Konsert Sabyan Live in Malaysia, 26 Ogos ini
Alunan Puitis Cinta Ilahi jadi tema konsert kumpulan bernuansa Islamik terkenal Indonesia ini.

Oleh RUMI

“… agar mana-mana penggemar muzik berlainan genre dapat hadir di konsert kami, tidak kira apa jua jenis muzik yang disukai kerana muzik yang kami bawakan adalah untuk semua dan bersifat universal.”

BUMI Hang Tuah, Melaka bakal bergema dengan alunan puitis cinta Ilahi oleh Sabyan Gambus, kumpulan yang dikenali dengan karya kerohaniannya dalam sebuah konsert pada akhir Ogos kelak.

Dibawa oleh Paksi Jayamas Sdn Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, konsert berkenaan dijangka memperdengarkan himpunan lagu-lagu terbaik Sabyan Gambus, beserta susunan muzik yang baru, selain single baru yang akan dialun di depan khalayak buat pertama kalinya.

Nissa, vokalis kumpulan tiga pemuzik itu, dalam sidang medianya, baru ini mengakui teruja dapat kembali ke Malaysia, malah sudah mula membuat persiapan seawal April lalu.

“Malam konsert itu nanti mengangkat tema istimewa, Alunan Puitis Cinta Ilahi yang diharap dapat memberi suatu momen indah buat audiens yang hadir ke konsert Sabyan Gambus pada 26 Ogos ini.

“Kenapa Melaka? Idea di sebalik konsert ini adalah daripada pihak penganjur sendiri yang mencadangkan lokasi luar dari Kuala Lumpur, iaitu di negeri bersejarah, Melaka dan kami bersetuju, tambahan difahamkan Kerajaan Negeri Melaka juga giat mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Sabyan Gambus, kumpulan asal Jakarta ini yang turut dianggotai Ayus dan Kamal dikenali dengan lagu seperti Ya Maulana, Deen Assalam, Ya Asyiqol Musthofa, Ana Ana dan Ilahi.

“Kami berharap agar mana-mana penggemar muzik berlainan genre dapat hadir di konsert kami, tidak kira apa jua jenis muzik yang disukai kerana muzik yang kami bawakan adalah untuk semua dan bersifat universal,” kata Nissa lagi.

“Semoga konsert ini menjadi inspirasi yang bermanfaat buat agama Islam, bangsa dan negara.”

Akses

  • 26 Ogos 2023
  • Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka
  • 8pm

Tiket