Double Trouble 2: Stim Balada Jeans Sendat
Di konsert rock tempatan dua band gergasi, Search x Barbarik, yang menjangkaui ekspektasi.
Oleh Zurina Waji | Foto Armz Photo Design
“Hati Sulam Lain memukau dengan intro indah Adi Yamin yang bermain dalam keadaan patah kaki, memahat keupayaan Jo yang memberi nafas segar, termasuk buat Keris Tak Bersarung dan Sakit Bantal Empuk yang ikut menyaksikan potensi Ainol dengan hentakan padu dan attitudenya.”
“DI tangga ni, tengah duduk merokok ala-ala rocker tua.” Sambil mencari teman yang menanti di luar stadium, berpandukan teksnya di telefon bimbit, mata ikut meliar melihat gaya fans Double Trouble 2, malam itu.
Fans berambut gondrong, jeans sendat buat saya senyum sendiri sambil diimbau kali pertama Double Trouble dipentaskan di Stadium Negara seawal 90an. Biar pun fans 2023 yang berselisih bahu di Stadium Malawati sebahagiannya menghampiri usia separuh baya, ada vibrasi yang bertebar.
Di antara kelucuan perbualan di luar tandas tentang zip seluar yang sukar dibuka, dan roman pasangan yang mengharapkan bait cinta slow rock, hatta yang enggan kalah biar sudah beranak pinak, bukan kecil ekspektasi 7,000 fans yang jadi saksi pertemuan Search x Barbarik itu.
Pantaslah ia disebut-sebut sebagai pertembungan dua band rock gergasi paling dinantikan.
Sebab Search KidDin yang melalui kemelut panjang memberikan penanda aras dengan Rockin on Rooftop sebelum Jo Branko dan Muss, 22 tahun setelah Barbarik berhibernisasi, menghadiahkan kejutan lewat Barbarik Pentas Keras, akhir tahun lalu.
Ia juga membawa saya ke konsert anjuran Alpha Nation itu lantaran didorong keterujaan tentang pertemuan yang jarang berlaku ini yang membibitkan pertanyaan sedahsyat manakah Konsert Double Trouble 2 nanti? Apakah satu letusan atau raum yang tidak kesampaian?
BACA: Momen dan Ekspektasi Konsert Double Trouble 2
HATI SULAM LAIN
Balada Pemuzik Jalanan oleh Search dan Barbarik sebagai pembuka menjanjikan kehangatan yang akan diberikan lewat lontaran power Muss, biar dengan sedikit kegugupan awal pada Denden Gonjales sebagai vokalis Search.
Kehebatan yang disempurnakan, tentunya oleh Kid dan Din, dua beradik yang mendukung Search kini bersama Yan (bass), Minn (dram) dan Firdaus (keyboard) selain Jo yang membariskan Ainol (dram), Rozaimi (bass) dan Adi Yamin (keyboard) dalam Barbarik.
Agak berbelah bagi sebetulnya kerana pembuka malam Barbarik Pentas Keras masih membayangi, namun Double Trouble 2 perlu diakui memberikan makna yang lebih dalam, apatah lagi kala perjalanan ahlinya ditelurusi, cukup untuk melakar malam bersejarah.
Diteruskan Barbarik, Jo memberikan banyak momen yang bisa terciptakan. Bermain asmara dengan Gibsonnya, antaranya keghairahan yang dipamer membuat audiens yang dijamu sistem audio selayaknya untuk konsert muzik keras, terpaku dalam hingar suasana.
Hati Sulam Lain memukau dengan intro indah Adi Yamin yang bermain dalam keadaan patah kaki, memahat keupayaan Jo yang memberi nafas segar, termasuk buat Keris Tak Bersarung dan Sakit Bantal Empuk yang ikut menyaksikan potensi Ainol dengan hentakan padu dan attitudenya.
Jo jelas sebagai mastermind, membina band ini sebagai jenama yang utuh berdiri menyaingi Wings yang pernah dicorakkannya dulu, ikut meminjam energi pemuzik semuda Ainol, selain Rozaimi dan Adi bagi menambah warna kepada Barbarik yang lebih keras.
Signature Muss, Biru Mata Hitamku menamatkan segmen Barbarik untuk pentas kemudiannya diambil alih Search lewat Di Pintu Sepi, disusuli lagu seperti Pembakar Perasaan, Asli dan Tulus, Rock n Roll Pie dan Pelesit Kota, antaranya.
Tanpa Amy yang flamboyan sebagai frontman Search, ketika Denden dilihat sebahagian masih berusaha untuk menangkis perbandingan namun saya kira dia, walaupun masih kurang lemaknya, punya kelebihan dalam range suara untuk tempo asal dikekalkan tanpa halangan bagi karya Search yang sebelum ini tidak mungkin dipersembahkan.
Ia juga membolehkan KidDin, setelah ketiadaan drummer, Allahyarham Yazit, dalam luka meneruskan perjuangan Search. Kerana roh Search ada pada KidDin, melihat mereka di pentas membuat perasaan bercampur baur, ditambah lontaran keras teman yang menyanggah perlakuan Amy.
Kala diingati kembali perbualan dengan Din tidak lama sebelum konsert, saya menyedari di sebalik gahnya malam itu adalah pertarungan emosi yang menghambat Kid dan dirinya, tentang brotherhood yang berdiri atas kepayahan Search membina impian tapi hanya untuk menjadi legenda yang penuh luka.
“Ia momen yang akan terpahat sampai bila-bila. Tiada sempadan (berkarya), selagi ada (hayat), selagi orang nak, muzik yang dilahirkan terus sampai bila-bila… ” – KID
NOSTALGIA DAN MOMEN INDAH
“Tak boleh brainlah suara, bang!” Di belakang pentas usai konsert, Muss yang mendengar, terdiam sebelum membalas, “Memanglah. Memang tak boleh. Kalau (konsert) tak direkod, that’s it, akan habis terus. Kalau rekod, momen itu sampai bila-bila kita akan ingat.”
Sukar untuk saya tidak melahirkan kekaguman terhadap rocker berusia 55 tahun ini dan malam itu, dia mendengarnya lagi entah buat yang ke berapa kali. Cuma ini bukan malam biasa. Jo mengakui kolaborasi dengan Search menghadiahkan momen peribadi terindah buatnya, “Show ini, seluruhnya, dapat rasa auranya.”
Dipertemukan lewat medley Padamkan Lampu Tidur, Gadisku, Inspirasi Syakilla dan Gadis Misteri, ia menterjemah semangat Double Trouble yang dilihat suatu yang baru buat Search x Barbarik yang saling berbagi energi dengan audiens untuk mencipta momen mengasyikkan.
Solo Kid yang meluruh dalam akustik Kejora, lagu pertama saya mengenali Search pada 1980an, ikut menusuk banyak jiwa yang tenggelam dalam nostalgia. Pilihan saya, termasuk rendisi rare Blues Ular Sawa yang turut dilagukan Jo sebelum konsert hampir tiga jam itu berlabuh kencang dengan Pasti, melewati Mencari dan Gemuruh.
“Ini suatu yang kita patut berikan kepada fans,” kata Muss tanpa menunjukkan tanda lelah. “Tadi ada banyak perkara yang tak dirancang menjadi suatu yang menarik. Kita enjoy. Konsert ini cukup istimewa, nak gabung Barbarik dan Search bukan suatu yang mudah.”
Peluang merealisasikan impian band selegenda Search dan Barbarik mengujakan pemuzik muda seperti Ainol yang melihat peluang besar buatnya, juga Rozaimi dan Adi Yamin untuk berbuat sehabis baik pada malam yang diproduksi Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd, dan promosi oleh Mewah Event Management itu.
“Dapat merealisasikan impian mereka bersama buat kami sangat gembira, tak terkata. Main dengan legenda, kena berani untuk menggapai cabaran itu,” katanya yang menghargai pendedahan diberikan Barbarik kendalian Jo yang disifatkan “sangat bijak, terutama dalam memimpin, malah sedia menerima idea pemuzik muda.”
Kid yang biasanya tidak banyak bicara mengusik Jo yang ditanya mengenai pandangannya terhadap gitaris Search itu. Nada sebak bagai menyelinap kala Jo mengakui “terharu” untuk mereka dapat sepentas seraya mengesahkan, “secara peribadi, saya memang mengagumi Kid.”
Merendah diri, bagi Kid kejayaan Double Trouble 2 turut didorong vibrasi diberikan fans.
“Ia momen yang sangat berbaloi, sangat indah,” katanya. “Mereka yang datang, sebab merekalah ia terjadi. Mereka memberi, bagi kita vibrasi itu yang mengindahkan lagi (sehingga) terhasilnya konsert malam ini.
“Ia momen yang akan terpahat sampai bila-bila. Tiada sempadan (berkarya), selagi ada (hayat), selagi orang nak, muzik yang dilahirkan terus sampai bila-bila dan mungkin lebih baik di masa depan.”
Itu bagaimana Double Trouble 2 jadi peribadi dengan banyak momen yang tidak mungkin terlupakan.
Comments are closed.