Kota Singa Bernostalgia di Tahun ke-54 Sweet Charity
Di Ribut The Concert: Five Decades of Sweet Charity yang membawa kembali band rock legenda ini.

Oleh Zurina Waji

Foto Papadin

BAGAIMANA untuk memberi justifikasi kepada sebuah band rock yang digelar legenda, malah  peneraju kepada scene muzik rock Singapura dan juga Malaysia, dengan perjalanan mereka yang mengatasi usia saya sendiri?

Perlukah saya berbasa-basi hanya kerana dalam banyak keadaan ternyata mereka lebih dulu makan garam?

Ribut The Concert: Five Decades of Sweet Charity bagaimanapun bukan saja membawa kembali band rock ini ke tanah kelahiran mereka, Singapura selepas kali terakhir mengadakan persembahan sempena keraian 40 tahun penubuhannya, 14 tahun lalu.

Ia melangkaui sentimen terhadap band yang awalnya menggunakan nama The Smash, diikuti Funky Jewel seawal pembentukan oleh Datuk Ramli Sarip bersama rakan sekolahnya, Rahman Sarbani pada 1967 yang turut disertai Joe Salim dan Wahid Warren sebelum bergelar Sweet Charity pada 1969.

Juga bukan calang-calang band tentunya biar pun cuma ada lapan album studio sepanjang 54 tahun penubuhan mereka, identitik dengan suara serak Ramli yang memberikan jiwa kepada banyak karya band yang dipengaruhi pemuzik seperti God Bless, antaranya.

Jelas bagi fans separuh baya yang merupakan sebahagian besar daripada 3,500 audiens yang memenuhi The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre, malam itu, band yang menerobosi pasaran muzik arus perdana semenjak 1979 itu mengembalikan nostalgia yang tidak terlupakan.

“Susunan Zakiah, karya asal God Bless, malam itu bukan hanya berhasil menjadi antara rendisi terbaik yang pernah didengar, malah satu penghormatan… “

Tinggal berempat, Ramli dan Rahman (dram), selain Rosli Mohalim (gitar) serta Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua) yang menyertai Sweet Charity sejak lewat 70an, mereka adalah refleksi perjuangan yang tidak kenal lelah.

Ini dilihat seawal konsert anjuran Pos TKI itu yang turut menampilkan pemain gitar, Eddie Cradle dan Riduan Zalani (perkusi) sebagai pemuzik undangan, selain satu-satunya pemuzik Malaysia, Rozario Rasul (keyboard) yang juga Pengarah Muzik.

Sorakan audiens bergema dengan kemunculan Ramli yang membuka tirai seawal Seniman Di Rantau, diikuti judul seperti Hilang Gelap Terbitlah Terang dan Sejuta Wajah, sebelum Zakiah menghampiri separuh malam dengan paluan gendang dan perkusi pemain-pemain muda Nadi Singapura yang meniupi roh pada segmen itu.

Susunan Zakiah, karya asal God Bless, malam itu bukan hanya berhasil menjadi antara rendisi terbaik yang pernah didengar, malah dilihat satu penghormatan buat karya nukilan vokalis band rock Indonesia, Achmad Albar dan pemain gitarnya, Ian Antono yang kuat bau dangdutnya itu.

“… tapi pada usia lebih separuh abad – Ramli meraikan ulang tahun ke-72 pada keesokannya, lebih gila sebenarnya untuk memikirkan bagaimana mereka masih bisa bersama, bermain muzik dengan vibrasi yang tidak dapat dipatahkan.”

Separuh malam yang dinikmati, termasuk memerhati gelagat fans yang teruja mendengar Jangan Tunggu Lama-Lama kemudiannya membawa saya kembali pada masa kecil, dengan wajah comot bermain.

“Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama dia diambil orang” seakan antem bagi saya dan rakan sepermainan, masa itu. Saya jadi teringat bagaimana kami bernyanyi sumbang, bermain perang psikologi mengusik pihak lawan, terutama kalau berasa sudah menguasai permainan, daripada di padang becak rounders sampailah tepuk kad ke batu seremban.

Ia zaman kami menjadi posmen dalam fasa abang-abang bujang yang berdendang dengan gitar tong dan mini compo mereka, mengorat gadis di kawasan kejiranan, sekali gus jadi kesempatan buat kami, budak-budak, mengusik dengan bait daripada Jangan Tunggu Lama-Lama itu.

Pernah, Ramli seraya menjeling, ketawa apabila diimbau tentang foto penampilannya yang berseluar getah berjalur pada era 80an, mungkin, yang mengingatkan saya tentang pembalut mentega kacang Smuckers.

Gila tentunya jika mengharapkan Sweet Charity berpenampilan seperti dulu, tapi pada usia lebih separuh abad – Ramli meraikan ulang tahun ke-72 pada keesokannya, lebih gila sebenarnya untuk memikirkan bagaimana mereka masih bisa bersama, bermain muzik dengan vibrasi yang tidak dapat dipatahkan.

Ahmad Jaafar atau AJ, sebagaimana Ramli beberapa kali menyapanya mesra di pentas, ikut memperdengarkan suaranya, biar tidak sesempurna dulu namun masih mendamaikan rasa lewat Bagaikan Bermimpi dan Terharu.

Kala Rosli seolah-olah bangkit dengan semangat baharu walhal belum begitu lama pulih daripada serangan jantung, Rahman dalam overall jeansnya membuat ramai, termasuk saya, menganga dengan energi yang disalurkan dalam hentakan dramnya sepanjang hampir tiga jam persembahan.

Biar saya mungkin mengambil masa juga untuk menyedari keberadaan band dengan nama Sweet Charity, sepertimana audiens yang disapa Ramli dengan memori seawal menjadi band orang kahwin, bermain di kampung-kampung, jelas terlalu banyak keindahan disisipkan mereka sepanjang lebih lima dekad ini.

Baur keMelayuan Apa Khabar Sayang masih membuai dalam fikiran apabila menghampiri penghujung konsert, bait puitis Kamelia yang makin parau dilagukan Ramli bikin merinding kala disahut sepenuh jiwa oleh audiens yang bingkas bangun, jelas tidak tertahan lagi untuk meluah rasa.

Ya, banyak momen dipahat malam itu. Dan jelaslah mengapa bara Sweet Charity tidak akan pernah padam. Tidak.