Unplugged Pertama Cromok Gegarkan SoulFest 2024
Di penganjuran sulung festival muzik itu yang bakal berlangsung pada 8 September nanti.
Oleh RUMI | Foto SoulFest
“Kerana Cromok sering beraksi di Kuala Lumpur, Live Streaming ini adalah peluang untuk peminat di luar ibu kota, termasuk di luar negara menonton Cromok.” – Karl
“INI penampilan pertama Cromok secara unplugged, menggunakan alat akustik dengan susunan muzik yang unik, satu yang jarang dilakukan oleh sebuah band metal,” kata Karl, pemain gitarnya mengenai kemunculan di SoulFest 2024 kelak.
Meraih perhatian seawal album sulung, Images of Purity yang dihasilkan lima tahun selepas penubuhan mereka di Wollongong, Australia pada 1986, band thrash metal ini disahkan mengisi slot Music Haven, antara lima segmen yang disediakan.
Pemilihan Cromok bertepatan dengan tema rock alternatif dan metal bagi tahun pengenalan SoulFest, festival yang dianjurkan oleh Stagemaker Sdn Bhd yang memberikan “Inspirasi artistik. Kreativiti tanpa batas.”
Uniknya, festival yang merangkumi konsert unplugged Cromok itu dijadual berlangsung secara fizikal dan Live Streaming dari pentas Metal Dreamscape, Studio Mantin, Negeri Sembilan pada 8 September ini dalam usaha mengantarabangsakan bakat dan karya tempatan.
“Kerana Cromok sering beraksi di Kuala Lumpur, Live Streaming ini adalah peluang untuk peminat di luar ibu kota, termasuk di luar negara menonton Cromok,” jelas Karl yang turut mengalu-alukan kehadiran band Nrocinu dan Tebabo!
“… SoulFest, iaitu sebuah perjalanan ke dalam nadi ekpresi artistik, melodi-melodi penuh jiwa, inovasi seni teknologi dan jiwa inspirasi, di samping menjadi platform bagi menampilkan bakat-bakat muda…
“Nrocinu adalah antara band yang menepati piawaian sebagai sebuah band rock alternatif dan metal, selain Tebabo! dalam usaha mengangkat band baharu yang memerlukan peluang untuk dikenali di pasaran.”
Konsert secara fizikal di pentas canggih yang dibina menerusi pengaplikasian gabungan animasi dan teknologi itu, bagaimanapun dihadkan bagi kehadiran 300 audiens pada festival yang berdurasi selama tiga jam itu.
Karl mengakui turut menantikan kemunculan pemuzik muda, Nur Irfana Mohd Ibrahim, 17, yang mencipta sensasi menerusi akaun TikTok @fan4aa dan Harris Ikmal Mohd Saifulnazim, 12, yang dikenali sebagai @whynotharris menerusi segmen Rising Stars.
Ia, menurutnya sesuai dengan usaha menjadikan SoulFest sebagai platform memperkenalkan bakat-bakat muda baharu yang “perlu ditonjolkan” kerana kemahiran bermain gitar mereka yang mengagumkan.
Dirangka sebagai sebuah acara tahunan, Penerbit dan Pengarah Teknikal, Nazrul Embia Nazarudin, berkata SoulFestdibangunkan untuk menjadi sebuah jenama yang membina perspektif baharu dalam usaha pengembangan seni dan budaya tanahair.
Jelasnya, festival itu turut meliputi segmen Arts Meet Tech, Icon Lounge dan Arts Bazaar.
“Sejarah akan ditempa menerusi SoulFest, iaitu sebuah perjalanan ke dalam nadi ekpresi artistik, melodi-melodi penuh jiwa, inovasi seni teknologi dan jiwa inspirasi, di samping menjadi platform bagi menampilkan bakat-bakat muda, daripada muzik, teater malah ukiran.
“Tamu Rising Stars diharap dapat menjadi sumber inspirasi untuk anak-anak seni dan artis berbakat, dan menjana ekonomi melalui industri hiburan, selaras visi menjadikan SoulFest platform bagi mempromosi seni dan budaya, terutamanya bakat tempatan.
“SoulFest juga menyediakan platform e-dagang di bawah Arts Bazaar bagi produk kreatif, dan penonton juga akan diajak mengenali ZFX Industries, nadi di sebalik penghasilan pedal gitar berkelas dunia menerusi segmen Arts Meet Tech,” katanya.
Akses
- 8 September 2024
- Metal Dreamscape, Studio Mantin, Negeri Sembilan
Tiket
- RM159, had bagi 300 kehadiran secara fizikal
- RM69 untuk tontonan secara dalam talian
- Sila layari www.soulfest.my untuk pembelian.
Comments are closed.