang Bersedih sama-sama? Sejujurnya untuk mempunyai lagu hits di Indonesia saja memerlukan perjalanan yang panjang.
“Begitu lagu dipasarkan, malah didengari di Malaysia tentunya saya bersyukur sekali,” katanya merujuk lagu bergenre pop itu yang dipasarkan tahun lalu dan merupakan lagu ke-11 yang dirakamnya.
Julai lalu, platform penstriman Spotify mencatat Jiwa Yang Bersedih yang ditulis berdasarkan apa yang dilaluinya sebagai lagunya yang paling banyak diputar, iaitu lebih 240 juta kali, diikuti Kamu Anggap Apa dan Rasa Cinta Ini.
“… lagu healing, lebih kepada mencintai diri, juga kesihatan mental. Saya harap orang dapat menyanyi bersama, apa yang saya tulis. Saya menulis lagu saya sendiri, harapnya ia dapat menyentuh hati orang di Malaysia…”
LEBIH MENCINTAI DIRI
Ghea tidak menduga lagu-lagunya membantu mereka yang melalui masa-masa sulit.
“Iaitu, bagaimana lagu saya menyelamatkan mereka seperti daripada bunuh diri. Saya selalu katakan, mereka yang tidak merasakan hal-hal seperti yang saya rasakan, mungkin lagu mengenai mencintai diri dan kesihatan mental ini akan kedengaran cringe.
“Tapi orang yang memang memerlukannya akan merasa punya kekuatan, merasa mereka didengar dan layak untuk dicintai. Setiap hari saya mendapat ucapan terima kasih, bagaimana lagu itu membantu mereka keluar dari rumah sakit jiwa,” katanya.
Jiwa Yang Bersedih membuatkan namanya sering dikait dengan imej galau walhal dia juga mempunyai lagu-lagu cinta dan memberi semangat yang diharap dapat diperkenalkan pada malam Konsert Farmasi Soundzation.
Jelas gadis berusia 26 tahun ini, lagu-lagunya sebenarnya memiliki lirik yang mengajak pendengar untuk mencintai diri sendiri.
“Lebih menerima keadaan, berdamai dengan keadaan dan bangkit lagi. Cuma masalahnya kerana dalam keadaan muzik yang galau tapi masih berbeda daripada galau patah hati, galau putus cinta, bukan seperti itu.
“Ia lebih berupa lagu healing, lebih kepada mencintai diri, juga kesihatan mental. Saya, ketika menulis pun, saya berbicara denagn diri sendiri. Saya sedang memberi semangat, pengakuan positif. Besar harapan saya agar fans dapat merasakan itu, setelah pulang daripada menonton saya akan lebih bisa mencintai diri sendiri, lebih kuat lagi menghadapi kehidupan ini,” katanya lagi.
Begitu pun, Ghea mengakui tiada masalah kalau dia dilabel sebagai penyanyi lagu galau.
“Galau itu perasaan manusia juga dan semua manusia pasti pernah galau, jadi tiada masalah,” akuinya.
Satu kebimbangan Ghea, iaitu kalau audiens tidak mengetahui lagunya selain Jiwa Yang Bersedih.
“Saya akan berusaha agar sepanjang konsert itu orang tidak bosan dan boleh menikmati
lagu yang dibawa, pesannya akan sampai kepada pendengar di Malaysia.
“Saya harap orang dapat menyanyi bersama apa yang saya tulis. Saya menulis lagu saya sendiri, harapnya ia dapat menyentuh hati orang di Malaysia dan mana yang mungkin tidak dalam keadaan baik atau mungkin terasa galau bisa lebih bersemangat lagi.
“Saya menulis dari hati, harap bisa sampai ke hati pendengar. Maka, terima kasih untuk apresiasinya. Saya senang sekali kalau lagu-lagu saya, karya-karya saya bisa menemani hari-hari pendengar, melalui masa-masa yang sulit,” katanya.
Masih ada tiket berbaki pada harga serendah RM288 yang boleh didapatkan di www.ilassotickets.com
Comments are closed.