Paduan Hip Hop, Tradisional di Konsert YAPH dan Teman-Teman
Oktober ini, di malam yang disebut bakal meninggalkan kenangan yang mendalam.

Oleh RUMI

“Lebih 27 lagu yang menggabungkan irama hip-hop moden dengan sentuhan muzik tradisional Malaysia dijangka dipersembahkan pada malam itu, sekali gus memberi pengalaman muzik yang luar biasa… “

DIA digelar Sensei oleh para penggemarnya. Kenapa?

YAPH, seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit, menghasilkan sendiri semua karyanya yang meliputi pelbagai genre, daripada hip hop, tradisional moden ke balada dan pop, malah kerohanian.

Tapi dia juga mengundang misteri dengan penampilan wajah yang tertutup bagi menyembuyikan identitinya.

Misteri itu juga menjadi antara elemen Konsert YAPH dan Teman-Teman untuk memikat para penggemarnya yang akan turut disajikan dengan penampilan lebih 20 artis yang pernah berkolaborasi bersamanya.

Dianjurkan oleh Silent Set Entertainment, konsert itu dijadual berlangsung pada 26 Oktober ini.

Konsert itu, menurut YAPH, antaranya sebagai tanda penghargaan kepada teman-teman seperjuangannya.

“Naskah MRPHN dah berakhir. Dua konsert solo, termasuk jelajah negeri telah diadakan dalam tempoh dua tahun, baru ini. Alhamdulillah semuanya full house. Jadi, kali ini saya ingin bawakan teman-teman seperjuangan dalam menghasilkan muzik yang sudah melebihi tujuh tahun ke konsert saya sebagai menghargai mereka.

“Juga buat para penyokong yang hadir nanti untuk mewar-warkan mereka inilah antara peneman perjalanan muzik saya,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Lebih 27 lagu yang menggabungkan irama hip hop moden dengan sentuhan muzik tradisional Malaysia dijangka dipersembahkan pada malam itu, sekali gus memberi pengalaman muzik yang luar biasa, menghidupkan semula warisan budaya yang kaya dengan elemen kontemporari yang segar.

Disokong oleh Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Venture Sdn Bhd, konsert yang akan dibarisi pemuzik profesional dan tradisional itu menampilkan Aliff Redza sebagai Pengarah Muzik.

Pelbagai aktiviti juga dirancang menjelang konsert, antaranya program Adiguru peralatan muzik tradisional, bengkel penulisan puisi, bengkel penghasilan dan penulisan zine dan pertandingan reka busana.

Akses

  • 26 Oktober 2024
  • RCD Big Studio, Shah Alam
  • 8pm

Tiket

  • RM249 (Menjelang Siang), RM149 (Merayu Senja), RM99 (Hening Malam)
  • Layari www.myticketempire.com untuk pembelian