Bernostalgia di Rock Warrior Festival
Acara muzik epik yang menghimpunkan band legenda dan baharu di Kuala Lumpur, akhir November ini.

Oleh RUMI | Foto Rumah Produksi Merah

“Kerana itu, Rock Warrior Festival akan menjadi satu acara muzik epik yang akan menghimpunkan band rock tanahair dalam satu persembahan yang bertenaga dan penuh nostalgia.”

LEBIH tiga dekad sudah berlalu semenjak Wings melangkah masuk ke industri muzik tanahair menerusi album Belenggu Irama.

Irama rock menunjangi band asal Kuala Lumpur itu yang berhasil menumbuh sebagai jenama yang dikagumi, terus bertahan di sebalik kemelut yang tercetus di tengah perjalanan yang hari ini hanya memperkukuhkan lagi langkah.

Lalu, bagaimana sekiranya kehangatan rock yang mendorong Wings, ketika itu, dikembalikan, kata vokalis dan pengasas Wings, Datuk Awie.

“Kerana itu, Rock Warrior Festival akan menjadi satu acara muzik epik yang akan menghimpunkan band rock tanahair dalam satu persembahan yang bertenaga dan penuh nostalgia,” katanya, mengumumkan penganjuran Rumah Produksi Merah itu dalam usaha untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, dan pada masa sama menyatukan peminat rock, generasi lama dan baharu.

Bakal menggegarkan KL Base, Sungai Besi pada 23 dan 24 November ini, Rock Warrior Festival, menurut kenyataan medianya, menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang tiada tandingan kepada semua peminat rock.

Tiket dijual pada harga serendah RM150 seorang dan telah mula dibuka pada 7 September lalu.

Jelasnya, Search yang diterajui Kid dan Din, dan XPDC, iaitu antara band yang merajai zaman kegemilangan muzik rock pada pertengahan 1980an sehingga 1990an akan menyertai Wings pada hari pertama festival dua hari itu.

“Saya percaya festival ini akan menjadi titik sentral yang mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, generasi lama dan baharu.

“Festival ini juga akan menjadi medan yang amat sesuai untuk mengenengahkan bakat baharu dalam industri muzik rock. Platform unik ini memberi peluang kepada band rock baharu untuk beraksi, mengagumkan audiens, serta memperkenalkan karya asli mereka kepada dunia,” tambahnya.

Oleh itu, pihaknya mengalu-alukan penyertaan lebih banyak lagi band rock tempatan yang boleh menghantar demo atau video kepada penganjur di 15-7, Jalan USJ 9/SQ, Subang Business Centre, Subang Jaya. Atau, hubungi 019-2617208/ 019-3721756, atau e-mel ke rpmerah@gmail.com

Sebagai penganjur, kata Awie, festival ini dilihat sebagai satu penghargaan kepada fans setia muzik rock di Malaysia.

Rock Warrior Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asas menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada audiens.” katanya.

Dipromosi sebagai festival yang tidak harus dilepaskan, dia berkata, pelbagai aktiviti sampingan akan turut diadakan bagi memeriahkan lagi penganjuran, termasuk booth jualan eksklusif barangan rock.

“Diharapkan festival ini akan menjadi mercu tanda yang membawa kegemilangan kepada muzik rock, serta menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dalam kalangan peminat muzik tanahair,” katanya.

Akses

  • 23 & 24 November 2024
  • KL Base, Sungai Besi

Tiket

  • Harga tiket untuk dua hari, RM250 (Gold, seated), RM200 (Silver, standing) dan RM150 (Bronze, standing)
  • Beli di https://rockwarrior.ubertickets.asia/