Dari Busking, Bob Satu Level Up ke Pentas Konsert
Keupayaan buskers popular ini bakal diuji lewat penampilan pada malam yang digelar Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band, November ini.
Oleh Zurina Waji | Foto MEM
“Gementar kerana persembahan di jalanan bersandarkan sumbangan sedangkan konsert ini adalah persembahan berbayar. Akan ada yang sangsi… “
BUKAN sekali, bukan dua kali dia diperlekehkan. Buat satu tempoh yang lama pandangan serong menjadi stigma, bukan saja dia, malah ramai buskers sepertinya yang mencari makan, menjadi penghibur di jalanan.
Tapi siapa kata jadi seniman jalanan itu mudah?
Sudah lebih sedekad sejak Bob atau nama sebenarnya, Mohd Aizad Rahman busking dan bersama Sentuhan Band, persembahannya di daerah tumpuan, Bukit Bintang dan berdepan kompleks beli belah Sogo, Kuala Lumpur jadi tular.
Sering tampil dengan gitar tongnya, suara serak basahnya mengalunkan lagu-lagu popular dan keupayaannya menyanyi pelbagai bahasa jelas kelebihan buatnya yang meraih audiensnya yang bermacam bangsa.
Tapi adakah itu cukup untuknya menguasai pentas mainstream lewat sebuah konsert sebenar?
Dia akur, sedar tentang kesangsian yang ada. Kerana konsert, sebuah persembahan berbayar yang berskala besar, adalah dunia asing buat anak jati Pulau Pinang ini yang tanpa pendidikan formal dalam muzik ini.
“Jika ditanya adakah saya gementar, ya. Sedikit,” kata Bob yang baru ini, mengumumkan Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band yang bakal diadakan di Panggung Asia, Gombak pada 18 November nanti.
“Busking, walaupun tiap malam, tentunya tidak sama dengan persembahan sebuah konsert. Gementar kerana persembahan di jalanan bersandarkan sumbangan sedangkan konsert ini adalah persembahan berbayar.
“Akan ada yang sangsi, ada ke yang mahu bayar untuk tengok Bob & Sentuhan Band, dan pemuzik lainnya? Yakini ia bakal jadi satu persembahan berbeza berbanding busking yang bersifat spontan dan jangkakan konsep menarik, bersesuaian dengan pemilihan lagu serta sistem bunyi lebih baik.”
“… apa cara lebih baik untuk meraikan keberadaan kami dengan keraian ulang tahun Sentuhan Band yang sedar tak sedar sudah berusia 12 tahun, juga lamanya usia kami berkelana di jalanan.”
Dianjurkan RYZ Events, konsert itu turut menampilkan bakat Singapura, Ryzal Aziz, selain penyanyi cilik, Cinta Suci Indah Urmila Zaidi yang lebih dikenali sebagai Adik Cinta. Ia ditaja bersama oleh Timeless Studio dan Mewah Event Management sebagai rakan strategik.
Pengumuman yang diadakan pada sidang media itu turut menyaksikan penampilan Cinta yang berusia sembilan tahun yang baru ini, tular dengan suaranya yang mirip Ratu Rock, Ella semasa sesi busking bersama Bob dan band.
Cenderung kepada lagu-lagu hard rock bagi konsert perdana itu, menurut Bob, persembahan juga diatur bagi meraikan rakan pemuzik yang mengiringi perjalanan seninya sambil mempromosi karya Bob & Sentuhan Band yang jarang diperdengarkan.
“Ryzal Aziz dan Adik Cinta tampil sebagai artis undangan, selain enam pemuzik yang bersama saya dalam konsert berdurasi empat jam tanpa henti itu yang diisi, antaranya dengan sesi open jamming untuk persembahan spontan oleh pemuzik yang pernah busking bersama.
“Saya kira, apa cara lebih baik untuk meraikan keberadaan kami dengan keraian ulang tahun Sentuhan Band yang sedar tak sedar sudah berusia 12 tahun, juga lamanya usia kami berkelana di jalanan,” katanya yang dilihat menginspirasi ramai peminat seni tanahair dengan bakat dan kegigihannya mengangkat martabat dunia busking.
Bob yang bermain muzik seawal usia 12 tahun memberanikan diri menceburi dunia busking pada 2012 demi meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur, menggunakan bakat seni sebagai mata pencariannya.
Justeru sebagai penghargaan buat peminat yang menyokong selama ini, jelas Bob, konsert itu akan menampilkan satu segmen khas bagi memperdengarkan lagu-lagu pelbagai bahasa seperti hits Bollywood, Arab dan 60an yang merupakan sebahagian daripada identiti Bob & Sentuhan Band.
Ryzal yang juga penganjur konsert, menyifatkan Bob sebagai seorang penghibur yang hebat.
“Sudah tentu kami mengharapkan yang terbaik kerana Bob sendiri adalah seorang penghibur. Dia penghibur yang hebat sebenarnya, kalau tidak masakan persembahannya sampai tular ke seluruh pelusuk.
“Panggung Asia dengan kapasiti 1,100 diharap akan full house agar konsert ini jadi satu permulaan untuk kami bawa malam ini lebih jauh, bukan saja buat Bob & Sentuhan Band malah buskers, amnya,” katanya.
Akses
- 18 November 2023
- Panggung Asia, Gombak
- 8pm
Tiket
- RM108 (VIP), RM88 (Cat 1) dan RM68 (Cat 2)
- Beli di www.ilassotickets.com, atau boleh hubungi hotline 011-13297822.
Comments are closed.