Tujuh Vibrato Gitar: Legenda dan Tali Yang Menangis
Bicara tentang vibrasi dan rasa pada malam legenda dan pemuzik muda bertamu.

Oleh Zurina Waji

“Isabella, malam itu tidak hanya mengesahkan lagi penghormatan buat Kidd sebagai seorang legenda, malah membuka mata terhadap keupayaan Shah… “

HANYA saya sajakah berperasaan begitu, malam itu, saat Kidd memberikan rasa yang menghiris dengan solo Isabellanya? Selalu dia membuat saya berfikir bagaimana lelaki ini, di sebalik tubuh halusnya, berupaya memberikan rasa sedalam itu.

Effortless. Jarinya membuat gitarnya merayu, menusuk kalbu biar pun dia hanya berdiri tenang dengan wajah hampir tanpa ekspresi. Cuma tangisan talinya yang menggugah rasa audiens Tujuh Vibrato Gitar untuk menjadi representasi emosi yang menguasai.

Kidd, apabila ditanya tentang vibrasi Isabella itu, senyum. Sempat dia berseloroh, “Sepuluh tahun dah main lagu yang sama,” sebelum memberitahu, “Sebab keliling saya tu, kata orang… bergurau, menangis, bercakap dalam satu bahasa.

“Jadi lebih memahami, itu membuatkan saya lebih terinspirasi untuk dapatkan semangat atau enjoy dia punya momen masa itu.”

Seorang yang lebih banyak berbicara dengan gitarnya, sebahagian umurnya didedikasi untuk band rock, Search, pemuzik berusia 55 tahun ini mengakui secara peribadi, malam yang menampilkannya bersama Man Keedal, Jo Branko, Shah Slam, Jemboo Def-Gab-C, selain Muzza dan Anis Kalisa itu sememangnya istimewa.

Extra special sebab satu, audiens yang ramai, tidak berganjak dan menanti apa lagi,” katanya, seraya menoleh ke arah Jo yang duduk di kirinya dan memberikan penghormatannya kepada “arkitek” yang telah mencetuskan idea penggabungan tujuh gitaris tanahair – legenda dan pemain muda di satu pentas, buat pertama kalinya dalam sejarah muzik tempatan.

Isabella, malam itu tidak hanya mengesahkan lagi penghormatan buat Kidd sebagai seorang legenda, malah membuka mata terhadap keupayaan Shah, sekali gus memberikan sisi lain dalam persembahannya.

“… menonton pengasas Lefthanded itu di pentas, namun malam itu memeterai kehebatan sosok berusia 60 tahun ini yang mengulit pendengarnya dengan keghairahan yang tidak pernah padam sejak era Battle of the Band.”

Sederhana, namun bermain tenang, hampir tiga dekad bersama band pop rock, Slam, dia yang juga berperan membantu Jo, antaranya dalam susunan muzik mencambahkan pandangan baharu untuk dia tidak dikesampingkan lagi dalam rock scene tanahair.

Ia membenarkan tentang kata-katanya pada pertemuan kami sebelum itu, bagaimana konsert itumenjadi medan battle yang harus dimenangi setiap pemuziknya bagi memberikan sebuah persembahan yang menakjubkan, tanpa kecamuk sungguhpun terdengar suara keraguan awalnya.

“Pengaruh saya banyak rock,” katanya yang bermula bersama Exists sebelum menubuhkan Slam. “Saya banyak dengar macam (band) Rusty Blade, Lefthanded, Wings, Search. Saya membesar dengan muzik rock.

“Sebagai gitaris kena tahu hal berkenaan (muzik) rock. Ini peluang untuk saya bekerja dengan abang-abang legenda saya, adik-adik (pemain muda) saya. Saya suka apabila kita boleh memberikan sesuatu, sama-sama berlatih, saling mengajar. Seperti kata Jo, malam ini memang yang terbaik.”

BACA: Malam Penentu Tujuh Vibrato Gitar

BACA: Pesona 7 Gitaris Lewat Konsert Tujuh Vibrato Gitar

“Jo boleh saja bermain dalam kondisi volume dimatikan, tapi masih dapat memberikan rasa hanya dengan keghairahan yang dilayangkan bersama gitarnya… “

MOMEN YANG TERCIPTA

Keterujaan terhadap konsert anjuran Big Stage Entertainment Channel bersama Anggerik Event Sdn Bhd ini hadir bersama senarai pemain yang didedahkan, antaranya Man Keedal yang menurut Jo sendiri, mesti didapatkan dulu untuk projek ini jadi kenyataan.

Ini bukan pertama kali saya menonton pengasas Lefthanded itu di pentas, namun malam itu memeterai kehebatan sosok berusia 60 tahun ini yang mengulit pendengarnya dengan keghairahan yang tidak pernah padam sejak era Battle of the Band.

Dia yang bermain gitar seawal era 60an Woodstock menunjukkan “ini bagaimana legenda bermain”, tapi apa yang menambah kekaguman ialah keperibadiannya yang mempamer keupayaan tanpa secubit keangkuhan.

Dan untuk semua yang diberikan Tujuh Vibrato Gitar itu, tentunya Jo sebagai arkitek dan pemuzik yang menang dengan attitudenya. Jo boleh saja bermain dalam kondisi volume dimatikan, tapi masih dapat memberikan rasa hanya dengan keghairahan yang dilayangkan bersama gitarnya yang dilayani seolah sebahagian daripada dirinya.

Saya mengharapkan lebih daripada Jemboo apabila melihatkan bagaimana konsert itu mencipta ruang buat gitaris muda seperti Muzza yang menunjukkan potensi, selain Anis yang dirasakan perlu lebih keras memanfaatkan kesempatan.

Inspirasi, bagi saya, datang lewat pemuzik muda Barbarik – Ainol yang sering impresif dengan dramnya, juga Adi Yamin (keyboard) dan Rozaimie (bass) biarpun hanya sebagai house band pada malam itu.

Sedang Muss dengan vokal powernya menambah kehangatan, antaranya lewat Badan Belut Kepala Ular yang dibuka Jo dengan solo Sejati sebagai teaser. Tiada Lagi Aku dengan strumming yang mencipta momen tidak terlupakan meluncurkan medley akustik yang turut merangkumi Kenangan Bersamamu, Ranjang Mawar dan Dari Kacamata dan ikut menampilkan Datuk Hattan dan Lan Solo.

Bukan tanpa sebab apabila Jo memilih Biarkan Berlalu, single debut Wings sebagai “tribute” buat pencipta yang juga teman akrab dan dihormatinya, Allahyarham JS Kevin yang memberi dampak secara peribadi, termasuk buat banyak jiwa yang disentuh pengkarya misterius itu.

Baur nostalgia, jelas dalam judul-judul 90an dan yang disifatkan underdog dipersembahkan dengan susunan segar dan dramatik pada sebahagiannya untuk malam yang menurut Jo, antara lain bagi mendidik masyarakat dalam menghargai para pemuzik.

Tidak mudah, saya kira, untuk dia menepikan apa yang bermain di lubuk hatinya, saat itu, dan tentunya ikut mempengaruhi pasukan seluruhnya kerana hanya pada pagi sebelum persembahan, diberitakan tentang pemergian adik lelakinya.

The show must go on, kata seorang teman. Emosi itu barangkali apa yang menajamkan lagi vibrasi dan rasa yang menghinggapi ke jiwa audiens. Kata Man Keedal, malam Tujuh Vibrato Gitar memberikan apa yang disifatkannya sebagai momen yang tidak pernah dibayangkannya yang didetikkan oleh “rasa hubungan”, juga “kebersamaan” yang menyenangkan.

Ia malam yang menurutnya, adalah “satu cetusan.”

Jika ada yang hendak diadukan pun, mungkin tentang pinggang saya yang sengal kerana lama berdiri tapi serahkan pada Kidd dengan selorohnya lagi, “Itu baru rock!” Jujur, tiada lain kecuali penghormatan saya sisipkan, terutama buat para pemuzik legendaris tanahair untuk malam yang mengesankan.