Malam Penentu Tujuh Vibrato Gitar
Sebuah konsert bukan biasa apabila tujuh gitaris – legenda dan pemain muda mengambil alih pentas.

Oleh Zurina Waji

“… kalau dihidang menu sama, walaupun sedap, muak juga. Ia harus dilihat sebagai satu gelombang. Oleh itu, seseorang perlu memulakannya.” – Jo Branko

“SILAPLAH kalau ada yang menjangkakan ini bukan battle,” kata Shah Slam tentang Tujuh Vibrato Gitar yang berbaki kurang seminggu lagi.

“Konsert ini banyak battle cuma tidaklah sampai mahu mematikan sesiapa, sebaliknya battle yang memberi ruang buat gitaris terbabit bersinar ketika dia memainkan bahagiannya.”

Pelawaan Jo Branko untuk membentuk tujuh gitaris yang turut membabitkan nama legenda seperti Man Keedal dan Kidd Search, selain Jemboo Def Gab C serta pelapis, Muzza dan Anis Kalisa, dia melihatnya sebagai kesempatan terbaik untuk berkarya dengan cara berbeza.

“Ilmu tentang gitar, inilah masanya dimanfaatkan, misalnya daripada segi idea atau bunyi,” katanya yang juga membantu dalam susunan muzik bagi konsert yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November ini.

“Ini juga ruang untuk saya memberikan sisi lain daripada Slam, tapi cabaran sebenar kami adalah untuk mengimbangi bahagian tujuh gitar ini supaya persembahan tidak nampak kecamuk. Siapa yang diberikan bahagian tertentu perlu mendominasi.

“Misalnya intro siapa main, bahagian tengah mungkin dua pemain atau sekalian semuanya di pentas, tapi apabila tiba di bahagian anda main kenalah menyerlah kerana yang lainnya hanya mendukung daripada belakang dan itulah battle sebenarnya.”

Ia boleh diibaratkan sebagai malam penentuan, terutama buat Jo yang mengutarakan lagu-lagu rock 90an, termasuk underdog dan bermain dengan elemen nostalgia untuk tidak menghadkan audiensnya.

“Seseorang kena buat dulu,” katanya mengenai konsert yang turut menampilkan Muss, Dato Hattan dan Lan Solo bagi vokal itu. “Itu yang saya cuba buat. Saya hanya memulakan dan berharap ia menjadi platform, terutama untuk anak muda yang mahu meneroka muzik lebih jauh.

“Biar industri berwarna sikit sebab kadang kita ini kalau dihidang menu sama, walaupun sedap, muak juga. Ia harus dilihat sebagai satu gelombang. Oleh itu, seseorang perlu memulakannya. Soal orang terima atau tidak, itu difikirkan kemudian. Jika tak berjaya sekali pun tak apalah, lebih baik daripada tidak mencuba langsung dan dikata orang.”

Cuma keupayaan Jo, antara gitaris terbaik yang pernah mencorakkan muzik band seperti Wings, sebelum dia bergerak di bawah panji Barbarik bukanlah rahsia, terutama bagi penggemar muzik rock.

“… konsert ini akan membuka jalan buat ramai pemuzik muda, malah menginspirasi bakal pemuzik dan masyarakat melihat seni dengan pandangan berbeza,” – Adi Yamin

Konsert Double Trouble 2 yang mempertemukan Search kendalian KidDin dan Barbarik, awal Ogos lalu selepas Barbarik – Pentas Keras sebagai penutup tahun 2022nya membuatkan ekspektasi tinggi pemerhati dan fans sukar dielak.

Bagi nama sebesar Man Keedal, bermain dengan muka baharu seumpama konsert yang dianjurkan Big Stage Entertainment Channel bersama Anggerik Event Sdn Bhd itu juga bermakna membuang apa jua ego yang ada.

BACA: Pesona 7 Gitaris Lewat Konsert Tujuh Vibrato Gitar

BACA: Sejarah Bakal Tercipta di Tujuh Vibrato Gitar

CARI CHEMISTRY

Senior kena turun padang, buang ego, kongsi pengalaman dengan pemuzik generasi baharu,” kata Man Keedal yang percaya Tujuh Vibrato Gitar bakal tersemat dalam lipatan sejarah muzik tanahair sebagaimana era Battle of the Band dulu.

Pengasas Lefthanded ini mengakui pada peringkat awal dulu, sukar untuknya mempelajari gitar sehinggalah dia mengenali mendiang Jimi Hendrix yang kidal sepertinya di tengah pengaruh Woodstock dan budaya bebasnya.

“Saya pegang gitar seawal usia 9 tahun, tapi selepas lebih lima dekad keterujaan kali pertama itu masih dapat saya rasakan. Cukuplah kalau dapat menginspirasi pemuzik muda untuk berimpian,” tambahnya.

Adi Yamin, pemain keyboard Barbarik, enggan dilihat berpihak, namun percaya Tujuh Vibrato Gitar bakal mencetuskan banyak impian baharu, terutama dalam melahirkan pemuzik pelapis, tidak terhad kepada gitaris.

“Saya daripada era Bunkface, Hujan, tapi siapa pelapis selepas itu? Diajak bermain sebagai house band bersama teman Barbarik,Rozaimie (bass) dan Ainol (dram), selain membantu Jo, termasuk dalam muzik adalah pendedahan terbaik dalam perjalanan ini.

“Tak keterlaluan kalau saya katakan konsert ini akan membuka jalan buat ramai pemuzik muda, malah menginspirasi bakal pemuzik dan masyarakat melihat seni dengan pandangan berbeza,” katanya.

Muss yang memberikan bayangan dengan senarai lagu, antaranya karya Rusty Blade dan Ramli Sarip, selain May sendiri, tidak ingin dilihat berlebihan apabila menyatakan konsert ini sebagai suatu “di luar jangkaan, luar daripada yang dapat diimaginasi.”

Dikenali dengan vokal powernya, jelasnya kebanyakan lagu yang diberikan susunan baharu akan dihidupkan tujuh gitar yang pelbagai karektor, sekali gus memberikan bunyi-bunyian yang lebih terperinci.

Dan mengenali Jo, dia mengakui keupayaan pemuzik itu untuk berfikir di luar kotak akan menjadikan konsert itu penuh dengan kejutan.

Lalu, apa antara perkara yang diperlukan Jo dulu dalam melaksanakan misinya?

Chemistry antara kami berlima sebelum masuk Kidd dan Man Keedal untuk menjayakan bahagian masing-masing,” kata Jo. “Saya ingin konsert ini dapat memahamkan orang muda, terutamanya tentang peluang. Sebab itu, saya ambil pemain seperti Anis sebagai inspirasi kerana industri ini sudah ada wanita yang boleh main muzik dengan bagus.

“Teruja, pada masa sama berdebar, terutama apabila memikirkan persembahan dengan segmen seperti unplugged yang boleh disifatkan sebagai nadi konsert ini, malah akan jadi ingatan pada siapa yang menyaksikannya.”

Tiket berharga serendah RM188 masih boleh didapatkan di www.tix-box.com