Diiringi pemuzik terbaik Malaysia bertaraf dunia, termasuk Lewis Pragasam dan Steve Thornton.

Oleh RUMI

“Legasi Zainal bukan saja sebagai suara sebuah generasi dengan katalog muzik yang sangat mengagumkan, dia juga ada repuatasi seorang penghibur live yang unik dan kekal relevan sehingga kini.” – Rahul Kukreja, wakil penganjur

TAHUN 2022 yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi tentunya akan jadi lebih bermakna dengan kejutan diberikan penyanyi legenda, Datuk Zainal Abidin yang bersedia untuk memberikan sebuah persembahan istmewanya menjelang ambang tahun baru.

Dijanjikan sebagai sebuah persembahan yang menghiburkan dan bertenaga, malam bersama pelantun lagu malar segar, Hijau itu juga akan disisip dengan inspirasi dan semangat bagi menempuh tahun baru 2023.

Diiringi pemuzik berkelas dunia, malam Zainal Abidin NYE Special itu menyaksikan ikon muzik tanahair itu kembali ke sebuah ruang yang lebih mesra serta mementingkan intimasi di antara artis dan fans.

Selain Lewis yang bermain dram dan Steve (gendang dan perkusi), turut menyertai band iringan pada malam anjuran RK Live Asia itu ialah Mac Chew (keyboard), Daniel Foong (bass) dan Sham Kamikaze (gitar).

“Kami semuanya telah lama membuat bersama, dan mereka amat memahami muzik serta cara saya di atas pentas,” kata Zainal yang menyifatkan pemuzik yang bakal mengiringinya itu sebagai “bukan calang-calang” dan “antara yang terbaik di negara ini.”

Rahul Kukreja mewakili penganjur, menerusi kenyataan medianya, mengakui penganjuran itu sebagai satu yang tidak diduga, selain hadir dalam masa singkat namun ia adalah suatu yang sukar untuk dilepaskan.

“Persembahan ambang tahun baru pada Sabtu ini berbeza atas faktor intimasi yang menjadikannya lebih peribadi.” – Zainal Abidin

“Legasi Zainal bukan saja sebagai suara sebuah generasi dengan katalog muzik yang sangat mengagumkan, malah dia juga ada reputasi seorang penghibur live yang unik dan kekal relevan sehingga kini,” katanya.

“Pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara telah dimenanginya dan ini menjadikan Zainal Abidin seorang ikon industri dan dipandang tinggi oleh artis lain, sama ada seangkatan mahu pun yang baru. Zainal Abidin NYE Special bukan saja bakal menjadi sebuah persembahan yang mantap, malah dapat memberikan inspirasi serta semangat untuk fans membuka tirai tahun 2023.”

Bukan mudah juga untuk memilih senarai akhir repertoire lagu apabila mengambil kira penglibatan Zainal dalam seni, seawal hits yang diraih bersama kumpulan Headwind pada 1980an, namun bersandarkan pengalaman dan elemen fleksibiliti, ia dipastikan dapat membuat audiens terhibur dan pulang bersama memori indah.

Tambah Zainal, “Persembahan ambang tahun baru pada Sabtu ini berbeza atas faktor intimasi yang menjadikannya lebih peribadi. Saya pernah membuat persembahan tahun baru di hadapan ribuan audiens dan fans, sama ada di stadium atau dataran luas.

“Diadakan di lokasi tertutup sebenarnya lebih mencabar kerana kehadiran eksklusif fans dan audiens yang dikawal jumlahnya memerlukan kami untuk memastikan tiada ruang untuk membuat silap kerana ia pasti disedari. Jadi konsert ini pasti istimwa sekali,” katanya.

Akses

  • 31 Disember 2022
  • The Bee, Publika Kuala Lumpur
  • 8pm

Tiket

  • Harga umum bermula RM83; pakej kumpulan RM300
  • Tiket boleh ditempah dengan Whatsapp ke 017-5654233
  • Untuk pertanyaan, emel ke barbarikpentaskeras@gmail.com