Pemuzik Jazz Global, Yussef Dayes <em>Debut</em> di KL, 25 November Ini
Anak jati London ini bakal membawa karya dengan bunyian uniknya dalam rangka jelajah Asianya.

Oleh RUMI

“Diiringi bandnya, Yussef telah menggemparkan dunia muzik, bukan saja menerusi bakat dan muzikalitinya yang unik, malah dengan penampilan visualnya. Ia akan jadi persembahan yang menyentuh semua deria audiens… ” – Penganjur

YUSSEF Dayes, pemain dram yang dikenali dalam arena jazz di London dengan kepelbagaian irama, daripada reggae, country ke hip-hop yang mempengaruhi karyanya, akan berada di Kuala Lumpur untuk persembahan sulungnya.

Kemunculan Yussef yang juga penyanyi, penulis lagu dan penerbit itu di REXKL pada 25 November ini adalah acara pertama dalam siri anjuran kolaboratif di antara Collective Minds Asia dan RK Live Asia.

“Bermain dram,” katanya, “ialah salah satu cara untuk berkomunikasi dan mengekspresikan diri anda, dan dengan album baharu saya yang masih dalam perancangan, saya teruja untuk menunjukkan kepada audiens di Kuala Lumpur siapa itu Yussef Dayes dan muzik yang saya ingin ketengahkan.”

Teruja dengan kehadiran pemuzik muda berbakat itu, Zaran Vachha dari Collective Minds Asia dan Rahul Kukreja dari RK Live Asia turut menyifatkannya sebagai permulaan kepada usaha untuk membawa lebih ramai artis antarabangsa bertaraf eksklusif ke ibu negara.

“Diiringi bandnya, Yussef telah menggemparkan dunia muzik, bukan saja menerusi bakat dan muzikalitinya yang unik, malah dengan penampilan visualnya,” menurut kenyataan media mereka. “Ia akan jadi persembahan yang akan menyentuh semua deria audiens dan peminat muzik tanahair tidak patut melepaskan peluang untuk menyaksikan Yussef dan kumpulannya beraksi secara langsung.”

Bermain muzik seawal usia empat tahun, minat Yussef bercambah selepas bapanya, seorang pemain bass di New York pada 1970an membelikannya kit dram pertamanya. Dia berlatih muzik tanpa henti sebelum mula dikenali menerusi persembahan bersama saudaranya, United Vibrations.

Pengaruh koleksi muzik jazz dan reggae bapanya yang berdarah Jamaica selain 60an seperti The Beatles dan country yang digemari mendiang ibunya, serta minat abangnya, Ahmad terhadap trek irama jungle adalah antara yang mencorakkan muziknya.

Juga grime dan hip-hop yang ikut mempengaruhi karyanya, hasil percampuran dengan rakan sebaya di sekolah yang ramai bercita-cita mahu menjadi MC atau rapper.

“Ketika saya membesar, terdapat pelbagai muzik menarik di setiap bilik di rumah saya,” katanya, menjelaskan bagaimana kepelbagaian muzik itu digabungkan dengan bunyi yang didengarinya semasa merantau, terutamanya semasa di Senegal yang boleh dirasai di dalam hasil gubahannya yang penuh bertenaga dan eklektik.

Pernah dikenali sebagai duo Yussef Kamaal yang ditubuhkan bersama rakannya, Kamaal Williams pada 2016, mereka melahirkan album Black Focus yang memenangi anugerah Best Breakthrough Act, 2017 Jazz FM. Pada 2018, kelahiran lagu Love Is The Message melancarkan karier solonya dan skop seninya diperluaskan, antaranya menjadi penerbit dan kurator muzik bagi acara makan malam Louis Vuitton di Minggu Fesyen Lelaki Paris pada 2019.

Pada 2020, bersama rakan pemuzik, Tom Misch, mereka mengeluarkan album bertajuk What Kinda Music yang meraih, antaranya #1 Album Jazz Kontemporari Semasa, Carta US Billboard. Tahun sama juga menyaksikannya muncul dengan album solo penuhnya, Welcome to the Hills.

Akses

  • 25 November 2022
  • REXKL, Kuala Lumpur

Tiket