Amer BinYusoff Hadiahi CintaMu Sebagai Penawar
Single kerohanian bernuansa pop R&B yang diinspirasi oleh agamawan, Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

Oleh RUMI | Foto Blackstone Productions

“Ia dinukilkan menerusi zikir yang dijadikan korus, reda dalam erti kata sebenar, iaitu yang ingin didengari Allah daripada hambaNya bahawa Allah ingin kita ini yang reda berTuhankan Allah,”

CINTAMU,” kata mantan pendiri Ruffedge ini yang dulunya menggunakan nama Amer Munawer Yusoff, “diawali dengan kerinduan pada Sang Khaliq.”

Sekilas, ia seolah mengandaikan pengalaman semacam apa dikutipnya semenjak dia meninggalkan kumpulan popular itu dalam fasa mencari dan mengenal diri di titian kerohanian.

Penantian 13 tahun tidak hanya menghadirkan CintaMu sebagai karya barunya, justeru menjadi perlambangan dia sebenarnya tidak pernah meninggalkan persada seni, hanya kini ingin dikenali sebagai Amer BinYusoff.

Setia pada jalur pop R&Bnya, single bertema kerohanian ini yang diinspirasi daripada penyampaian agamawan dikaguminya, Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid cenderung sebagai perkongsian mengenai kefahamannya tentang perjalanannya.

“Diinpirasi daripada perkongsian Habib Ali, lahirlah CintaMu yang menyentuh tentang soal reda lewat zikir yang menenangkan,” katanya mengenai single ciptaannya sepenuhnya itu yang diperdengarkan pada majlis Sidang Media Pelancaran Single CintaMu, baru ini yang turut menampilkan Rahim InTeam dan Syed Yassin, seorang penyanyi qasidah Brunei.

Ia diterbitkan oleh Zaha Aziz yang terbabit bagi susunan muzik untuk Blackstone Productions, manakala InTeam sebagai pengedar digital.

Zaha yang juga pengasas Blackstone Productions turut memperkenalkan Amer BinYusoff sebagai artis pertama label tempatan itu pada majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Megatix Malaysia, Ridzuan Mohammad dan Presiden Pertubuhan Ibu Bapa Anak-anak Istimewa Malaysia (Prisma), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai rakan strategik, selain Sahabat Qitmir dan Balurih Travel.

“Ia dinukilkan menerusi zikir yang dijadikan korus, reda dalam erti kata sebenar, iaitu yang ingin didengari Allah daripada hambaNya bahawa Allah ingin kita ini yang reda berTuhankan Allah,” tambahnya, menerusi kenyataan medianya.

“Muhammad itu Nabi yang diutus kepada umat ini dan dengan syahadah kita menganut agama yang selamat, iaitu Islam. Kunci paling besar ialah kita ada Tuhan. Pegang pada tiga perkara itu, kita reda dan ikrar diri Islam, itu yang akan membuat hidup kita lapang, Insya Allah.”

CintaMu asalnya mahu dirakam di bawah Al-Mawlid, tapi tertangguh kerana tidak berjumpa arranger yang sesuai sehinggalah saya bertemu Zaha… “

CintaMu ciptaan sepenuhnya Amer (dua dari kiri) diapit Rahim InTeam dan Syed Yassin, selain Zaha bagi susunan muzik dan penerbit.

Disempurnakan bersama kerinduan untuk menatap wajah Rasulullah, pantaslah mengapa Amer menyifatkan CintaMu juga sebagai penawar.

CintaMu, dengan lagu dan liriknya yang sekiranya diamati, terutama zikirnya menjadi kaedah tenangkan diri. Ini zaman manusia mencari solusi kepada kesemakan dunia yang menyebabkan ada berdepan depresi.

CintaMu adalah hadiah saya buat masyarakat dengan doa agar umat ini menjalani hidup lebih aman,” katanya.

Melodi bagi korus CintaMu, akui Amer diciptanya seawal 2010, namun kesibukan bersama Al-Mawlid, sebuah gerakan komuniti berlandaskan seni yang diasaskannya menghalangnya daripada meneruskan projek solonya yang hanya baru ini dapat direalisasikan.

“Al-Mawlid menyaksikan kolaborasi saya dengan beberapa rakan seni, termasuk menerusi album yang menggunakan judul sama pada 2012. Juga mengetengahkan genre pop R&B, ia berisi selawat melalui lagu-lagu seperti Cahaya Seluruh Alam, Ingin BersamaMu dan Menuju ke Madinah. Sebagai artis solo, saya lebih dulu merakam single Seluruh Mahabah, diikuti Maha Suci Allah yang menampilkan kumpulan nasyid, UNIC.

CintaMu asalnya mahu dirakam di bawah Al-Mawlid, tapi tertangguh kerana tidak berjumpa arranger yang sesuai sehinggalah saya bertemu Zaha yang kemudian melamar Amer BinYusoff untuk menjadi artis solo pertama Blackstone Productions. CintaMu bukan comeback kerana saya tidak pernah meninggalkan dunia seni, sebaliknya tertumpu pada kerja-kerja di belakang tabir dan kini meneruskan projek yang tertunda,” katanya lagi.